Thursday, January 26, 2012

Perihal anak dan rumah orang tua


FARUSH KHAN
Sinar Harian January 25, 2012

Rakan saya, Jamil, yang pernah berdoa dapat menawarkan kepakarannya yang luar biasa kepada negara, sudah tidak mampu bertahan lagi.

Jamil adalah seorang pakar membaiki TV yang saya anggap sebagai wira tidak didendang.

Pada hujung 60-an ketika ramai remaja sebaya dengannya masih mencari kerja, dia sudah mengikuti latihan intensif elektronik enjin kapal terbang di England dan pada pertengahan 70-an, semasa anak-anak muda baru dapat kerja, dia sudah berada di Jepun, belajar membaiki alat elektronik enjin kereta api laju.

Jamil berazam mencurahkan ilmunya kepada mana-mana pihak yang sudi menerima.

“Bayar RM4,000 pun jadilah. Tidak perlu keluarkan tender dan belanja berjuta ringgit untuk mendapatkan khidmat yang sama dari luar negara,” katanya.

Tetapi semuanya tinggal mimpi. Kecuali berlaku keajaiban, wira malang ini akan membawa impiannya bersama ke pusara.

Bulan lalu, lelaki berusia 61 tahun itu, tersungkur diserang sakit jantung selepas solat Subuh di rumahnya dan dikejarkan ke hospital oleh isteri dan anaknya.

Dia masuk ICU, tapi ALLAH masih mahu dia hidup lagi.

Apabila saya jumpa Jamil baru-baru ini di gerai TV yang dia usahakan sejak 30 tahun lalu itu, dia sedang usung satu demi satu TV buruknya untuk dilelong.

“Anak-anak suruh berhenti kerja dan berehat, tapi seorang pun tak datang menolong. Saya juga kena angkut sendiri,” katanya. Bibirnya mengukir senyum, matanya digenangi air. Hatinya ALLAH sahaja yang tahu.

Dia bungkam seketika, kemudian timbul topik baru; cerita kawannya, bekas askar.

“Dia ada pencen lebih RM1,000 tapi dia pilih untuk tinggal di rumah orang tua." Kesimpulannya kawan lamanya itu mengambil keputusan tinggal di rumah orang tua sebab kecewa dengan sikap anak-anak.

Di rumah orang tua yang dia tinggal sejak dua tahun lalu, kawannya bayar RM300 sebulan dan hidup riang dengan penghuni lain yang sebaya dengannya.

“Dia ada lima anak. Isteri meninggal dah lama. Dia tidak kahwin lain; dia jaga mereka, empat lulus universiti. Dialah bapa, dialah ibu.”

Jamil gagal menghabiskan ayatnya; cuma mampu menghela nafas panjang. Dia menggetap bibir, pandangannya berkisar lesu. Di kelopak matanya, kelihatan lebih banyak air bertakung. Saya biarkan fikirannya menerawang.

Jamil sendiri ada tiga anak perempuan, semua lulus universiti dan sudah kahwin.

Saya percaya Jamil tidak akan ikut jejak rakannya. Walaupun jelas dia juga kecewa dengan kekurangan perhatian anak-anak. Dia masih hargai usaha anak dan menantunya yang biayai pemergiannya dan isteri ke Tanah Suci. Begitulah kisah Jamil.
Tidak lama dahulu saya dengan sekumpulan wartawan Sinar Harian melawat kawasan Kerian di Perak. Antara yang kami ziarahi adalah Esah, nenek berusia 80-an.

Terataknya usang, papannya reput dan dinding senget. Pendek cerita, jika ribut, rumah Esah adalah yang pertama di kampung itu mencium bumi.

Esah ada seorang anak lelaki dan dua perempuan, tetapi memilih tinggal sorang di rumah robek jauh dari bandar itu. Anak-anaknya berhijrah ke Kuala Lumpur lima enam tahun lalu.

“Eh tak nak. Makan ke tidak, hidup ke mati, biarlah makcik di sini sahaja,” Esah menyuarakan protes apabila dicadangkan dia tinggal bersama anak-anak atau di rumah orang tua. Menurut cerita jiran-jiran, wanita itu kecil hati.

“Kalau dia pergi ke rumah anak-anaknya, tidak sampai tiga hari, mereka sudah tanya bila dia hendak balik ke kampung. Yang pelik, bila jumpa makcik Esah, anak-anak bukan nak bagi duit, tapi minta duit daripada orang tua ini,” kata jirannya.

Esah senyum menerima sedikit barang keperluan daripada kami; barangkali boleh bertahan sebulan dua.

Lepas itu, entah bagaimana Esah melalui kehidupannya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

No comments:

Post a Comment