Saturday, January 21, 2012

Renung wasiat Hassan al-Banna untuk mula tahun baru

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.

Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai bila-bila.

Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011 kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih berjaya.

Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:
 
·  Segeralah tunaikan solat pada awal waktu iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.

Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.

·  Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.

·  Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.

Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!

·  Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!

·  Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa! Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya.

Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.

Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!

·  Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

·  Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.

Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

·  Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.

Sukakah anda makan daging? Pasti anda suka! Tapi sukakah anda makan daging kawan anda yang sudah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang mengumpat.

Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

·  Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat.

Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.

·  Maksimumkan faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan.

Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa saudaramu, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.


Selamat menyambut tahun baru 2012!

No comments:

Post a Comment