Thursday, January 12, 2012

Tanggal 901, cabaran konspirasi

NURUL IZZAH
Sinar Harian January 11, 2012
Tarikh 9 Januari 2012. Tempat Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Hati mana yang tidak sedih apabila melihat ayahanda tersayang menunggu penghakiman yang akan memisahkan ayahanda daripada keluarga, lebih-lebih lagi apabila tuduhan palsu digunakan sebagai senjata politik.

Hati mana yang tidak berdebar menanti satu penantian yang bakal mengubah segala suasana kekeluargaan yang selama ini dinikmati; dirampas rakus pihak yang berkuasa.


Hati mana yang tidak gundah kerana berasa satu ketidakadilan menimpa keluarga ketika anak-anak, menantu dan cucu masih memerlukan ayah untuk tempat mengadu, menimba nasihat dan menumpang kasih.


Adakah salah untuk seorang anak memiliki perasaan yang sejuta rasa penuh amarah dan keharuan apabila ayahnya diperlakukan begitu rupa? Alhamdulillah, walaupun ayah dibebaskan daripada pertuduhan yang tidak sepatutnya dibicarakan langsung berdasarkan hujah-hujah dan pembuktian awal, rakyat berhak mendapat jawapan kepada semua persoalan mengenai perjalanan sebenar perbicaraan ini.


Apakah yang mendorong perbicaraan ini diteruskan mesti dicari kerana nyata sekali satu penganiayaan sudah berlaku bukan sahaja kepada individu, tetapi kepada integriti institusi kehakiman yang menjadi tunjang negara kita.


Mengapa tidak digunakan undang-undang syariah yang sedia ada iaitu qazaf dalam mengadili kes ini? Bukankah pemerintah sering menabik dada dan melaungkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia sebuah negara Islam? Ke mana perginya Islam itu?


Mengapa yang menuduh juga tidak didakwa sekiranya pertuduhan yang digunakan melibatkan perbuatan bukan paksaan tetapi secara rela? Bukankah ini pendakwaan yang hanya separuh jalan dan tidak sempurna?


Mengapa laporan doktor pertama tidak digunakan sepenuhnya? Bukankah tanda bukti awal pertuduhan nyata membuktikan kepalsuan tuduhan jijik sudah tidak berasas?


Mengapa bahan bukti yang diambil secara ‘curi-curi,’ dengan prosedur simpanan tempang sifatnya diterima bulat? Bukankah rekaan laporan kimia selepasnya terang-terang tidak ada nilai diguna pakai dalam pendakwaan?


Mengapa saksi-saksi penting seperti pegawai polis (yang mengaku bertemu di sebuah bilik hotel) serta yang berjawatan paling tertinggi di tanah air (yang pada awalnya menafikan bertemu kemudian mengaku pula bertemu untuk bantuan biasiswa) dengan si penuduh sebelum berlakunya kejadian yang menjadi asas pertuduhan dibenarkan tidak hadir pada perbicaraan?


Bukankah setiap rakyat tidak kira pangkat adalah sama darjat di mata undang-undang kerana demi keadilan semua saksi mesti didengar, diperiksa dan disoal jawab di mahkamah?


Mengapa perbicaraan diteruskan apabila segala unsur-unsur pertuduhan itu rapuh, berunsur palsu dan tidak memenuhi piawaian paling asas bahan bukti, termasuk kepincangan pemanggilan saksi jelas wujud? Bukankah perbicaraan ini sepatutnya untuk mencari kebenaran dan keadilan, bukan dijadikan pendakwaan terpilih untuk tujuan politik?


Kalau ini bukan namanya satu konspirasi politik apa pula namanya? Ke mana hilangnya pertimbangan dan peri kemanusiaan mereka yang merancang, melaksana dan bersubahat untuk memperkosa institusi kehakiman bagi tujuan sempit dan jahat pemerintah?


Ke mana hilangnya kemuliaan budaya bangsa yang tidak mengajar memfitnah dan menzalimi orang lain? Ke mana membisunya kebanyakan suara ulama, ilmuwan dan suara berdaulat melihat kezaliman yang melanggar batasan agama, budaya dan kemanusiaan dibenarkan berlaku?


Ke mana perginya keadilan, kebenaran, kewarasan dan kejujuran? Tetapi yang menjadi kemuncak kemarahan saya adalah makna sebenar dan kesannya kezaliman yang berlaku bukan sahaja kepada kami sekeluarga, tetapi kepada semua rakyat dan lebih utama kepada kemurnian negara yang dinodai dengan kedurjanaan mereka yang mahu berpegang kepada kuasa tanpa mengira apa institusi yang dirosakkan atau apa hak yang dicabul.


Sesungguhnya kebenaran akan tetap menghancurkan kebatilan dan kezaliman itu tetap akan dibalas kerana tidak seperti penghakiman di dunia, penghakiman di akhirat tidak boleh dibeli, dipalsukan atau diperdagangkan.


Inilah yang menjadi keyakinan dan asas kesabaran kami sekeluarga semenjak 13 tahun apabila segala jentera kerajaan dicemari untuk menyerang prinsip perjuangan menuntut keadilan dan demokrasi tulen untuk semua.


Terima kasih kepada semua pihak dan rakyat yang telah banyak menyokong dan beristiqamah dalam menghadapi cabaran konspirasi politik yang pada hemat saya masih belum reda. Ayahanda Anwar sudah bebas dan sekarang kita mesti bebaskan rakyat pula daripada kejahatan yang menggugat demokrasi. ALLAH Maha Besar
.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment