Dilulus untuk paparan oleh BudakJalanan
Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Antara perkara yang indah yang diajar oleh  Islam ialah muslim diperintahkan menggunakan perkataan-perkataan yang  baik atau  sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.
sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.
 sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.
sekurangnya tidak keji dalam ungkapannya.Muslim   bukan seorang pencarut, atau pemaki  hamun orang atau pencerca dengan   kalimat-kalimat yang jelik dan keji.  Lidah muslim indah, atau selamat   dari kalimat-kalimat yang tidak  senonoh.
Dia mungkin tegas, keras amarannya, tinggi nadanya dan tajam kritikannya, tapi kalimat-kalimatnya itu terpilih; tidak lucah, tidak juga makian dan hamunan. Inilah yang Anas bin Malik ceritakan:
“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”. (riwayat al-Bukhari).
Mencerca   atau memaki hamun orang lain  dalam sesuatu majlis adalah perkara yang   tidak baik. Dalam riwayat  al-Tabarani dari al-Mu’jam al-Kabir:
 bahawa Nabi s.a.w pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi s.a.w pun bersabda: “Memaki orang muslim itu perbuatan fasik dan memeranginya perbuatan kufur”.
Barat
 Di Barat ini walaupun tidak dinafikan ada kesopanannya terutama dalam pengurusan rasmi, namun vulgar language    atau bahasa tidak senonoh sudah sebati dalam kehidupan harian mereka.    Kalimat f*ck sentiasa di bibir. Di mana sahaja kita dengar mereka    bersembang, biasanya perkataan itu akan terbit. Filem mereka, komedi    mereka dan segala seni mereka akan diselitkan kalimat-kalimat jelik    seperti itu.
 Stand-up comedy  di sini  antara yang dapat sambutan hebat.  Ramai yang terkenal dan  kaya raya  dengan idea-idea lawak mereka. Ada  banyak siaran khusus  untuk stand-up comedy  ini. Namun kesemua  lawak tidak terlepas  dari perkataan kotor, lucah  dan cerita lucah.  Makian juga menjadi  modal lawak yang mendapat tepukan  gemuruh. Tuhan,  agama, Jesus, orang  politik dan ramai lagi menjadi  mangsa maki-hamun  yang melucukan  pendengar.
 Budaya   lucah mendapat pasaran dalam masyarakat mereka. Penyanyi  seperti Lady   Gaga dengan segala kelucahannya mendapat tempat yang hebat.  China  telah  senarai hitam Lady Gaga dan Katy Perry yang menjadi pujaan  ramai  di  Barat, bahkan di pelbagai negara lain juga. Shanghai Baby    novel karya Wei Hui, yang meriwayatkan kisah peribadinya yang  bercampur   lucah, yang telah dibakar sebanyak 40,000 naskah secara  terbuka di   China, tapi menjadi ‘the international bestseller’ di Barat.
Banyak   nilai yang berbeza yang menyerap ke dalam kehidupan masyarakat  Barat.   Bayangkan apabila budaya ini berterusan dan setiap anak yang  lahir   dalam masyarakat ini sudah terbiasa demikian rupa. Cumanya, di  atas   pentas ilmu atau akademik, nampaknya bahasa mereka masih terkawal  dan   molek.
 Lunak Dan Tegas
 Saya teringat hadis apabila sekumpulan Yahudi datang bertemu Nabi s.a.w dan memberi salam dengan mengucapkan as-sam alaikum yang bermaksud ‘maut ke atas kamu’. Nabi s.a.w menjawab ‘wa alaikum’ sahaja. Isteri Nabi, Aishah r.aha yang perasan dengan mainan ucapan salam mereka itu menjawab “as-sam ‘alaikum wal la’nah” maksudnya maut dan laknat ke atas kamu.
 Nabi s.a.w bersabda:
 “Nanti dahulu wahai Aishah! Sesungguhnya Allah suka sikap lunak dalam semua perkara”. Jawab Aishah: “Wahai Rasulullah! Engkau tidak dengarkah apa mereka kata?”. Sabda Nabi s.a.w: “Aku telah pun jawab ‘wa alaikum’ (ke atas kamu)’ (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Demikian halusnya contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Jawapan ‘wa ‘alaikum’    juga satu tindak balas atas kebiadapan yahudi, namun ia bebas dari    perkataan yang buruk dan keji. Kita tidak pernah menafikan bahawa Nabi    s.a.w pernah bertegas dan tinggi nada suara baginda terutama ketika    berkhutbah. Namun, baginda tidak memaki hamun atau melaknat orang lain,    apatah lagi sesama muslim.
 Malanglah  jika ada  yang memaki hamun orang lain lalu menyandarkan  kepada Nabi  s.a.w.  Bertegas, tinggi nada ucapan, keras amaran tidak sama  dengan   mengeluarkan perkataan yang buruk dan jelek kepada orang lain.   Kata   Jabir r.a:
 “Nabi ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang member amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh” (riwayat Muslim).
Ini pun mengikut isu yang Nabi s.a.w perkatakan. Ada pelbagai riwayat tentang khutbah baginda.
 Ada   pula pihak yang apabila mereka memaki hamun orang lain, dia  berkata:   saya tiru Saidina Umar. Aduhai, nampak buruk khalifah yang  mulia itu   apabila menjelma dalam tindakannya. Ya, banyak riwayat  menunjukkan   sikap tegas dan keras Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab,  namun bukan   bererti dia memaki hamun.
 Ada  beberapa perbezaan  antara beliau dengan kita semua, beliau  khalifah  yang ada kuasa untuk  menghukum rakyat bawahan seperti memukul  bagi  yang melanggar kesalahan.  Sedang kita tiada hak tersebut. Dimensi   zaman juga tidak sama, ketika  itu tindakan beliau dianggap serasi  dengan  cara kehidupan di zaman itu.  Di zaman kita, tidak perlulah  seorang  perdana menteri atau presiden  negara membawa tongkat memukul  rakyat yang  melanggar peraturan  jalanraya atau seumpamanya.  Undang-undang yang  detil sudah wujud,  mahkamah dan pihak berkuasa  berperanan sepenuhnya.  Itu lebih dihormati  di zaman ini.
 Depan Khalayak
Di   sana pula ada perbezaan antara ucapan di khalayak umum dan  perbualan   peribadi. Ucapan buruk di khalayak umum adalah satu kempen  secara   langsung atau tidak kepada budaya negatif. Tidak sama dengan ‘bersembang biasa’. Walaupun keduanya perlu berakhlak, namun yang dibuat depan khalayak kesan buruknya lebih besar.
 Kita   tidak temui dalam khutbah para khulafa’ dan insan-insan  terhormat   menggunakan kalimat-kalimat makian dan hamunan. Firman Allah:    (maksudnya)
 “dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKU (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia”. (al-Isra: 53).
Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini:
 “Allah memerintah Rasulullah s.a.w memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan”. (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).
Emosi
 Dalam   masa yang sama, kita tidak menafikan setiap kita ada emosi.    Kadang-kala terlepas cakap, terkasar bahasa dan tersalah bicara. Namun,    itu tidak boleh menjadi budaya lidah. Jika berlaku, ia wajar dikuti    dengan penyesalan dalam diri dan memohon yang lebih baik dari Allah.    Nabi s.a.w pernah berkata tentang diri baginda:
 “Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti” (riwayat Muslim).
Jika   seseorang sekali dua termaki orang, mungkin dia terlajak atau  gagal   kawal emosi disebabkan keadaan tertentu. Namun jika setiap kali  berucap   atau sering kali menjadi mainan bibir, maka itu sudah macam  lelaki   Ansar yang Nabi s.a.w tegur dalam majlis tersebut.
 Menjadi   lebih rosak jika seperti di Barat ini, perkataan buruk dan  hodoh itu   menjadi satu lawak jenaka yang mendapat sambutan yang gemuruh.  Ini   mungkin disebabkan jiwa mereka kosong lalu mereka ingin pengisian.    Mereka rasa lawak jenaka kasar itu mengubat kekosongan jiwa. Demikian    mereka tersalah mengenai rohani insani. Demikian juga ada muslim yang    tersilap apabila merasakan duduk mendengar lawak yang bercampur    kebiadaban itu sesuatu yang mengisi kekosongan jiwa.
 Yang baik tidak sama dengan yang buruk. Allah mengingatkan kita: (maksudnya)
 “dan tidaklah sama antara yang baik dan yang jahat. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau buat demikian maka orang ada permusuhan terhadapmu, seolah-olah menjadi seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diamalkan melainkan oleh orang-orang mempunyai kedudukan yang besar (dunia dan akhirat). (Fussilat: 34-35)
Kita  semua  rindu ingin mengikuti ajaran al-Quran. Kita tahu kita  sering  gagal,  namun kita tetap menyatakan yang teragung itu adalah  panduan  al-Quran.  Kita cuba sedayanya. Jangan apabila kita melakukan  yang  sebaliknya,  kita justifikasikan tindakan kita sehingga menafikan   keunggulan  al-Quran. Jangan pula kita jadi seperti sesetengah yang   berkata ‘puak yang menentang kita pun teruk, kita balas la’.    Mengapakah kita jadikan musuh yang kita rasa tersasar dari landasan   yang  betul sebagai piawaian yang menjadi panduan dalam tindakan?!
Bahasa yang baik Allah suka. Kita mungkin ada kelemahan diri, namun jangan kita zahir dalam bahasa yang hodoh dan penuh dengan cacian dan makian. Bahasa yang baik akan dirahmati Tuhan, bahasa yang jelek akan menimbulkan kekerasan dalam perasaan dan nurani. Diriku dan sahabat sekelian, mari kita cari perkataan yang lebih molek dalam berinteraksi antara kita
 
No comments:
Post a Comment