Zaharuddin Abdul Rahman
(Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com
zaharuddin@yahoo.com
RIBA Al-Qardh adalah kadar atau manfaat tambahan yang melebihi jumlah pinjaman pokok berdasarkan kontrak pinjaman awal yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam.
Riba jenis ini boleh dikira paling popular digunakan di kalangan masyarakat kita hari ini dan boleh dipecahkan kepada beberapa bentuk.
Antaranya, duit berbalas duit yang lebih banyak nilainya atau lebih tepat lagi, pinjaman berbentuk kewangan yang perlu dibayar melebihi nilai yang dipinjam seseorang.
Sebagai contoh, Ali meminjamkan Ahmad wang sebanyak RM2,000, dengan syarat membayar kembali dengan nilai lebih besar seperti RM2,500 dalam masa tiga bulan.
Sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan nilai ketika pembayaran semula dalam tempoh waktu itu adalah riba al-Qardh.
Ini adalah daripada jenis riba dalam kategori nilai kewangan berdasarkan faktor masa atau ‘time value of money’ yang diharamkan di dalam Islam.
Konsep ‘time value of money’ adalah satu nilai kewangan hari ini bernilai lebih pada masa depan.
Ini kerana, jika setiap RM1 digunakan sebagai perumpamaan, ia mungkin boleh dilaburkan untuk mendapatkan pulangan keuntungan. (Corporate Finance: Theory and Practice, Aswath Damodaran, John Wiley and Sons, New York, USA, 2001) Bagaimanapun, jika Ahmad memulangkan wang dengan nilai tambah (nilai lebih daripada pinjaman) tanpa sebarang paksaan atau syarat oleh Ali pada awal perjanjian, pinjaman dibuat sepanjang tempoh pinjaman adalah halal lagi terpuji di sisi Islam.
Hal ini pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW apabila baginda membelikan unta yang lebih baik daripada apa yang dipinjam oleh baginda dengan meminta sahabat itu tadi membeli seekor unta yang lebih baik lalu berkata: “Sebaik-sebaik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik.” (Riwayat Al-Bukhari) Namun begitu, hukum haram masih berlaku jika peminjam, iaitu Ahmad walaupun dengan sukarela menawarkan pembayaran semula (repayment) dengan nilai tambah.
Ini kerana Islam tidak menerima campur tangan reda manusia dalam hukum yang berkaitan dengan hak Allah SWT.
Hukuman riba tergolong dalam kategori hak Allah SWT. Justeru, walaupun ditawar oleh peminjam dengan keredaan dirinya, hukum haram adalah tetap serupa, sama ada nilai tambah disyaratkan oleh pemberi pinjam atau peminjam, kedua-duanya adalah riba yang diharamkan.
Contoh riba Al-Qardh kedua pula adalah pinjaman berbentuk kewangan yang perlu dibayar bersama-sama sesuatu manfaat lainnya.
Sebagai contoh, pemberi pinjaman, Kamil memberi pinjaman RM1,000 kepada Hasan untuk tempoh lima bulan. Namun, sebagai balasan, Kamil mensyaratkan Hasan membantunya menyiapkan tugasannya.
Dalam contoh di atas, bantuan menyiapkan tugasan itu dikira riba kerana tergolong di dalam manfaat lebih yang diraih hasil pemberian pinjaman.
Ia diharamkan oleh Islam kerana ia jelas tindakan menindas yang mengambil kesempatan di atas bantuan pinjaman diberi walaupun tiada jumlah tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan sebagai bayaran semula.
Riba Al-Qardh ketiga pula adalah manfaat berbalas manfaat yang lebih. (bukan dalam bentuk nilai kewangan) Contoh riba jenis ini adalah apabila pemberi pinjaman, Hasan memberi pinjam keretanya kepada Yusuf dengan syarat dia perlu memulangkan kereta itu dengan tangki minyak penuh, padahal ketika pinjaman dilakukan, tangki minyak kereta tidak penuh.
Dalam contoh ini, riba berlaku kerana ia tergolong di dalam hadis pinjaman yang termasuk pulangan lebih yang disyaratkan.
Ia juga tergolong di dalam ‘ijma’ yang disebutkan oleh Ibn Qudamah, kerana manfaat kegunaan kereta dibalas dengan satu manfaat lain yang berbeza dan melebihi manfaat pinjaman itu tadi.
Dalam kes ini, jika pemberi pinjam ingin memperoleh sesuatu keuntungan seperti disebut di atas, dia tidak boleh menggunakan kontrak ‘pinjam’ ketika memberi keretanya, sebaliknya ia mesti menggunakan kontrak ‘sewa’ dengan nilai sewa, setangki penuh minyak.
Melalui cara itu, transaksi dan keuntungan yang diperoleh adalah halal. Mungkin ada yang keliru disebabkan hasil dan akibat bagi kedua-dua transaksi kelihatan sama, walaupun demikian, ia berbeza di sisi Allah SWT.
Ini kerana pemberian pinjaman wang atau manfaat aset yang tidak dikenakan sebarang upah dan tidak diambil peluang meraih sesuatu manfaat bersifat material akan melayakkan pemberi pinjam untuk menerima gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda bergantung kepada tahap keikhlasannya.
Sejurus kontrak ditukar kepada ‘sewa’, ganjaran sedemikian tidak lagi diperoleh oleh pemilik, sebagai gantinya pemilik menerima habuan di dunia berbanding habuan akhirat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada malam aku pergi ke syurga (ketika Israk Mi’raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, “Setiap sumbangan sedekah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali,” lalu aku bertanya: “Wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulia daripada sedekah?” “Jawab Jibrail: Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki (mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan.” (Riwayat oleh Ibn Majah) Al-Jassas menerusi kitab yang ditulis iaitu Ahkam al-Quran menyebut: “Allah menamakannya sebagai qardh (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qardh, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya.” Contoh riba Al-Qardh yang boleh terjadi pula adalah, hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak.
Riba ini terjadi apabila seseorang individu atau dinamakan sebagai Kamil menghadiahkan wang berjumlah RM100 kepada Hasan dengan syarat dia perlu menghadiahkan Kamil wang sebanyak RM120 bulan depan.
Pemberian ini termasuk di dalam kategori riba Al-Qardh dan tergolong di dalam kategori pemberian pinjam walaupun menggunakan lafaz hadiah. Penggunaan helah menukar lafaz dan nama tidak mampu mengubah ‘substance’ atau rangka asas kontrak yang sememangnya adalah pinjaman berserta faedah.
Contoh lain riba Al-Qardh pula adalah apabila hadiah yang diberi bersyarat atau dibayar juga dengan hadiah.
Hal ini boleh berlaku dalam situasi apabila pengantin lelaki dan wanita bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir dengan tujuh dulang hantaran bernilai RM10,000 manakala pihak wanita bersetuju dengan balasan sembilan dulang bernilai RM13,000.
Dalam konteks ini, masih berlaku syubhah riba Al-Qardh jika kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga tertentu iaitu RM10,000 berbalas RM13,000. Namun, jika kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga dan hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, ia adalah harus.
Yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.
No comments:
Post a Comment