Oleh Saiful Islam“Yarhamkallah!” kata Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami. Beliau mengucapkannya ketika seorang jemaah yang sedang bersolat bersin.
Beliau juga sedang bersolat! Jemaah yang lain berpaling kepadanya mengisyarat supaya diam. “Habislah aku! Kenapalah aku mengucapkannya begitu hingga semua jemaah memandang!” sahabat itu keresahan. Bimbang dimarahi oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Usai mengerjakan solat, Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami dipesan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شئ من كلام الناس… إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن
“Sesungguhnya
solat ini, tidak harus di dalamnya ada sebarang kalam manusia.
Sebaliknya ia hanyalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran”
Sahabat
yang ditegur Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu terkasima kerana
Baginda tidak memaksa, memukul paksa atau mencelanya.
ما رأيت معلماً قبله ولا بعده أحسن تعليماً منه
“Aku
tidak pernah melihat seorang pendidik sebelum dan selepas Baginda yang
lebih baik didikannya daripada pendidikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi
wa sallam” [Kisah petikan Hadith riwayat Muslim]
Demikianlah Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyantuni pesalah laku.
Rahsia besar kejayaan dakwah dan didikan Nabawi.
KAWAL PESERTA PROGRAM
“Ustaz, saya hairan macam mana ustaz kawal kursus yang ustaz anjurkan? Dua tiga orang, cukupkah?” tanya seorang pelajar kepada saya.
“Emm, menarik juga soalan tu. Ustaz pernah kendalikan kursus untuk pegawai penguatkuasa seramai 72 orang hanya dengan dua tenaga sahaja” saya cuba menyelak memori semasa bekerja sepenuh masa dengan Fitrah Perkasa.
“Macam mana nak kawal orang ramai macam tu? Kami kalau nak anjurkan kursus, tamrin atau program induksi, paling kurang kena ada 20 orang AJK. Silap-silap sama ramai dengan peserta” sambung pelajar itu lagi.
Kami ketawa.
Ya, bagi seorang pelajar, mungkin agak menghairankan bagaimana saya dan tenaga kerja Fitrah Perkasa boleh mengendalikan kursus selama 3 Hari 2 Malam, sedangkan nisbah fasilitator dengan peserta ialah 1:25 malah pernah 1:40.
Ia bukanlah soal pelajar atau pekerja. Tetapi cara kita menilai dan melayan kemanusiaan manusia.
“Apabila kursus bermula, kita kena faham yang mungkin 90% daripada peserta itu hadir kerana terpaksa. Hadir kerana diwajibkan oleh syarikat” saya memulakan perkongsian idea.
“Rasa terpaksa itu selalunya bukan dibuat-buat. Memang setiap seorang peserta itu datang dengan membawa luggage kehidupan masing-masing. Ada yang terpaksa meninggalkan ibu di hospital. Ada yang terpaksa mengupah pemandu teksi untuk mengambil dan menghantar anak di sekolah. Ada yang isteri terpaksa mengambil cuti, dan macam-macam lagi” saya mahu pelajar ini melihat apa yang tidak diperlihatkan.
KEPEDULIAN
“Ingat tak kepada ungkapan yang ustaz selalu sebut tentang hal ini?” saya bertanya.
“Apa dia ustaz?”, pelajar itu tidak pasti.
“People don’t care how much you know until they know how much you care! Orang tak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli” saya cuba mengingatkan pelajar tersebut.
“Oh, ya saya ingat dah” katanya sambil tersenyum.
Di dalam program, Sunnah mengajar kita supaya mengusahakan keselesaan mereka yang hadir. Tunjukkan kepada mereka dengan hati yang tulus ikhlas, bahawa kita memahami dan mengambil kira kesusahan masing-masing untuk datang ke program tersebut.
“Kursus ini tidak ada agenda cium pokok, makan bubur kulit limau, atau rendam kepala dalam air. Kursus ini kursus tuan-tuan dan puan-puan. Solat 5 kali, makan 6 kali! Anggap sahajalah ia cuti-cuti Malaysia. Jalan-jalan cari…?” saya mencuba ice-breaking.
“Makannn!!!” sahut peserta diiringi gelak ketawa mereka.
“Sudah-sudahlah cari makan tu ya. Biarlah kali ini kita jalan-jalan cari ilmu pula!” saya atau mana-mana sahaja fasilitator akan berusaha memesrakan diri dengan peserta.
Ketika itu lazimnya peserta ini akan bergurau sesama mereka.
“Ha, tu la nko, asyik fikir makan aje. Malu la sikit kat ustaz!” kata seorang peserta kepada rakan di sebelahnya.
Saya hanya membiarkan mereka saling bergurau. Tetapi mata saya terus memerhati seorang demi seorang peserta. Siapakah di peringkat itu yang masih sejuk dan beku. Masih masam dan berwajah jemu. Perhatikan… dan camkan orang dan namanya.
Semasa sesi perkenalan selesai, ketika orang sedang makan-makan, saya atau mana-mana fasilitator akan datang secara halus kepada peserta yang pendiam itu, duduk di sebelahnya, dan menawarkan kuih yang diambil.
Bertanyakan nama, rumah di mana dan cuba cari satu dua tajuk yang boleh dijadikan titik perbualan.
“Oh, Encik Zam tinggal di Cheras. Saya pun sama. Cuma saya di Taman Midah. Encik Zam duduk di bahagian Cheras yang mana?” saya mengusahakan perbualan.
“Saya di Cheras Jaya” jawab peserta tersebut perlahan.
“Gitu… saya tak tahu sangat Cheras Jaya di sebelah mana. Cuma adalah perasan signboard tu” saya menyimpulkan persoalan yang dikongsi.
Cukup setakat itu. Apabila dia sudah sudi menjawab soalan yang ditanya, ia sudah cukup baik. Tidak perlu dikorek pada masa itu masalah yang dihadapinya. Simpan di hari kedua nanti. Jangan jadi ‘penceroboh’, menceroboh hidup orang. Cukup sekadar kita tunjukkan dengan perbuatan yang kita ini pedulikan dia. Kehadirannya kita sedari dan telah ditanda dengan perbualan ringkas itu. Begitulah selalunya.
SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA
Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.
“Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato’ dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!” kata seorang penyelia kursus.
“Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan” kata pengarah sebuah program induksi pelajar.
Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.
Apa alasan berbuat demikian?
Mahu membina ketahanan mental.
Ketahanan mental atau masalah mental?
TENTERA LAIN
Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang tabiat kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.
Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.
Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.
Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!
Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.
HASRIZAL
43000 BSP
http://saifulislam.com
No comments:
Post a Comment