Oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya mengikuti perkembangan US Presidential Election antara Barack Obama dan Mitt Romney dari awal termasuk siri Presidential Debates yang diadakan sebelum pilihanraya. Saya menjadi tertarik untuk ikuti disebabkan saya gusar jika Mitt Romney menang. Saya bimbang beliau akan menjadi ‘Bush baru’ dari segi pentadbiran, terutamanya dasar luar Amerika. Pendiriannya tentang Israel dan pergolakan Timur Tengah membimbangkan. Di samping beliau sebenarnya adalah bayangan golongan elit kaya Amerika, sementara Barack Obama lebih kepada mewakili golongan pertengahan.
Kurang Bahaya
Saya
bimbang jika Romney menang, dunia akan bergolak lagi. Peperangan akan
makin membara. Penjualan senjata akan makin pesat. Sementara Obama agak
tenang dari segi dasar luarnya. Kuasa besar itu agak kurang mengganas di
bawah kepimpinannya dibandingkan zaman Bush dulu. Dalam agama, jika
kita mempunyai dua pilihan yang bahaya, kita disuruh memilih yang kurang
bahaya yang disebut akhaf ad-dararain iaitu mudarat yang lebih ringan.Saya pernah menulis hal ini semasa awal Obama menjadi Presiden Amerika pada tahun 2008. Semasa beliau menang ketika itu banyak harapan diletakkan. Walaupun beliau tidak berjaya memenuhi semua impian, namun sekurang-kurangnya beliau tidak menambah gawat krisis keganasan dunia yang sedia ada.
Lagikan yang muslim dan memerintah negara Islam pun gagal menjadi manusia soleh, penuh dengan korupsi dan penyelewengan, bahkan kezaliman, inikan pula dia yang memerintah Amerika. Cara pemikiran yang sempit seperti itu tidak diajar oleh Islam. Allah dan RasulNYA sentiasa mengajar kita melihat setiap perkara dalam kerangka yang luas.
Dalam al-Quran, terdapat Surah ar-Rum. Surah ini menceritakan kegembiraan umat Islam pada zaman Nabi s.a.w apabila Rome dapat menewaskan Parsi. Sekaligus ia menggambarkan dukacita para sahabat apabila Parsi menang di peringkat awalnya mengalahkan Rome. Kemudian apabila Rome kembali menang, Nabi s.a.w dan para sahabah bergembira. Walaupun Parsi dan Rome, keduanya empayar yang bukan Islam, tetapi Parsi lebih zalim dan kejam dari Rome. Di samping Rome pula Kristian yang termasuk dalam Ahlul Kitab (People of the Book) sementara Parsi adalah Majusi (zoroastrianism) yang menyembah api. Al-Quran menyebut: (maksudnya)
“Alif, Laam, Miim. Rome telah dikalahkan -Di bumi (tempat peperangan) yang paling rendah; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan dapat mengalahkan (menang kembali). Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira”. (Surah ar-Rum 1-4).Saya pernah sebutkan dalam beberapa tulisan, bahawa minda yang seperti ini diperlukan oleh seorang muslim. Minda yang bukan hanya berfikir dalam kotak tetapi juga di luar kotak. Minda yang tidak jumud seperti golongan literalis sempit yang menganggap semua bukan muslim itu sama. Bahkan kelompok literalis itu menganggap segala kebaikan penguasa bukan muslim tidak diiktiraf dan segala kezaliman pemerintah muslim tetap dihormati dan jangan dipertikaikan. Mereka itu tidak memahami ajaran al-Quran yang sebenarnya.
Puas Hati
Saya juga tertarik dengan sikap Obama dan Romney selepas keputusan pilihanraya diperolehi. Setelah Barack Obama diisytiharkan kembali dipilih sebagai Presiden Amerika, beliau antaranya menyebut dalam ucapannya:
“I just spoke with Governor Romney and I congratulated him and Paul Ryan on a hard-fought campaign… we may have battled fiercely, but it’s only because we love this country deeply and we care so strongly about its future.”Saya rasa ini satu ucapan yang baik. Ucapan ini patut ditiru oleh para pemimpin yang menang, menghormati pihak yang kalah. Tidak menggambarkan kesombongan tetapi hormat kepada pesaing yang juga ingin menyumbang kepada negara. Bukan bersorak ‘padan muka’ macam budak-budak kepada pihak yang tewas. Sebaliknya hormat dan cuba bersikap baik.
Begitu juga Mitt Romney dalam ucapannya dengan penghormatan menyebut:
“This is a time of great challenges for America and I pray that the president will be successful in guiding our nation.. his supporters and his campaign also deserve congratulations.. I wish all of them well but particularly the president, the first lady and their daughters.. I believe in America. I believe in the people of America. And I ran for office because I’m concerned about America. This election is over but our principles endure and I believe that the principles upon which this nation was founded are the only sure guide to a resurgent economy and renewed greatness.. I so wish that I had been able to fulfill your hopes to lead the country in another direction, but the nation chose another leader and so Ann and I join with you to earnestly pray for him and for this great nation.”
Mitt Romney
Beliau
bukan sahaja menerima kekalahan, tetapi mengucap tahniah dan mendoakan
lawannya yang menang. Lebih dari itu beliau menghormati pilihan rakyat
serta bersama mereka menerima kepimpinan Obama seperti dalam katanya di
atas“I so wish that I had been able to fulfill your hopes to lead the country in another direction, but the nation chose another leader and so Ann and I join with you to earnestly pray for him and for this great nation”.
Nilai
Saya
bertanya para pelajar peringkat ijazah tinggi saya, mengapa nilai
seperti itu ada pada mereka, walaupun kita sering tidak puas hati dengan
dasar luar mereka, tetapi tinggi nilai dalaman negara mereka? Mereka
diam. Saya beritahu mereka sebab proses pilihanraya mereka berlaku
dengan adil. Semua pihak terima kekalahan dengan hati yang puas bahawa
mereka memang kalah. Tiada penipuan, tiada berat sebelah dan tiada ruang
yang tidak adil yang diberikan kepada setiap calon. Presiden dan calon
presiden berdebat terbuka di hadapan rakyat. Ruang media diberikan
kebebasan. Tiada gula-gula politik yang menggunakan harta negara, tiada
ugutan dan pelbagai nilai buruk yang berlaku dalam pilihanraya
negara-negara yang tidak adil.Maka tidak hairan jika sahabat Nabi, ‘Amr bin al-‘As memuji bangsa Rome ataupun Eropah ini dalam riwayat Muslim yang pernah saya nukil sebelum ini. Kata ‘Amr:
“Sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja”.Ertinya, mereka begitu pentingkan keadilan dan kebaikan untuk masyarakat mereka, walaupun Amerika seringkali menindas dan mengabaikan hak pihak yang dimusuhinya.
Apabila saya memuji beberapa perkara yang ada pada mereka, bukan bererti kita menjadi pengikut mereka seperti yang difahami oleh kelompok jumud. Islam mengiktiraf yang baik dan mengenali serta menentang yang buruk dan zalim. Maka kita mengiktiraf kelebihan pihak lain sekalipun kita berbeza dengan mereka. Kita juga mengakui kelemahan pihak kita sekali pun kita bersahabat.
.......
http://drmaza.com
No comments:
Post a Comment