Saturday, November 3, 2012



Nilai baik bentuk akhlak pekerja

Optimisme, keberanian, adil perlu jadi pegangan

Nilai aspek utama dalam segenap tindak-tanduk manusia. Tanpa nilai baik, sesuatu tindakan yang baik boleh dilihat sebagai tidak baik dan tidak bermanfaat.

Contohnya, menyiapkan minit mesyuarat, laporan atau sesuatu projek yang dipertanggungjawabkan adalah suatu usaha baik tetapi jika dihasilkan tanpa nilai ketelitian, ketelusan, kesahihan fakta dan penjimatan kos, kerja itu walaupun siap tidak diterima secara baik sebagai yang berkualiti.

Firman Allah SWT: “Ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya seksaanKu amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Justeru, setiap tindakan dalam Islam amat menekankan aspek nilai baik seperti terkandung dalam pengertian akhlak yang sangat luas. Sabda Rasulullah apabila ditanya apa itu agama, Baginda menjawab dengan ringkas tetapi padat bahawa agama itu akhlak yang baik. Maksudnya, keseluruhan mengenai Islam boleh difahami dan terserlah dengan paparan amalan yang berakhlak.

Magnet kejayaan

Akhlak adalah ‘magnet kejayaan’. Banyak sekali dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan mereka yang berakhlak pasti berjaya. Besi beraninya pula tersangat kuat sehingga impak sebagai amal salih kekal di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW: “Peniaga yang jujur dan amanah berada bersama nabi, orang yang jujur dan syuhada.” (Riwayat al-Tirmizi)

Berakhlak dalam segenap amalan menatijahkan kejayaan yang boleh dan tidak boleh dijangkakan. Firman Allah SWT: “Tidak ada seorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan sebagai balasan bagi amal soleh yang mereka sudah kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 17)

Pengurusan nilai

Dalam pembangunan organisasi, pengurusan nilai semakin ditekankan. Pandangan Tan Sri Ahmad Sarji dalam buku bertajuk Sekadar Berpendapat menggariskan tiga nilai dalam tindakan operasi iaitu optimisme, keberanian dan adil.

Nilai optimisme dalam bekerja membolehkan seseorang mempunyai pelbagai pilihan bertindak dan bekerja tanpa rasa kaku atau buntu. Usaha dan panduan untuk menerapkan nilai ini dalam organisasi kita boleh dibuat melalui beberapa kaedah pendekatan yang disarankan.

Dunia hari ini juga menyedari hakikat bekerja dan mengurus berasaskan nilai ini. Malah kejayaan operasi syarikat konglomerat dunia seperti kajian dalam buku What Really Works - The performance secrets of the world’s most successful companies oleh William Joyce, Nitin Nohria dan Bruce Roberson menunjukkan kejayaan bersandarkan kekuatan nilai didukung dalam tindakan dan strategi.

Bahkan ia juga penentu kepada pengukuhan budaya kecemerlangan itu. Ertinya, untuk kekal berjaya juga mesti mempraktikkan tindakan yang berakhlak. Selain sebagai pengukuh kejayaan, akhlak juga adalah benteng kegagalan.

Firman Allah SWT: “Ketika Tuhanmu memberitahu, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya seksaanKu amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Personaliti pekerja

Justeru, mari kita kenal pasti nilai utama yang mendokong kerja seharian kita. Jika ditanyakan apakah tiga nilai utama bagi tindakan kerja anda, barangkali dapat kita fikirkan apakah yang sudah kita jadikan amalan dan rasa gembiralah dengannya serta pertingkatkan lagi.

Pegangan nilai akan membentuk akhlak atau personaliti pekerja. Personaliti yang baik adalah suatu keajaiban bagi pekerja kerana ia potensi yang membuka banyak ruang dan peluang untuk berjaya.

Abu Hurairah, sahabat Rasulullah yang terkenal daripada kalangan Ahli Suffah, walaupun miskin tetapi mempunyai nilai kekayaan personaliti antaranya beliau amat tekun mendampingi Rasulullah dan dalam tempoh lima tahun bersama, beliau menghafal sabda Baginda. Justeru, marilah kita terus memupuk kerja berasaskan nilai kerana kemuliaan diri di sisi Allah SWT terletak kepada usaha dan nilai baik dalam mengusahakannya walaupun kecil.

Firman Allah SWT: “Tentulah Kami tidak mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalannya dengan baik.”
(Surah al-Kahfi, ayat 30)

Laksana amanah pupuk integriti


Akhlak mulia permudah tunai tangggungjawab

Minggu lalu kita berkongsi mengenai iktibar pengorbanan yang boleh dikutip daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, kefarduan haji serta kelebihan ibadat dalam bulan Zulhijah.
Semuanya dijadikan sumber pembakar semangat dan alat penggerak dalam setiap tindakan. Namun, perlu juga diingatkan bahawa pengorbanan itu mestilah bertitik tolak daripada satu ciri akhlak yang unggul iaitu amanah, perkataan yang sangat mendalam maknanya, banyak manfaatnya kepada manusia serta tinggi keistimewaannya di sisi Islam.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58)

Ia meliputi sikap bertanggungjawab dalam melaksanakan apa yang diamanahkan untuk diri dan orang lain yang boleh menimbulkan kepercayaan serta keyakinan.
Ia juga tidak terhenti amanah kepada manusia tetapi amanah kepada Pencipta.

Justeru, ia datang dalam pelbagai bentuk tuntutan yang terkandung dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58)

Teras dalam perkhidmatan

Sifat amanah sudah dikenal pasti sebagai nilai teras dalam perkhidmatan dan jaminan kepada pemupukan integriti iaitu melakukan pekerjaan dengan benar, jujur, mengikut spesifikasi, peraturan, piawaian, berkualiti dan profesional. Amanahnya Rasulullah SAW sehingga mendapat jolokan al-Amin termasuk dalam kalangan masyarakat kafir Quraisy perlu kita jadikan teladan dan tekad memperbaiki diri dalam pekerjaan.

Beberapa langkah mudah boleh diambil untuk membentuk sifat beramanah di tempat kerja.

Pertama, letakkan niat yang baik dan tekad yang kuat setiap hari untuk melaksanakan amanah kerja.
Kedua, senaraikan tugasan yang perlu disiapkan mengikut keutamaannya.

Nilai hasil tugasan

Ketiga, rancang dengan menyediakan jadual kerja yang munasabah dan tidak memudaratkan diri serta orang lain.

Keempat, buat senarai semak untuk mengenal pasti tugasan yang sudah dan belum dilaksanakan.

Kelima, kenal pasti cara yang mudah dan berkesan untuk melaksanakannya.

Keenam, laksanakan amanah mengikut keutamaan dengan ikhlas dan berhemah iaitu dengan mengambil kira keperluan, spesifikasi dan peraturan berkaitan.

Ketujuh, menilai hasil tugasan yang lalu untuk penambahbaikan cara bekerja.

Kelapan, elakkan pecah amanah, penipuan, rasuah dan lain-lain perkara bertentangan syarak dan kesembilan, tingkatkan munajat kepada Allah SWT melalui solat, zikir dan berdoa dan akhirnya bertawakal.

Dalam merealisasikan kerja beramanah, kita juga perlu berhati-hati dengan keinginan untuk menambah beban tanggungjawab tanpa memikirkan keperluannya, kemampuan, keupayaan diri dan pekerja.

Kegagalan atau kecuaian melaksanakannya dengan sengaja akan memudaratkan orang lain dan menjerumuskan diri kepada kemurkaan Allah SWT seperti gambaran yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Sekumpulan manusia yang terus menerus menambah bebanan di bahunya walaupun ia tidak berdaya untuk memikul bebanan itu. Bertolak daripada realiti inilah Rasulullah SAW menolak permintaan Abu Zar al-Ghifari, dengan sabdanya: “Wahai Abu Zar! Engkau sebenarnya lemah, jawatan itu adalah amanah, sesungguhnya ia membawa kepada kehinaan dan penyesalan pada Hari Kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak kewajaran serta menunaikan hak atasnya.” (Riwayat Muslim)

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

No comments:

Post a Comment