Hidup ini sebuah maraton
Bila menatap foto pelajar-pelajar yang tersenyum riang kerana berjaya
mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR di dada akhbar, saya
teringat zaman persekolahan sendiri. Saya turut lalui tiga peperiksaan
sebelum menamatkan persekolahan di tingkatan lima.
Saya juga menghadapi peperiksaan darjah lima, Sijil Rendah Pelajaran
(Penilaian Menengah Rendah) di tingkatan tiga dan Sijil Pelajaran
Malaysia di tingkatan lima.
Keputusan-keputusan peperiksaan itu akan melakar garis kehidupan
seseorang ke matlamat masing-masing sama ada cepat atau sebaliknya;
bergantung kepada bidang yang dipilih seseorang itu.
Justeru, saya melihat peperiksaan itu sebagai satu larian dalam sebuah
maraton kehidupan yang panjang. Ada ketikanya kita mendahului
rakan-rakan, ada kalanya kita ketinggalan.
Perlumbaan dalam larian maraton kehidupan ini saya lalui bersama seorang sahabat saya, Amin.
Saya dan Amin bersekolah dan sedarjah sejak dari darjah satu hingga ke
tingkatan tiga. Kami sama-sama belajar dan bermain. Kami juga saling
berlawan markah dalam setiap mata pelajaran.
Kadang-kadang dia menang, ada kalanya saya pula mencapai markah yang
lebih baik. Apabila dia mengambil bidang sains pada tingkatan empat dan
lima, saya terpisah daripadanya kerana mengambil bidang sastera.
Namun, apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, kami sama-sama
mendapat gred dua. Untungnya, Amin dapat melanjutkan persekolahan di
tingkatan enam sedangkan saya tidak terpilih. Saya sedih kerana terasa
ketinggalan dan kalah dalam perlumbaan itu.
Tetapi, nasib menyebelahi saya pula apabila terpilih ke Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Saya menang kerana berjaya ke institusi pengajian tinggi sedangkan dia masih lagi bersekolah.
Tatkala saya di tahun tiga, Amin baru masuk ITM setelah selesai
STPMnya. Apabila saya mula bekerja, Amin masih lagi belajar. Kadangkala
bila bertemu, saya menunjukkan aksi bangga kerana dapat berdikari
berbanding dengan dirinya yang masih berbelanja dengan wang kiriman
ayahnya.
Dugaan kehidupan melanda saya pada satu ketika di mana saya berhenti
kerja dan menganggur. Amin pula baru tamat pengajian dan bertugas di
sebuah syarikat pengangkutan antarabangsa. Pangkatnya pun besar. Dia
mendahului saya pada ketika itu. Tidak lama kemudian saya berniaga
sendiri dan berumahtangga sedangkan Amin masih lagi membujang. Ya, saya
menang kembali!
Bertahun kemudian, dia berkahwin. Apabila saya bertugas dengan Kumpulan Karangkraf, sahabat saya ini berhenti kerja dan membuka sebuah syarikat logistik. Kehidupan kami dikira setanding. Sama-sama bekerjaya yang baik dan berkeluarga. Tiada siapa menang, tiada siapa kalah. Bertahun juga kami tidak bertanya khabar masing-masing.

Namun, baru-baru ini kami bertemu di sebuah restoran. Dengan bangganya
Amin memberitahu saya yang dia menang kembali dalam perlumbaan kami.
Katanya, “Hei, aku dah dapat datuklah. Aku rasa engkau tak boleh lawan
aku dah, melainkan kalau engkau beli pangkat datuk tu.” Sambil
mengucapkan tahniah kepada Datuk Amin, saya menjawab dengan senyuman.
“Aku pun dapat datuk jugak sebab nak dapat cucu tahun depan!” Tawa kami
berderai kerana kami sama-sama tahu, Amin tidak punyai anak walaupun dia
sudah berpangkat datuk.
Kehidupan kita sejak di zaman persekolahan telah pun diperlumbakan oleh sistem pendidikan. Kita digalakkan mengejar markah sebagai pengukur kehebatan. Siapa nombor satu, siapa nombor akhir atau siapa di kelas yang bagus, di sekolah yang bagus selalu menjadi bandingan hingga kita diterap dengan pemikiran sebegini dalam mengejar kecemerlangan kuantitatif.

Akhirnya kita terbawa pemikiran sebegitu dalam world view dan persepsi
diri hingga kita ingin berjaya bersandarkan kemenangan material. Yang
memperoleh semua itu akan rasa hebat dan menang. Yang tidak dapat
kesemua itu berasa gagal dalam kehidupan. Kejayaan dan kegagalan kita
itu mengikut ukuran orang sekeliling dan sistem masyarakat, bukannya
diri sendiri.
Sepatutnya ukuran kemenangan atau kegagalan itu diukur bukan sahaja berdasarkan perolehan kuantiti, tetapi kualiti. Seperti kisah saya dan Amin, walaupun akhirnya sama-sama memperoleh kuantiti dan kualiti kehidupan yang mana akhirnya dia memperoleh gelaran datuk dan saya pula berpangkat datuk.

Sungguhpun kami sama-sama membesar di persekitaran dan pendidikan yang
sama, akhirnya kami memperoleh kejayaan pangkat atau gelaran datuk yang
mempunyai erti berbeza. Bukankah sesungguhnya itu menandakan, dalam
maraton kehidupan ini, kita sebenarnya bukan berlumba dengan orang lain,
sebaliknya dengan diri sendiri. Kejayaan kita tidak akan sama dengan
orang lain. Walaupun memperoleh kejayaan yang sama, rasa indahnya tentu
sekali berbeza.
No comments:
Post a Comment