Melayu gagal dakwah orang Cina
Oleh LanH
FIRDAUS
Wong daripada Perkim memukau hadirin pada sesi ceramahnya yang
menekankan kewajipan seseorang Muslim untuk berdakwah, di sebuah masjid
berdekatan rumah saya 19 Oktober lalu. Walaupun masa diperuntukkan
adalah antara maghrib dan isyak, Firdaus ‘terbabas’ daripada tempoh
ditetapkan.
Seusai ceramahnya, Firdaus memberi peluang kepada
hadirin bertanyakan soalan; saya tidak melepaskan kesempatan itu dengan
menyoal kenapa orang Melayu gagal dalam ‘dakwah’ mereka kepada orang
Cina kerana kata saya, kini ada hanya lebih kurang 60,000 Cina Muslim
daripada 8 juta orang Cina di Malaysia.
Beliau membetulkan
angka yang saya beri, katanya kini hanya adalah lebih kurang 40,000 Cina
Muslim di kalangan 28 juta rakyat negara ini. Ya, angka ini sungguh
kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah
orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti tidak langsung berdakwah
kepada orang Cina?
Dalam soalan saya kepada Firdaus, saya
menekankan bahawa mengikut teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara,
penduduk rantau ini diislamkan oleh pertamanya, saudagar Arab; keduanya
saudagar India dan ketiganya oleh saudagar dan penjelajah Cina dengan
contoh utamanya Laksamana Cheng Ho yang beberapa kali belayar melalui
laut kawasan ini untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.
Ya, dulu
orang Cina terbabit mendakwah orang Melayu, maklumlah Islam dikatakan
telah sampai ke negara China pada abad ke-7 sedangkan di Alam Melayu,
rakyat kerajaan besarnya seperti Sriwijaya masih beragama Hindu dan
Buddha. Jadi orang Melayu sebahagiannya diislamkan oleh orang Cina
tetapi kenapa hari ini orang Melayu sebagai penduduk asal rantau ini
tidak berjaya menarik jutaan orang Cina kepada Islam?
Firdaus
menjelaskan sesetengah watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu
seperti mudah tersenyum, peramah manakala anak-anak menunjukkan
penghormatan kepada orang tua seperti mencium tangan ibu bapa, menambat
hati kaum lain tetapi malangnya beliau mengakui orang Melayu tidak
membuat kerja-kerja dakwah; ramai yang mengemukakan alasan seperti tidak
pandai (tiada ilmu) dan tiada masa. Beliau mengingatkan adalah penting
untuk setiap Muslim mencari ilmu, memahaminya, mengamal dan seterusnya
menyampaikannya (berdakwah).
Benarkah hal-hal berkaitan Islam
tidak sampai kepada orang Cina? Dalam dunia moden apatah lagi pada era
perkembangan teknologi komunikasi ini, perkara ini dirasakan mustahil
tetapi sebagai manusia, ‘personal touch’ (jalinan peribadi) adalah amat
perlu kerana situasi ini boleh menyentuh kalbu bagi membuka laluan
seseorang itu mendapat hidayah Illahi.
Pada pandangan saya,
ketika seorang dua pemimpin parti politik Cina hebat menyerang Islam
seperti memperlekehkan hukum hudud adalah amat penting untuk orang Islam
yang cintakan agamanya berperanan untuk menerangkan Islam kepada
rakan-rakan Cina mereka. Merekalah diharapkan untuk melakukan ‘personal
touch’ , adalah amat merugikan jika sudah bertahun-tahun kita berkawan
dengan orang bukan Islam tetapi tidak pernah menerangkan hal berkaitan
Islam kepada mereka.
Bolehkah kita biarkan pemimpin bukan Islam
yang jahil Islam (mungkin benci Islam) berleluasa memberi gambaran
mengenai apa didakwanya sebagai keburukan ajaran Islam? Sesungguhnya
pemimpin seperti ini tidak layak bercakap pasal Islam tetapi mengapa
kita tidak lakukan sesuatu sebelum ‘percakapan mulut busuk mereka’ masuk
ke dalam minda rakan-rakan bukan Islam kita?
Adalah malang jika
kita menganggap hal agama adalah soal ‘taboo’ yang tidak boleh
dibicarakan sesama rakan. Menyampaikan adalah tugas kita, untuk memberi
hidayah itu ‘kerja’ Allah SWT. Tetapi kalau tidak menyampaikan, kita
sudah berlaku khianat; seorang sahabat pernah menceritakan betapa
seorang pemuda Cina Malaysia yang ‘menemui’ Islam di Amerika ketika
menuntut di sana begitu marah sekali kepada rakan Melayunya di Malaysia
yang tidak pernah memberi penjelasan mengenai Islam kepadanya.
Firdaus
tidak meminta kita (orang Melayu-Islam) melakukan tugas yang
berat-berat dalam berdakwah; cukuplah kita bermula dengan menunjukkan
akhlak dan contoh baik, mencetak dan mengedar risalah penerangan atau
al-Quran terjemahan bahasa Cina dan kalau itu pun kita tidak mampu
lakukan, berilah bantuan kewangan kepada pihak yang menjalankannya
seperti Perkim!
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Sabda
Nabi Muhammad s.a.w. di dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, bermaksud:
"Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, tidur pada pakaiannya
malaikat. Maka ia tidak bangun (ketika terjaga) kecuali berkata malaikat
(berdoa): "Ya Allah berilah keampunan kepada Hamba-Mu si fulan (disebut
nama oleh malaikat dalam doanya ini) kerana sesungguhnya ia telah tidur
dalam keadaan suci."
.....
http://lanh14.blogspot.com
No comments:
Post a Comment