MARI BEREHAT DENGAN SOLAT
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Saudara dan sahabat-sahabatku…
Semakin ramai yang mengajukan persoalan dan permasalahan sama ada
di blog ini ataupun melalui FB saya. Saya simpati dan empati. Namun,
disebabkan pelbagai hambatan, saya tidak mampu menjawab semuanya.
Apatah lagi, apabila saya amat-amati, dalam soalan itu sendiri
pun telah ada jawapan. Ya, yang sukar adalah untuk mujahadah. Untuk
sabar serta bijaksana untuk menghadapi dan menyelesaikannya sahaja.
Kebanyakannya hanya perlu ‘didengar’ untuk sekadar berkongsi rasa.
Bukan untuk diselesaikan, tetapi untuk dileraikan. Jangan terus terbuku
dan terpendam di dalam jiwa. Hakikatnya, kita sama sahaja. Saya pun
begitu juga… sangat memerlukan ‘pihak lain’ untuk menjadi pendengar,
tempat kita meluahkan segala dan semua. Dengan berkongsi, kita berbagi
derita.
Kebanyakan jawapan pada permasalahan sudah ada saya tuliskan dalam buku-buku saya. Sama ada Di Mana DIA di hati ku, Tentang Cinta, Cinta Kerana Allah, Mukmin Profesional, Dua Hati Satu Rasa, Nota Fikir untuk Zikir
dan sebagainya. Rajin-rajinlah membaca – cari kekuatan dalam diri. Juga
hadirilah kuliah-kuliah ilmu, insya-Allah hati yang luka akan dapat
diubati. Saya sendiri membaca berkali-kali buku-buku itu dan buku
tulisan orang lain. Namun paling penting, jagalah solat dan zikir ,
kerana itulah terapi yang paling “meresap’ dan mujarab.
Kebanyakan tulisan-tulisan saya adalah gelombang rasa dan
ombak mujahadah yang sedang atau telah saya lalui sendiri. Saya yakin
itulah juga yang pembaca lalui. Jadi, saya hanya menukilkan sahaja rasa
yang pernah dialami oleh kita bersama. Saya cuba mencari kekuatan dengan
menulisnya dan kemudian cuba bermujahadah untuk mengamalkan. Kekadang
(malam selalu) jatuh juga bergelimpangan. Tetapi saya cuba bangun
semula… Begitulah saya doakan untuk para pembaca. Agar tidak mengira
berapa kali kita jatuh, tetapi sejauh mana dan sekuat mana kita bangun
semula.
Ingin saya tegaskan buat diri sendiri dan pembaca… ilmu
itu walaupun utama, tetapi bukan segala-galanya. Paling utama, kita
perlu mengamalkannya. Bagaimana nak sabar? Bagaimana nak redha?
Bagaimana nak memaafkan? Tidak ada jawapan kepada persoalan ‘bagaimana’
kecuali ditempuh sendiri oleh mereka yang mengalaminya. Sakit perit
dalam mujahadah ada dalam realiti kehidupan bukan pada helaian buku dan
catatan. Menulislah dalam kehidupan sendiri dengan peluh, air mata dan
darah… barulah ketenangan dan kejayaan terserlah.
Tidak ada jalan pintas di lebuh raya kebenaran. Semua insan perlu
melaluinya dengan menanggung kesusahan. Itulah jalan yang dipilih Allah
untuk mendapat Jannah. Syurga dipagari oleh kesusahan dan penderitaan.
Cinta-Nya menagih pengorbanan. Jika perlu menangis, menangislah kerana
Allah. Jika perlu sakit, sakitlah kerana Allah. Jika gagal, gagallah
juga kerana Allah. Yang hitam dan putih adalah milkNya, kita hanya hamba
– pada kita hanya usaha. Kemudian tawakal. Kemudian pasrah dan menyerah
– kita milik Allah, kepadaNyalah kita akan dikembalikan.
Buat yang menghubungi, sama ada melalui FB, Blog mahupun
sms… marilah kita bangun bersama untuk bermujahadah. Lawan segala tipu
daya syaitan dan bujukan nafsu. Pinggirkan segala yang menghalang jalan
kita menuju-Nya, sama ada dari insan terhampir bergelar suami, isteri,
anak atau pemimpin atau insan jauh yang telah meminggir. Sebagai
sumbangan kecil dariku untuk semua terimalah:
MARI BEREHAT DENGAN SOLAT!
Siapa yang tidak pernah ditimpa masalah dalam hidup? Bahkan hidup ini
telah diumpamakan oleh sesetengah ahli falsafah sebagai “tempat untuk
menyelesaikan masalah”. Justeru, apabila berdepan dengan masalah,
segeralah dapatkan kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran untuk
menyelesaikannya. Bagaimana? Ya, dengan mengadu kepada Allah yang
“memberi” masalah itu!
Ketika itu, jangan hanya dilihat “sebab” tetapi lihatlah pada
“penyebab” segala sebab. Insya-Allah, jika kita mengadu dan merayu
kepada Allah, Allah pasti akan mendengar dan memberi jalan
penyelesaiannya.
Sama ada semua masalah kita akan diselesaikan-Nya ataupun Allah akan
menjadikan hati kita tabah dan gagah untuk menghadapinya. Dengan
kekuatan itu kita tidak akan terus mengutuk kegelapan, tetapi kita akan
terus berusaha mencari cahaya. Kita tidak akan berterusan mengharapkan
ikan, tetapi kita akan berusaha sedaya upaya memiliki jorannya!
Ingatlah, apabila Rasulullah s.a.w. menyuruh Sayidina Bilal r.a.
mengumandangkan azan, Baginda akan berkata: “Wahai Bilal, rehatkan kami
dengan solat.” (Riwayat Ahmad)
Menerusi permintaan itu, Rasulullah menegaskan bahawa solat
sebenarnya memberi suatu kerehatan bagi orang yang mendirikannya.
Diriwayatkan daripada Sayidina Huzaifah: “Apabila Rasulullah mengalami
suatu kesulitan, Baginda akan segera mengerjakan solat.” (Riwayat Ahmad
dan Abu Daud)
Tindakan Rasulullah ini selaras dengan anjuran Allah yang bermaksud:
“Dan pintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.” (Surah al-Baqarah 2: 45)
Tentu sahaja dalam solat itu, Rasulullah menemui ketenangan dan
kekuatan. Bayangkan, betapa kukuh dan teguhnya jiwa Rasulullah. Baginda
dibantu oleh wahyu dan diperkuatkan oleh mukjizat, namun Baginda masih
mencari kekuatan dengan solat. Lalu siapakah diri kita yang begitu
lemah, tetapi terus angkuh daripada mendapat bantuan Allah menerusi
solat?
Marilah mencari kerehatan dengan solat. Mudah-mudahan:
i) Hati tenang menghadapi ujian
Solat ialah sebesar-besar dan seutama-utama zikrullah. Firman Allah mafhumnya: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha 20: 14)
Hati yang mengingati Allah akan mendapat ketenangan. Ini dapat
dilihat dalam firman Allah yang lain, mafhumnya: “Ketahuilah dengan
mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)
Ketenangan itulah kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam
hidup. Kita menghadapi ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal,
tetapi dengan kekuatan hati. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa,
bosan, putus asa dan marah apabila berdepan dengan kegagalan, kesakitan,
kekurangan dan kekalahan dalam hidup.
ii) Mendapat jagaan Allah
Dalam solat juga, seseorang akan mendapat penjagaan Allah hasil
daripada menjaga hukum Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu.” (Riwayat Ahmad)
Abdullah bin Salam pula pernah berkata: “Sekiranya keluarga
Rasulullah s.a.w. ditimpa sebarang kesempitan, Baginda akan
memerintahkan mereka mendirikan solat dan membacakan ayat Allah berikut
(mafhumnya): ‘Dan perintahkan keluargamu (serta umatmu) mengerjakan
solat dan hendaklah engkau tekun dan sabar mengerjakannya. Kami tidak
meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kami yang memberi rezeki kepadamu. Dan
ingatlah kesudahan yang baik bagi orang yang bertakwa.’” (Riwayat
al-Tabarani)
Sekian lama kita menagih simpati dari ‘benda’ dan manusia. Ya, lumrah
hidup, setiap manusia pasti menghadapi tekanan dalam hidupnya. Apa yang
mereka biasa lakukan? Mengikut pendapat pakar psikologi, jika seseorang
ditimpa masalah, dia perlu meluahkan masalah itu kepada pihak kedua dan
jangan sekali-kali dipendamkan. Bagaimana?
- Tulisan
Luahkan dan tumpahkan semua masalah itu dalam bentuk perkataan dan
ayat. Dengan menulis, seseorang akan menjadi lebih rasional dan jelas
tentang apa yang sedang dihadapinya. Secara beransur-ansur, emosi yang
tertekan dan menggelegak akan menjadi reda apabila fikiran mencari kata
dan fakta, kemudian menyusunnya membentuk ayat bagi menterjemahkan rasa
hati.
- Luahan
Cari orang yang paling dipercayai dan luahkan segala masalah itu
kepadanya. Jangan diharapkan sebarang penyelesaian, tetapi cukup sekadar
meluahkan. Dengan bercerita dan berkongsi segala yang terpendam di jiwa
bersama orang yang dipercayai, kita merasakan tidak keseorangan dalam
menghadapi masalah tersebut. Ini memberi kelegaan buat jiwa.
Mengikut kajian pakar psikologi, manusia memerlukan manusia lain
untuk mendengar segala rintihan dan kesusahan hatinya, sama seperti
mereka memerlukan makanan. Tanpa makanan, badan akan lemah. Begitulah,
tanpa didengar masalahnya manusia akan tertekan dan lemah jiwanya.
- Aktiviti Lain
Mengikut pakar perubatan, mereka yang memiliki binatang kesayangan
seperti kucing, ikan dan burung dapat mengurangkan stres berbanding
mereka yang tidak. Begitu juga seseorang yang memiliki hobi tertentu
umpamanya, membaca buku, memanjat bukit, berkebun dan sebagainya. Dengan
melihat, memegang dan mendengar sesuatu yang menyeronokkan melalui
binatang kesayangan dan hobi yang diminati ini, tekanan yang dihadapi
dapat diminimumkan.
Itulah tiga cara untuk mendapatkan kelegaan dan ketenangan jiwa.
Namun, bagaimana hebat dan bijak sekalipun kaedah yang mampu difikirkan
manusia, ia tidak dapat menandingi kaedah yang telah ditetapkan Allah.
Ya, kaedah yang ditetapkan itu ialah solat!
Dalam solat, seluruh elemen dalaman dan pancaindera lahiriah diarahkan
untuk berhubung dengan Allah. Sebab itulah, ada ulama yang menyatakan
solat itu satu bentuk hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya.
Bayangkan, solat umpama “wayar” yang menyambungkan diri seorang hamba
yang lemah, jahil, hina, miskin dan tidak berdaya dengan Allah; Tuhan
yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui, Maha Mulia, Maha Kaya dan Maha
segala-galanya. Solat itu umpama “talian hayat” buat seorang hamba
apabila berdepan dengan segala kekusutan, kekeliruan dan kesusahan dalam
hidupnya.
Jika kita punya hajat, solatlah dua rakaat, solat hajat. Pintalah
kepada Allah segala yang diingini. Yakinlah akan janji Allah ini:
“Pintalah, nescaya akan Aku kabulkan.” (Surah al-Mu’min 40: 60)
Jika pada suatu masa dan keadaan, kita keliru untuk membuat keputusan
dan melakukan pertimbangan, maka dirikan solat istikharah. Insya-Allah,
Allah akan berikan ketenangan emosi dan kestabilan fikiran untuk
membuat keputusan. Kita akan dipandu ketika memilih kebaikan di
tengah-tengah ribuan kecelaruan.
Jika yang kita ingini rezeki, maka dirikan solat Duha, solat yang
menjadi kunci pembuka rezeki dari langit dan bumi! Namun, paling utama
dan pertama ialah solat fardu. Itulah tiang agama, tonggak jiwa untuk
menghadapi segala.
Hati manusia umpama bateri telefon bimbit yang mesti dicas selalu
untuk berfungsi. Jika bateri telefon perlu dicas dua atau tiga hari
sekali, maka hati manusia perlu dicas dengan solat sebanyak lima kali
sehari.
Hati manusia yang tidak solat umpama bateri yang kosong. Maka manusia
yang tidak solat, umpama telefon yang sudah kehabisan bateri. Apabila
hati “mati”, tidak berguna wajah yang tampan dan badan yang sasa pada
seseorang manusia, seperti tidak ada gunanya telefon bimbit yang canggih
dan cantik tanpa bateri!
Di manakah kita meluahkan segala rasa hati? Dengan siapa? Hakikatnya
“pemberi” masalah dan “pemegang” hatilah yang berkuasa memberi
ketenangan hati dan membantu menyelesaikan masalah. Siapa pilihan kita?
Allah : Pendengar Tanpa Jemu
Apabila seseorang sedang solat, dia sebenarnya sedang mengadu, merayu
dan meminta bantuan Allah. Seorang ulama bernama al-Hakim berkata:
“Jika kamu ingin mendengar kata-kata Allah kepadamu, bacalah al-Quran.
Sebaliknya, jika kamu ingin berkata-kata dengan Allah, dirikanlah
solat.”
Dengan membaca al-Quran, kita mendengar ayat-ayat yang diturunkan
kepada kita untuk mengurus dan mengatur kehidupan. Manakala dengan
mendirikan solat pula, kita memuji Allah, merayu dengan menyebut apa-apa
yang kita inginkan dan meluahkan segala kelemahan.
Bayangkan, sekiranya kita meluahkan masalah di atas kertas, kepada
orang yang dipercayai, melihat rupa dan mendengar suara haiwan
peliharaan, pun sudah mendapat ketenangan apatah lagi jika kita
meluahkan segala-galanya kepada Allah. Ketenangan yang kita dapati hasil
berhubung dengan Allah melalui solat ialah ketenangan yang hakiki.
Kualitinya berganda-ganda daripada ketenangan yang didapati dengan cara
yang lain.
Menulis masalah di dalam buku catatan, kadangkala meletihkan.
Menceritakan masalah kepada seseorang ada kalanya dikecewakan. Manusia,
walau bagaimana baik sekalipun, pasti bosan sekiranya diperdengarkan
masalah secara berulang-ulang dan berterusan. Haiwan peliharaan, walau
bagaimana comel, cantik dan merdu pun siulannya, lama-kelamaan akan
membosankan hati. Begitu juga hobi, ada masanya tidak dapat
menyelesaikan soal hati. Maka pada siapa lagi kita hendak mengadu?
Ya, mengadulah kepada Allah dalam solat. Allah tidak pernah jemu.
Perdengarkan masalah kita berulang-ulang, hatta masalah yang sama, Allah
sentiasa sudi mendengarnya. Tuhan tidak pernah kecewa dengan kerenah
manusia kerana Tuhan mencipta manusia dan Dia menjaga ciptaan-Nya itu
dengan penuh kasih sayang.
Allah sentiasa dekat dengan kita selagi kita tidak menjauhi-Nya. Jika
kita bertanya tentang-Nya, Allah menjawab: “Jika manusia bertanya
tentang-Ku, katakan Aku dekat, dan Aku memenuhi permintaan orang yang
meminta.”
Jika kita berasa kecewa dan hampir putus asa, Allah memujuk: “Tidak ada yang putus asa melainkan orang kafir.”
Apabila kita berasa dihina dan dipinggirkan, Allah mengingatkan:
“Jangan berasa hina dan takut, kamu adalah orang yang tinggi martabatnya
jika kamu beriman.”
Dan apabila kita terasa keseorangan, kesepian dan mula gementar
menghadapi segala ujian dan gelombang kehidupan, Allah memberi harapan
dengan firman-Nya yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah
bersama kita.”
Ya, selagi kita bersama Allah, selagi kita menunaikan solat, kita
akan kuat menghadapi apa-apa jua cabaran. Lalu, tunggu apalagi, marilah
berehat dengan solat!
No comments:
Post a Comment