Pesakit kanser wajar berehat atau direhatkan
Aspan Alias
Saya tidak dapat memikirkan
alasan-alasan yang munasabah untuk kita mengekalkan UMNO sebagai pemegang amanah negara kerana segala-gala
yang dilakukan dan kegagalan UMNO selama ini sudah ‘terbonggeng’ dan sudah
dirasakan oleh semua rakyat. UMNO ibarat pesakit kanser yang ‘terminal’ kerana
hampir semua sel-sel dalam tubuh UMNO itu sudah mati. Penyakit kanser ini
merupakan satu penyakit dalam mana sel-sel di dalam tubuh kita telah mati dan
sel-sel yang masih hidup itu pun akan berbunuh-bunuhan sehingga penanggungnya,
iaitu tubuh dan jasadnya mati.
Seperti penghidap kanser, ia akan
selalu berusaha untuk mengubati penyakit yang merbahaya itu, tetapi akhirnya
tubuh akan mati juga. Pesakit dan penghidap kanser akan melakukan apa sahaja
untuk berubat samada menggunakan ubat tradisi atau ubat-ubat moden di hospital-hospital.
Selalunya pesakit kanser akan berbuat apa sahaja untuk meneruskan kehidupan.
Jika ada yang memberikan nasihat untuk pergi ke tempat-tempat di mana-mana
sahaja untuk berubat pesakit atau penjaganya akan pergi untuk memberikan harapan
untuk terus hidup.
Tetapi akhirnya pesakit-pesakit
kanser yang sudah pulih itu hanya mengalami pemulihan sementara sahaja dan
akhirnya mereka akan mengakhiri kalamnya kerana penyakit itu juga. Tetapi saya
tidak menafikan yang ada yang selamat sehingga satu jangka yang lama (dengan
izin Allah), tetapi lambat launnya pesakit itu akan meninggal kerana penyakit
itu.
Begitu jugalah UMNO. UMNO sudah
menghidap penyakit ini agak lama, tetapi oleh kerana UMNO ini parti
kaya-raya
dan dipimpin oleh semua pemimpin-pemimpin yang ‘kaya baru’ maka hayatnya
telah
dapat disambung kerana yang kaya selalunya akan dapat berubat dan pergi
terbang ke seluruh pelusuk dunia untuk berubat. Penyakit kanser UMNO ini
sebenarnya sudah lama kerana ramai yang berpendapat ia mula merebak
sejak pemerintahan
Dr Mahathir. Tetapi UMNO mampu berubat kerana kekayaan
pemimpin-pemimpinnya
maka UMNO dapatlah untuk terus hidup sampai ke pilihanraya 2008 dahulu
walaupun
tanda-tanda kematian sudah jelas nampak apabila hilang majoriti 2/3 di
Dewan Legislatif
Parlimen.
Tetapi seperti yang saya katakan
tadi, yang akan membunuh UMNO itu ialah penyakit kanser yang dihidapi selama
ini juga. Sebagai pesakit kanser seseorang itu terpaksa berbelanja besar untuk
membeli ubat dan membeli ‘supplement’ yang mahal-mahal untuk menyekat kemaraan
penyakit kanser itu.
Maka kita sedang melihat
bagaimana UMNO terpaksa berbelanja besar untuk merawat penyakit yang
dihidapinya itu. Najib terpaksa ke hulu ke hilir serta mundar-mandir ke
darat dan
ke baruh untuk memanjangkan usia parti yang sedang menghadapi penyakit
yang
serius itu. Sekali Najib melawat jutaan wang ringgit dibelanjakan dan
semuanya
ini adalah wang rakyat. Seperti yang saya katakan peruntukan besar
terpaksa diadakan untuk membeli segala ‘supplement’ yang dikatakan baik
untuk mengekang
penyakit ini daripada merebak.
Najib akan mendengar semua
nasihat penasihat-penasihat dan rakan-rakan karibnya akan melakukan apa sahaja
untuk mengubati penyakit yang amat sukar diubati itu. Di antaranya ialah satu
ubat yang dinamakan ‘BR1M’ iaitu bantuan rakyat 1Malaysia. Ubat BRIM ini amat
mahal harganya untuk memujuk sel-sel yang ada di dalam tubuh UMNO itu supaya
tidak mati. Berbillion harganya ubat ‘BR1M’ ini.
Satu lagi usaha ialah dengan
meminta semua sel-sel di dalam tubuh itu supaya tidak membunuh satu dengan yang
lain. Ramailah pemimpin-pemimpin UMNO yang telah pergi ke Yayasan Perdana di
Putrajaya untuk mengangkat sumpah di depan pemimpin besar UMNO supaya tidak
membunuh di antara satu dengan lain kerana kanser disemarakkan oleh bunuh
membunuh di antara sel-sel yang masih hidup itu. Ramai pemimpin UMNO telah
pergi mengangkat sumpah di depan Dr Mahathir dan berbai'ah untuk tidak
mensabotaj calon-calon BN dalam pilihanraya nanti.
Itulah sebenarnya penyakit UMNO
itu. UMNO juga tahu yang pesakit kanser yang sudah sampai ke tahap ‘stage 4’
akan kurang diyakini oleh orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab. Pesakit
kanser akan hanya dapat melambatkan kemaraan penyakit itu dengan berehat dan
jauhi dari segala bentuk tekanan yang dianggap ‘stressful’ kerana perasaan
tertekan itu akan memburukkan lagi penyakit itu.
Itu sebabnya UMNO kian hari kian
lemah kerana terlalu tertekan dan tidak mungkin boleh memperbaiki kesihatannya.
Kerana tekanan yang terlalu serius maka kita sedang melihat kesihatan UMNO itu semakin hari semakin
buruk.
Itulah sebabnya rakyat meminta
UMNO untuk berehat dan pergilah buat pembedahan yang mana patut semasa dalam
berehat itu. Tetapi sebagaimana sikap pesakit, mereka susah untuk menerima
hakikat yang mereka terpaksa melakukan pembedahan-pembedahan yang amat
diperlukan itu.
Rakyat perlu memaksa UMNO pergi
melakukan pembedahan dan berehat sebanyak yang mungkin. Sementara itu
tanggungjawab menjaga negara dan rakyat ini biarlah dilakukan oleh pihak lain
yang sudah terbukti lebih sihat dan walafiat.
UMNO perlu memahami keutamaan
mereka. Keutamaan mereka ialah untuk berehat dan melakukan pembedahan. Jangan fikir lagi untuk masih berada di pejabat
dan bekerja. Kalau masih mahu bekerja pun ia tidak akan membawa apa-apa
keuntungan kepada negara.
Kepada UMNO, pergilah berehat.
Jaga kesihatan yang sudah terlalu uzur itu. Itu lebih afdhal. Bersihkan segala
‘toxic’ yang ada di dalam tubuh UMNO itu. Makan dan minumlah makanan dan
minuman yang mempunyai kandungan ‘alkaline’ yang tinggi untuk mengurangkan
‘toxic-toxic’ tersebut.
No comments:
Post a Comment