Hati adalah cermin kepada segala perbuatan. Setiap kali melakukan sesuatu, hati kita akan mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Berbeza dengan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Rasulullah SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.

Justeru, agama Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.


Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati. Hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika di akhirat nanti, manakala hati yang kasar dan keras adalah hati yang terhijab daripada kebenaran.

Firman Allah SWT: “Dan barang siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al-Israa, ayat 72)

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita seperti puasa, sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati menjadi baik. Tujuan berpuasa adalah untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa.

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah sewaktu tiada mata yang melihat dan berbuat baik semasa ramai orang menjadi jahat.
Dalam Islam, terdapat beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati yang berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit.
Firman Allah SWT: “Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 10)

Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi keras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa.

Firman Allah SWT: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’aam, ayat 43)

Hati yang keras jika tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al-Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya.

Allah SWT berfirman: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74)

Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembutkan hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu.

Setelah itu, hati menjadi tertutup dan apabila hati sudah tertutup ia tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14)

Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah SWT: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 6-7)

Seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya. Justeru, setiap Muslim wajiblah menjaga hati seperti menjaga harta yang tidak ternilai harganya. Kita tidak akan mempunyai hati yang kedua, yang boleh menggantikan hati yang mati.

Bagaimanapun, kita mampu menghidupkannya kembali dengan iman dan takwa. Usaha menghidupkan hati perlu dilakukan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh. Ibarat menjaga harta paling mahal, kita tidak ingin hati rosak disebabkan kotoran yang tidak dibuang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia