Thursday, August 4, 2011

SALAH FAHAM DALAM BERPUASA !!!



Diam tak diam dah masuk hari keempat kita berpuasa. Sungguh pantas masa berlalu.Begitulah di akhir zaman ini semuanya pantas, cepat. Mati pun cepat.

Pagi ini, Ustaz Halim pensyarah UNISZA mengupas tajuk berkaitan dengan salah faham di kalangan umat Islam khususnya orang Melayu dalam melaksanakan ibadah puasa.

Bulan Rehat

Bila kita ke pejabat kerajaan, kita akan dapati proses kerja berlaku perlahan berbanding hari-hari biasa. Alasannya, puasa. Bila nal buat apa-apa aktiviti atau pelaksanaan sesuatu tindakan, jawapannya tunggulah lepas bulan puasa. Begitu juga di sekolah, sama juga, tunggulah lepas Ramadhan barulah kita laksanakan.

Benarkah itu yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Pada zaman baginda berlaku peperangan dengan orang-orang kafir. Pada zaman baginda juga kerja-kerja harian diteruskan seperti biasa. Suatu kesilapan jika beranggapan puasa menyebabkan kerja-kerja harian perlu ditangguhkan.

Bulan Tidur

Bila selepas waktu zohor, bergelimpanganlah tubuh-tubuh manusia di dalam masjid Ladang contohnya. Ada yang ambil kesempatan tidur waktu rehat. Ada setengahnya berpakat dengan anak-anak bila pergi terawih buat lapan rakaat sahaja. Sebab ayah nak balik cepat kerana mata mengantuk nak tidur.

Memang ada hadis menggalakkan tidur di bulan Ramadhan. Tetapi tujuannya untuk membolehkan bangun malam bagi tujuan menghidupkan malam dengan solat  Tahajud atau tilawah al Quran.

Bulan Diet

Ada setengah kaum wanita bercita-cita untuk kuruskan badan di bulan puasa, kerana kurangkan makan. Niatnya berpuasa untuk kuruskan badan. In sudah menyeleweng daripada tujuan untuk takwa.

Bulan Pesta Makanan

Waktu Ramadhan inilah peluang untuk makan pelbagai jenis makanan yang jarang-jarang ditemui di luar bulan Ramadhan. Pergilah ke bazar-bazar Ramadhan pasti bertemu dengan pelbagai jenis juadah dan makanan. Bulan Puasa menjadi bulan PUASKAN NAFSU PERUT.

Bulan Jimat Cermat

Ada juga beranggapan bulan puasa bulan berjimat cermat, kerana waktu siang hari tak perlu makan, maka jimat belanja. Rasulullah saw, pada bulan Ramadhanlah paling banyak mengeluarkan wang untuk BERSEDEKAH.

Kita banyak juga keluarkan wang tapi untuk beli makanan, baju raya, langsir rumah, kerusi set baru.

Bulan Masjid

Bulan Ramadhan masjid penuh sesak terutama waktu Isyak dan solat Terawih. Alangkah baiknya jika amalan berjemaah diteruskan sepanjang tahun. Ada hadis yang menyatakan tidak sah solat jika bersendirian. Malahan pahala berjemaah 27 kali ganda. Atau mungkin ada yang beanggapan, Allah hanya ada pada musim Bulan Ramadhan sahaja kot? Ahli-ahli politik pun sibukan dirilah berjemaah dengan jemaah masjid, kerana tak lama lagi pilihan raya, Sebelum ini jarang dan tak pernah nampak batang hidung.

Bulan Beribadah

Ada yang sepanjang malam berjaga kerana solat tahajud dan sebagainya. Siang tidur. Kalan waktu kerjapun dia tidur, sebab nak jaga malam, tahajud. Walhal waktu siang dia bekerja dan dibayar gaji. Berjaga malam itu urusan peribadi dan tidak dibayar gaji.

Puasa Tetapi Tak Solat

Inipun satu penyakit yang sukar nak dihapuskan, Ada yang sanggup menahan lapar kerana berpuasa tetapi tidak tunaikan solat 5 waktu.

Puasa Tetapi Telanjang Dikhalayak Ramai

Dikalangan wanita dan anak gadis, fesyen ketat membungkus tubuh masih diteruskan seperti amalan hari-hari biasa. Kepala bertudung, tetapi seluar dan baju ketat, tutup semua tubuh tetapi seperti nangka yang dibungkus. Ketat menampakkan susuk tubuh. Inilah yang dimaksudkan oleh Nabi saw, berpakaian tetapi telanjang.

Bermacam-macam lagi kekeliruan yang boleh ditemui di Bulan Ramadhan ini. Puncanya kerana kejahilan dan suka beramal secara ikut-ikutan, Marilah kita renungi, wahai ayah-ayah, wahai pemimpin-pemimpin perbaikilah situasi ini jangan dibiarkan, penuhkan rancangan TV dan radio dengan dakwah yang lebih agresif. Hentikanlah menayang cerita-cerita yang mengarut dan menaikkan nafsu. Selamatkan generasi yang ada ini.

No comments:

Post a Comment