Pagi ini saya punyai dua tiga urusan penting yang perlu diselesaikan. Pertama hantar anak ke sekolah kemudian terus ke rumah Mok Ngal (ibu saudara orang rumah saya) untuk mengaji. Kedua ,ke klinik mengaji, juga di bangunan MARA Kemudian hari ini juga saya perlu ke Pejabat Agama untuk urusan pembayaran zakat dan fitrah.
Dan yang paling ‘urgent’ iailah mendapatkan tanda tangan daripada dua orang jiran rumah saya untuk surat kebenaran membina garage dalam kawasan rumah saya sendiri?. Ini adalah kehendak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu bagi kelulusan pelan rumah yang sudah dibina lebih sepuluh tahun lalu tetapi pelannya masih belum selesai, kerana kerenah birokrasi dan kelembapan serta ketidak cekapan urusan MPKT. Maaflah kalau ada orang MPKT yang baca tulisan saya. Tapi itulah hakikatnya. Apa boleh buat MPKT ada kuasa boleh saman tuan punya rumah jika tidak akur dengan arahannya.
Akhirnya saya memutuskan pergi mengaji, walaupun terpaksa menunggu sejam lebih untuk masuk membaca Quran depan Ustaz Fuad, Tok Guru mengaji saya yang banyak membimbing orang dewasa yang kurang celik Quran, termasuklah diri saya, tetapi setelah bersara ada keinsafan dan kesedaran untuk membetulkan bacaan kitab suci AlQuran, Sepatutnya urusan baca Quran telah selesai di bangku sekolah lagi tetapi oleh kerana sesuatu yang tidak dapat dielakkan saya tergolong dalam golongan yang lemah dalam membaca Al Quran. Salah saya sendiri.
Alhamdulillah jam 10.00 pagi saya selesai mengaji dengan Ustaz Fuad, kemudian saya ke Pejabat Agama Islam untuk menjelaskan bayaran zakat simpanan dan zakat fitrah untuk isteri dan anak-anak serta ibu saya. Beres semuanya. Tak ramai yang datang menjelaskan zakat fitrah, mungkin kerana terlalu awal lagi kot bagi kebanyakan umat Islam. Mungkin mereka menunggu waktu sunat iaitu malam atau pagi raya kot?
Memandangkan saya akan menunaikan umrah pada 16 Ogos ini saya perlu selesaikan urusan saya dengan Allah terutama soal zakat fitrah, jika tidak nanti segala ibadah akan tergantung tidak diterima Allah.
Selesai urusan saya dengan Allah, jam menunjukkan 11 pagi. Hari dah lewat, Selepas mendapatkan tanda tangan dua orang jiran saya, surat kebenaran bina garage kereta di rumah saya sendiri, saya ke pejabat pesuruhjaya sumpah untuk pengesahan surat tersebut. Kemudian bergegas ke pejabat tukang pelan di Losong untuk menyerahkan surat tersebut untuk dihantar kepada MPKT. Kebetulah pembantu am pejabat pelan baru nak ke MPKT untuk menghantar surat. Alhamdulillah surat saya dapat di hantar bersama pada saat itu.
Apa yang saya dapat iktibar daripada peristiwa kecil ini, ialah APABILA KITA SELESAIKAN SEGALA URUSAN KITA DENGAN ALLAH, MAKA ALLAH AKAN PERMUDAHKAN SEGALA URUSAN KITA SESAMA MANUSIA.
Saya sangat yakin dan percaya jika dalam hidup ini, kita dahulukan segala urusan kita dengan Allah mengatasi urusan lain, maka Allah akan memberi pertolongan kepada kita untuk menyelesaikan apa jua urusan atau masalah yang kita hadapi. Contoh yang paling mudah, jika dah masuk waktu solat, walau apapun tugas atau kerja yang kita lakukan, tentulah tidak dapat menandingi kepentingan menyahut seruan atau suruhan Allah. Kita tinggalkanlah kerja-kerja lain, lakukanlah solat. Kemudian sambunglah tugas yang perlu diselesaikan.
Sewaktu bertugas dahulu saya sering menghadiri mesyuarat dengan pegawai atasan, Kadang-kadang mereka mengendalikan mesyuarat tidak peduli langsung untuk menghormati wakktu. Solat zohor hampir waktu asar. Apa nak buat manusia selalu dilekakan oleh urusan dunia. UTAMAKANLAH URUSAN DENGAN ALLAH, INSYAALAH ALLAH AKAN SELESAIKAN URUSAN KITA.
No comments:
Post a Comment