Tuesday, August 9, 2011

SEMAK KUALITI PUASA KITA


Sudah sembilan hari kita berpuasa. Alhamdulillah setakat ini belum seharipun kita tinggalkan puasa, kecualilah wanita yang uzur syarie.

Bagaimana agaknya nilai atau kualiti puasa kita ? Jika hanya sekedar tak makan tak minum, ramai orang bukan Islam mampu berbuat demikian. Maksudnya segala amalan cakap bohong, mengumpat, melihat benda-benda yang haram, hasad dengki, mencuri tulang  sewaktu bekerja. Tidak amanah dan  perkara-perkara yang sewaktu dengannya berjaya kita tinggalkan, InsyaAllah matlamat puasa agar kita menjadi insan bertakwa mungkin tercapai.

Bagaimana pula solat lima waktu, sudah terlaksana atau tidak. Jika masih tidak cukup atau selalu lewat meuunaikannya, tentu kesan atau prestasi puasa kita perlu disemak semula. Dua hari lepas jiran rumah saya meninggal dunia. Usianya dah hampir 75 tahun. Tapi ada juga orang yang baru berusia 35 tahunpun meninggal dunia. Umur kematian tidak boleh jangka.

Bulan puasa ini roh umat Islam meningkatkan tinggi, sebabnya perangai atau sifat haiwan dikekang dan dikawal. Makan, minum sex tidak dibenarkan waktu siang hari. Bila tabiat haiwaniah ini dapat di kawal,  rohani akan meningkat. Itulah sebabnya masjid dan surau agak ramai yang hadir berjemaah, terutama waktu Isyak dan Terawih. Sanggup pula solat sampai 20 rakaat ?

Bila masuk sahaja awal Syawal, masjid dan surau seperti sediakala. Kalau  jemaahnya hanya sekedar dua saf, maka itulah kekal keadaannya. Mengapa berlaku demikian, sebabnya waktu itu segala tingkah laku haiwan seperti makan, minum dan apa sahaja pantang larang sewaktu bulan puasa sudah boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Maknanya sifat haiwan sudah mulai menguasai diri kita. Cuma kita belum jadi haiwan sahaja.

Itulah agaknya salah satu hikmah berpuasa, Allah hendak mengembalikan insan kepada sifat fitrah iaitu suci bersih. Apabila sifat malaikat mampu dibangunkan dalam jiwa insan sudah pastilah tabiat PATUH, TAAT, AKUR DAN TAKUT kepada perintah Allah menjiwai diri umat Islam.

Amalan puasa sebenarnya ingin melahirkan  insan yang sentiasa sedar, insaf dan takut bahawa setiap masa, saat dan ketika, walau dimanapun kita berada, Allah sentiasa melihat,mendengar, memerhati dan mengetahui apa yang kita lakukan, fikirkan, cakapkan, atau rasakan. Allah tidak akan menerima amalan puasa kita kalau hanya sekedar tak makan dan tak minum tetapi jika maksiat mata, telinga, mulut dan lain-lain anggota masih seperti biasa tanpa segan silu, maka hanya lapar dan dahaga sahajalah yang kita dapat, tak lebih daripada itu.

Dan sungguh malang sekalilah, ruhul syiam (kesan puasa) atau KPI (key perfomance indicator) berpuasa itu hanya kekal dalam bulan puasa sahaja. 

Marilah kita isikan masa puasa yang masih berbaki ini dengan panduan dan kurikulum puasa yang telah digariskan oleh Allah swt sebagaimana disampaikan oleh oleh Rasulullah saw.

Jangan lupa buku teks wajib Ramadhan iaitu Al Quran perlu dibaca secara ” tadarus” iaitu ada yang membaca ada yang mendengar untuk diperbetulkan, difahami dan dihayati. Selamat meneruskan perjuangan agar puasa benar-benar sebagai perisai daripada gangguan syaitan dan iblis serta yang pentingnya perisai daripada azab api neraka.

No comments:

Post a Comment