oleh SRI DIAH
Sinar Harian 2/18/2011 9:02:09 AM "Mengapa ini harus terjadi? Mengapa aku sahaja yang mengalaminya?” Petang itu dia datang kepada saya dengan muka murung. Saya tahu kisah silamnya. Saya tahu kelakuan buruknya yang lebih banyak daripada kelakuan baiknya. Masya-Allah, dia begitu teruk diuji. Dia begitu kerdil untuk menghadapi semua belenggu masalah. Jiwa kacaunya selalu menuduh Tuhan tidak adil. Dia selalu menganggap Tuhan tidak sayangkan dirinya.
Dia yakin, hidup ini sudah memberi balasan kepadanya sebelum sempat dia menjenguk alam barzakh. Penderitaan datang bertalu-talu. Deritanya tidak habis-habis. Semuanya kerana dia adalah perempuan jalang. Dia hampir mahu bunuh diri. Itu dulu. Dia juga hampir mahu menghiris urat nadinya.. Itu semua adalah zaman gelap yang sudah dia tinggalkan. Sekarang ini, dia tidak mahu hidupnya yang memang sedia kotor itu disudahi dengan jalan yang sesat. Allah yang dia puji. Allah yang dia hormat. Namun ada kalanya Allah juga yang dia kesali... hanya kerana derita tidak sudah-sudah menempel pada dirinya. Dihina. Jatuh miskin. Diludah. Diceraikan.
Dia juga menyesal dilahirkan di dunia. ”Ya Allah, ampunilah hambaMu ini...” Dia teringat masa muda yang bergelumang dosa, jauh dari Allah. Anak-anaknya menderita karena tidak terurus dengan alasan sibuk kerja. Suaminya mencari wanita lain, tinggalkan dia dengan status `gantung tidak bertali’. Runsing sampai membuatkan dia hilang kerja. Hidup gelandangan dan akhirnya terdampar di rumah sakit mental. Beberapa hari kemudian setelah pulang dari rumah sakit, suami dan anaknya telah meninggalkan rumah. Air matanya yang mengalir setiap malam tidak membuat anak dan suaminya kembali. Hanya Allah mengetahui jawapannya, dirinya hanya pelakon yang telah ditetapkan oleh Allah untuk mengikuti senarionya.
Allah telah menyiapkan alur cerita, ada bahagian cerita yang indah, ada cerita yang penuh isak dan tangis. Sememangnya dia patut bersabar. Namun syaitan itu maha kuat menggodanya. Kini dia adalah penghuni sebuah rumah perlindungan wanita. Dia hadir ke rumah perlindungan itu untuk mengharap ihsan. Dia mahu belas kasihan. Dia sedar usia telah mematangkan dia. Dia mahu hidupnya berakhir di situ. Namun sebenarnya, di rumah itu adalah titik mula hidupnya.
Kepahitan hidup yang bertubi-tubi yang dihadapinya membuatnya lebih mendekatkan diri kepada Allah dan lebih bersabar dalam menjalani hidup. Solat fardu senantiasa dikerjakan tepat waktu. Kepahitan hidup telah membuatnya tersedar akan cinta dan kasih sayang anak dan suaminya. Dia telah menyesali apa yang telah dilakukannya. Dia memohon ampun kepada Allah atas kesalahan yang pernah dilakukannya.
Cerita ini adalah bonus bagi wanita berkenaan. Bagaimana bagi wanita yang gagal mengawal diri dan terjebak dengan hasutan syaitan? Insiden mencampak anak dari flat adalah buktinya. Begitu juga dengan insiden memberi anak minum susu beracun. Atau lebih nekad lagi, gadis terjun dari bangunan sekolah. Kecelaruan fikiran semakin meningkat akhir-akhir ini. Ada banyak sebab.
Faktor kurang kasih sayang, masalah kewangan, soal cinta yang terputus tengah jalan, hasutan rakan, penagihan dadah adalah antara punca yang relevan kini. Ini menjadikan peningkatan masalah kesihatan mental, di mana sepanjang tahun lalu sebanyak 400,227 pesakit mental telah menjalani rawatan di hospital kerajaan.
Sememangnya saya menyokong kempen Kementerian Kesihatan yang memberi fokus kepada aktiviti mempromosi minda sihat dan pencegahan penyakit mental termasuk pelaksanaan Program Menangani Stres di sekolah sepanjang tahun ini. Tidakkah anda takut dengan kenyataan ini – kadar kemurungan lebih tinggi dalam kalangan wanita muda yang berumur antara 16 dan 19 tahun dan wanita berusia antara 70 dan 74 tahun dengan 6.4 peratus daripada mereka mempunyai idea untuk membunuh diri!
Tahukah anda - satu lagi masalah utama kerajaan ialah, hanya terdapat 124 orang psikiatrik di seluruh negara iaitu dengan nisbah dua psikiatrik klinikal berbanding 115,000 penduduk. “Ia amatlah kurang daripada keperluan yang ditetapkan oleh WHO iaitu satu nisbah 50,000 bagi negara membangun. Oleh itu kita akan latih seramai mungkin psikiatrik,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Aduh, kenyataan ini menggerunkan!
Untuk hari ini, sematkan dalam hati kata-kata ini; ‘Hai orang yang beriman, mintalah pertolongan (kpd Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar’ (QS. al-Baqarah : 153). * Sri Diah Shaharuddin ialah Pengurus Besar, Grup Buku Karangkraf |
No comments:
Post a Comment