Wednesday, February 16, 2011

Pengkhianat amanah cetus kemusnahan masyarakat


Oleh Hashim Ahmad

BH 2011/02/16

ANTARA ketakwaan yang dibebankan kepada kita adalah menunaikan amanah. Amanah sebenarnya ditawarkan kepada alam semesta, langit, bumi dan gunung. Namun mereka takut memikulnya dan enggan menerima kerana takut azab Allah. Lalu amanah itu ditawarkan kepada Adam dan beliau menerimanya.

Ibnu Abbas menjelaskan pengertian amanah dalam ayat 72 dan 73 Surah Al-Ahzab: “Amanah adalah kewajipan yang Allah tawarkan kepada langit, bumi dan gunung. Apabila mereka menunaikannya maka mereka mendapat pahala dan bila mereka mensia-siakannya maka mereka diberi seksaan lalu mereka menolaknya bukan kerana tidak taat kepada Allah tapi kerana mengagungkan agama Allah.”

Sesungguhnya amanah itu beban syariat yang mencakup hak Allah dan hak hamba-Nya. Siapa menunaikannya maka dia mendapat pahala dan yang mensia-siakannya mendapat seksa.

Sesiapa memiliki kesempurnaan sifat amanah maka dia menyempurnakan agamanya, dan siapa tidak memilikinya maka ia membuang agamanya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak menjaga janjinya.” (Riwayat: Imam Ahmad, al-Bazzar dan ath-Thabrani).

Sifat amanah menjadi sifat nabi dan rasul. Firman Allah ketika mengisahkan mengenai Nabi Nuh, Hud, dan Salleh bermaksud: “Sesungguhnya aku adalah seorang Rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu, maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah Asy-Syu’ara: Ayat 107 dan 108).


Tauhid dan menolak syirik adalah amanah. Amar makruf nahi mungkar adalah amanah. Harta adalah amanah yang tidak boleh dipakai untuk kemaksiatan. Mata amanah harus dijaga daripada memandang yang haram. Anggota tubuh adalah amanah yang harus dipelihara daripada kemaksiatan.
Anak adalah amanah yang harus ditunaikan dengan mendidik mereka dengan ajaran Islam.

Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang memelihara amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang yang memelihara shalatnya, mereka itulah orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Mu`minun, ayat 8 hingga 11).

Sabda Rasulullah bermaksud: “Berilah jaminan kepadaku enam perkara, nescaya aku jamin bagi kalian syurga iaitu: Apabila salah seorang kalian berbicara maka jangan berdusta. Apabila berjanji jangan mengingkari. Apabila diberi amanat jangan berkhianat dan tundukkan pandangan, pelihara kemaluan serta jagalah tangan kalian.” (Hadis Riwayat: Ahmad).

Perlu diingat, tidak menunaikan amanah memberi kesan buruk kepada seseorang dan menjadi sebab kerosakan masyarakat. Rasulullah pernah ditanya mengenai waktu kiamat. Baginda menjawab bermaksud: “Apabila amanat disia-siakan, maka tunggulah kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari).

Oleh itu bertakwa, pelihara amanat dan tunaikan hak dan kewajipan seorang hamba serta jauhilah semua larangan Allah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa: Ayat 58).

Ayat ini mencakupi seluruh jenis amanah dan antara yang terpenting adalah tugas, pekerjaan serta jabatan. Siapa yang menunaikan kewajipan yang Allah bebankan pada tugas dan jabatan itu serta merealisasikan kemaslahatan Muslimin, maka dia menunaikan amanah dan berbuat kebaikan untuk akhiratnya.

Mereka yang tidak menunaikan amanah atau mengambil rasuah dengan menggunakan jabatan dan kedudukannya, maka dia mengkhianati amanah dan mendapat bencana dan seksaan Allah dan akan dimalukan di akhirat.

Demikian juga amanat yang disimpan orang kepada kita, kita wajib menunaikannya dan jangan berkhianat walaupun orang lain mengkhianati kita. Nabi pernah bersabda bermaksud: “Tunaikan amanah kepada orang yang memberimu amanah dan jangan mengkhianati orang yang berkhianat kepada kamu.”
(Riwayat: Ahmad dan at-Tirmidzi)

No comments:

Post a Comment