| Memikirkan perlawanan rakyat  di Mesir, apakah fikiran kita di sini? Pihak kerajaan berfikir lain,  pembangkang berfikir lain pula. Pembicara politik tentulah ada pelbagai  pandangan. Kerajaan berfikir, eloklah berbaik-baik dengan rakyat  sendiri, pergi ke ceruk-ceruk melawat mereka. Kita dahulukan rakyat  dalam erti sebenar-benarnya. 
  Pilihan raya hendaklah dijalankan dengan adil dan telus. Jangan ada  penipuan dan lowongan yang menyebabkan orang menyangka ada penipuan  dalam pilihan raya. Seterusnya rakyat jangan dibiarkan menanggung  derita. Jika sesuatu akan menyusahkan rakyat, misalnya kenaikan harga  minyak – andai kata itu tidak dapat dielakkan – kerajaan hendaklah  awal-awal lagi menyatakannya kepada rakyat. Jangan sampai rakyat  terperanjat dan marah.
 Kerajaan mungkin tidak terlalu bimbang ketika ini. Tunjuk perasaan yang  gah, iaitu keluarnya rakyat dalam jumlah amat besar seperti berlaku di  Mesir, tidak syak lagi ia akibat rasa tertekan yang lama. Rakyat di sana  menghimpun rasa tidak puas hati kepada kerajaan. Itu tidak mungkin  kejadian yang tiba-tiba, sebaliknya berada lama di bahagian subconscious  rakyat, secara archetypal. Jika kerajaan merasakan itu adalah  tiba-tiba, bererti kerajaan tidak pernah membuat pemeriksaan tentang  rasa hati rakyat, dan juga bermakna kerajaan tidak memikirkan rakyat.
 
 Pihak pembangkang pula melihat peristiwa di Mesir sebagai satu peluang.  Pembangkang yang mencintai parti politik mereka tidak gemar jika rakyat  bangkit seperti berlaku di Mesir. Jutaan manusia di Mesir hanya  menimbulkan chaos (keadaan kacau), membolehkan kerajaan mengisytiharkan  darurat. Pilihan raya tiada. Itu tidaklah berfaedah bagi pembangkang.
 
 Dari sudut pembangkang, kebangkitan yang bagus dan berfaedah ialah yang  akan mengubah corak pengundian dalam pilihan raya. Pembangkang menunggu  kebangkitan yang sedemikian, kerana itu ialah tanda berubahnya definisi  rakyat terhadap demokrasi kita. Di Mesir, Hosni Mubarak menjanjikan  pembaharuan, tetapi tidak mahu meletakkan jawatan. Penunjuk perasaan  yang ramai itu mahukan beliau meletakkan jawatan segera, bukan menunggu  berbulan-bulan lagi. Di Malaysia, kita tidak menuntut sesiapa meletakkan  jawatan, cuma pihak pembangkang berharap mereka akan menang dalam  pilihan raya nanti. Secara umumnya pembangkang mahu ketua mereka akan  menjadi Perdana Menteri yang baru, walaupun sejauh ini yang dikehendaki  pembangkang ialah orang lama juga, iaitu mantan Timbalan Perdana  Menteri. Oleh itu, dapat dikatakan kehendak pembangkang Malaysia  tidaklah terlalu jauh.
 
 Pengkritik kerajaan yang berjiwa progresif mahu melihat peristiwa di  Mesir itu berlaku juga di sini. Secara halus, mereka mengatakan sesiapa  berada di Tahrir Square minggu lepas pasti akan menjadi sebahagian  daripada sejarah. Pandangan begini juga bersifat lama, berulang-ulang,  iaitu berasaskan andaian bahawa kuasa rakyat adalah agung.
 
 Sebenarnya, kejadian di Mesir adalah perulangan biasa, iaitu satu  penentangan terakibat daripada ketidakadilan. Sesiapa yang berada di  situ, sama sahaja dengan sesiapa berada di mana-mana tempat yang ada  tunjuk perasaan atau rusuhan.
 
 Pengkritik kerajaan yang berjiwa muda progresif itu juga merungut kerana  kata mereka kejadian di Mesir terlalu lambat berlaku di Malaysia.  Sebenarnya, Malaysia sejak awal mempunyai kaedah kawalan yang dijangka  dapat bertahan. Kaedah ini dibantu ciri utama masyarakat kita, iaitu  pelbagai kaum yang terlatih untuk bersatu padu. Kelemahan memang ada di  sana sini, tetapi secara keseluruhannya keutuhan masyarakat Malaysia  sukar digoyang oleh adu domba. Cuma, adakah kekuatan kaedah Malaysia itu  masih seutuh asalnya? Juga, adakah kita kini menggunakan kaedah kita  untuk maksud betul? Itulah persoalan kita.
 
 Semua makna yang di atas hendaklah dianjak sewajarnya. Pencarian  kedamaian dan keharmonian selalunya berjaya jika teori anjakan makna  diaplikasi dengan baik dan berhemah. Teori ini dicipta secara umumnya  untuk menemukan kedamaian. Berkaitan dengan peristiwa di Mesir,  peringatan Nurul Izzah Anwar adalah memenuhi konsep anjakan makna.  (Sinar Harian, 1 Februari 2011)
 Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, rakyat Mesir (dan Tunisia juga)  tidak bangkit jika kepimpinan negara tidak korup dan tidak zalim. Nurul  Izzah berpesan kekayaan negara hendaklah diagih dengan adil, beban  hidup rakyat hendaklah dilegakan, kebebasan media diizinkan, keluhan  rakyat didengari, dan demokrasi dalam pilihan raya jangan bersifat  palsu. Izzah memetik kata-kata Thomas Jefferson, bahawa apabila rakyat  takut kepada kerajaan, itu ialah penindasan, dan apabila kerajaan takut  kepada rakyat itulah demokrasi.
 
 Bicara Nurul Izzah kelihatannya tentang hal luar negara, tetapi sesiapa  yang membacanya amat cepat teringatkan Malaysia. Semakin rapi kita  membacanya, semakin terasa bahawa Nurul Izzah berniat baik menasihat  pemimpin Kerajaan Malaysia agar sentiasa mengutamakan rakyat. Pertanyaan  daripada beberapa orang teman tentang adakah kemungkinan tunjuk  perasaan seumpama itu berlaku di Malaysia, mudah dijawab. Nasihat Nurul  Izzah, dan nasihat orang lain yang seumpamanya – jika diikuti – akan  sentiasa berjaya menjauhkan petaka seperti di Mesir itu daripada menimpa  Malaysia.
 
 Saya tertarik pada makalah tulisan Nurul Izzah kerana terserlah  keikhlasannya. Dia benar-benar berhasrat untuk menasihati kerajaan yang  sedia ada agar berwaspada, bukannya mengancam bahawa pihaknya akan  mengambil alih pemerintahan. Perhatikan kata-katanya, “Kebangkitan tidak  akan berlaku seandainya wanita pertama menjadi ‘ibu’ kepada semua, dan  bukan menganaktirikan dan melarikan jongkong emas milik rakyat”. Pesanan  ini ditujukan kepada sesiapa yang menjadi isteri orang besar di negara  kita agar sentiasa ikhlas dalam menjalankan peranan. Wanita pertama  dianggapnya sebagai ‘ibu’.
 
 Dalam satu majlis di Kuala Lumpur, saya telah ditanya oleh Dr Suhami  Aziz, intelektual sastera yang terkemuka, adakah anjakan makna bertolak  daripada pembaca atau penulis/penutur? Suhaimi bertanya bukanlah kerana  beliau tidak faham, tetapi beliau menghendaki kepastian dari penganjur  konsep ini. Saya menyatakan bahawa anjakan boleh berlaku di dalam akal  sesiapa saja, pembaca, pendengar, penulis, pembicara – malah secara  teoritis, gejala anjakan itu mungkin sedia ada pada ungkapan atau ayat.  Ertinya, apabila Nurul Izzah mengatakan “mereka bangkit kerana sudah  terlalu lama mereka ‘dijajah’”, keseluruhannya sedia beranjak.
 Perhatikan, bahawa biarpun sesebuah negara itu merdeka, akan timbul  perasaan ‘dijajah’ apabila rakyat merasakan adanya penindasan terhadap  mereka. Rakyat menghendaki kemerdekaan daripada ‘penjajahan’ yang  terlindung itu. Sejauh manakah kita dapat menerima konsep yang figuratif  sedemikian berbalik pada keupayaan imaginasi dan kecenderungan membuat  perbandingan. Sesiapa yang hanya cenderung berbahasa denotatif pasti  akan menolak kenyataan itu. Negara merdeka adalah negara merdeka,  mengapakah pula dikatakan ‘dijajah’?
 
 Setelah mendapat makna bahawa rakyat di negara yang merdeka itu  ‘dijajah’, kita juga memperoleh makna figuratif bahawa negara orang  adalah negara kita. Hal ini demikian kerana penulisan atau pertuturan  tidak terhenti di satu tahap. Sesuatu yang berada di tahap personal akan  beranjak ke tahap universal. Sesuatu yang berada di tahap nasional  boleh beranjak ke tahap internasional. Demikian juga sebaliknya: parse  pro to dan totem pro parte saling mengambil tempat. Memikirkan hal ini,  kejadian di tempat lain hendaklah diambil perhatian secara  bersungguh-sungguh, kerana di sana juga adalah di sini.
 Demikianlah sedikit banyak anjakan makna daripada peristiwa di Mesir
 | 
No comments:
Post a Comment