oleh Aspan Alias (Malaysian Insider)
February 03, 2011
3 FEB — Nik Aziz, Mahathir dan Lee Kuan Yew (LKY) adalah nama-nama yang terbabit dengan polimik 3 segi. Dr Mahathir sememangnya berseteru politik dengan LKY ini dan Nik Aziz pula adalah seteru politik dengan Umno yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir yang melantik diri beliau sendiri sebagai Presidennya yang pertama yang dikenali sebagai Umno (baru).
Dalam permainan politik Dr Mahathir, beliau menggunakan isu Melayu dan Islam diSingapura sebagai isu untuk menyatukan orang Melayu Islam untuk terus menyokong kerajaan yang memerintah hari ini. Dr Mahathir sentiasa menjadikan orang Melayu Singapura sebagai contoh dan alat untuk menakutkan orang Melayu diMalaysia supaya jangan menerima parti lain selain dari Umno dan BN jika Melayu masih mahukan masa depan mereka tidak menerima nasib seperti Melayu Singapura.
Secara tradisinya Umno terutamanya Dr Mahathir telah menggunakan isu 13 Mei sebagai “allying factor” untuk menakutkan orang Melayu dan bangsa lain yang kejadian berdarah itu mungkin akan berulang jika rakyat membelakangkan Umno dan BN dalam pemilihan untuk mencari pihak mana yang patut memerintah negara ini. Tetapi isu 13 Mei ini sudah terlalu usang dan tidak laku lagi, maka Dr Mahathir menggunakan isu yang dikatakan olehnya yang Melayu diMalaysia akan menjadi Melayu Singapura yang kononya di “marginalised” oleh kerajaan Singapura.
Tetapi Melayu Singapura sendiri menyatakan rasa puas hati mereka dengan kehidupan diSingapura. Malahan mereka merasakan mereka adalah lebih baik keadaan mereka dari Melayu diSemenanjung Malaysia ini. Mahathir menyatakan yang orang Melayu diSingapura telah dihimpit dengan dasar kependudukkan negara itu dengan mengambil alih tanah-tanah kepunyaan orang Melayu untuk dibangunkan rumah-rumah kediaman untuk semua rakyat disana.
Dr Mahathir membidas Nik Aziz kerana Nik Aziz berpandangan yang Islam yang dianuti oleh Melayu Singapura adalah lebih baik dari Islam yang diperjuangkan oleh Nasionalis diMalaysia. Mahathir menuduh Nik Aziz sebagai pemecah orang Melayu kerana dengan sokongan Nik Azizlah orang yang dipecat dari Umno (Anwar) menjadikan Melayu berpecah tiga dalam siasah negara kita.
Segala yang disebut oleh Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew sebenarnya adalah semata-mata “political statement” yang amat sempit. Semuanya mengambil Islam dalam bentuk “form” semata-mata. Semuanya ada perbahasan masing-asing jika dibahaskan dalam kontek politik semata-mata.
Blog ini pernah menyebut yang kita boleh lihat banyak Islamnya dinegara barat tetapi Muslimnya kurang. Yang tepenting didalam mana-mana agama sekali pun ialah cara hidup mereka (addin) bukannya dalam kontek “form” semata-mata.
Dinegara seperti negara kita ramai yang Muslim tetapi tidak ramai yang Islamnya. Yang terlebih penting ialah menjaga Islam itu jika kita sudah menajdi seorang Muslim atau dilahirkan sebagai Muslim. Apakah dia cara-cara menjaga Islam itu?
Salah satu dari yang banyak cara menjaga Islam itu ialah mengelak dari mengambil dan memakan rasuah. Tetapi inilah sebenarnya selalu dilakukan oleh orang-orang Muslim dinegara kita. Berkokok pemimpin-pemimpin kita bercakap perihal Islam tetapi mulut yang bercakap tentang Islam itulah yang begitu biasa dengan menjamah rasuah.
Ramai diantara media arus perdana dan alternative dipenuhi dengan isu agama yang dimainkan kerana politik. Masing-masing membuka pekong individu-individu yang dibencinya dengan memanggil mereka sebagai anjing, binatang, babi, haram jadah, sial dan berbagai nama lagi yang dilemparkan kepada orang lain kerana perselisihan faham atau pun semata-mata kerana politik berpuak-puak itu. Islam kah ini?
Sampai bilakah kita hanya berjuang untuk meningkatkan “form” semata-mata tanpa “content” ini? Sampai bila kita yang ramai pula membiarkan dan selalu bersubahat dengan perasuah dan menyokong pihak yang melakukan rasuah sebegitu besar? Islamkah kita ini? Adakah sudah pasti kita mendapat syurga jika kita menumpang dosa dengan menyokong pimpinan yang rasuah dan tidak bermoral itu.
Itulah sebabnya dinegara Scandinavia tidak kedapatan rasuah dilakukan dengan sewenang-wenangnya, dan itu adalah tuntutan Islam. Sebenarnyakah negara kita ini sebagai negara Islam jika dinegara ini kedapatan terlalu banyak kes-kes yang menghina Islam seperti membuang bayi yang berlaku saban hari saban minggu? Mayat anak-anak kecil yang baru lahir bergelempangan dimana-mana.
Pembunuhan dilakukan dengan begitu banyak sekali setiap hari dimana-mana. Sumbang mahram sudah menjadi kejadian yang biasa dan tidak dapat dikira lagi. “Haruan” yang memakan anak-anaknya adalah fenomena biasa.
Kenapa perkara ini sering berlaku dinegara kita sedangkan kita adalah sebuah negara Islam? Percayakah atau tidak yang Islam itu mestilah ada didalam sanubari kita? Islam itu mesti berada didalam darah kita yang mengalir didalam tubuh kita. Apabila Islam itu benar-benar mengalir didalam sanubari kita barulah berkat perjuangan Islam yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin kita yang sedang berkuasa dan sudah bersara.
Apabila sanubari kita dikotori dengan memakan rasuah yang haram, tidak mungkin seseorang pemimpin itu mampu memperjuangkan addin Islam itu tadi kerana segala-galanya adalah bergantung kepada naluri yang bersih untuk membina niat yang suci dalam perjuangan Islam itu tadi. Jika terlalu ramai diantara kita yang memakan rasuah bagaimana darah yang kotor yang mengalir didalam tubuh kita hendak memperjuangkan Islam itu?
Naluri yang kotor tadi tidak akan mampu menghalang seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang haram sepertu rasuah dan sebagainya. Bayangkan jika ramai diantara kita khususnya pemimpin-pemimpin yang memakan hasil rasuah bagaimana nak dikatakan Islam dinegara ini lebih baik dari Singapura dan negara maju yang lain.
Jika kita hendak memperbandingkan negara mana yang lebih baik Islamnya, cuba kita bertanya negara mana yang lebih dan negara mana yang kurang rasuahnya? Negara mana yang ramai melakukan sumbang mahram dan yang mana yang kurang berlakunya perkara-perkara seperi itu? Dimanakah lebih banyak berlaku rompakkan dan yang mana yang kurang berlakunya perompakkan itu?
Saya lebih cenderung untuk meyakini yang Singapura lebih berjaya memperjuangkan kebersihan pentadbirannya tanpa rasuah yang keterlaluan dan itu adalah kejayaan memenuhi tuntutan Islam.Cuba kita lasakkan mulut kita sedikit; diantara Singapura dan Malaysia negara mana yang lebih banyak kegiatan membuang jenin didalam tong-tong sampah dan longkang-longkang atau dimana-mana?
Sesungguhnya baik atau buruknya Islam dilihat diantara dua negara ini berpaksikan kepada cara dan addin Islam itu. Jika kita adalah seorang Muslim tidak semestinya kita adalah seorang yang Islam. Islam itu berada didalam diri kita sendiri. Jika kita penuh dengan noda dan dosa dan sentiasa melakukan perkara buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu kita belum lagi seorang Islam walaupun kita adalah seorang Muslim.
Itulah sebabnya dinegara maju seperti diEropah dan Jepun kita banyak melihat elemen Islam itu walaupun tidak ramai Muslimnya tetapi dinegara kita walaupun ramai Muslimnya tetapi Muslim-Muslim inilah yang memperkosa Islam dengan begitu nyata sekali.
Ramai diantara kita hanya memakai baju Islam tetapi didalam baju itu terselindung kebathilan yang tidak terhingga besarnya. Perjuangkanlah Islam itu dengan sebenar-benarnya. Islam bukan setakat selesai dengan formnya sahaja. Perjuangkan Islam itu untuk mencari jalan yang membina addin agama itu dengan sebenarnya.
Pejuang Islam tidak akan tertipu dengan ketakutan untuk berkata benar dan tidak akan bersama-sama menutupi dan melakukan kesalahan yang bertentangan dengan segala tuntutannya. Melindungi rasuah oleh pimpinan kita itu merupakan kerja hina yang “unIslamic” dan elok bagi mereka yang melakukannya itu supaya berhenti berkata-kata tentang Islam. Mari kita perbaikki diri kita dahulu sebelum kita berani mengatakan Islam kita lebih baik dari Islam sianu itu.
Dinegara-negara maju, walaupun bukan negara Islam tetapi banyak nilai dan cara Islam itu terdapat disana. Yang terpenting ialah mereka dapat dan berjaya mengurangkan berlakunya kerja-kerja yang tidak digemari oleh Islam itu.
Untuk meletakkan seseorang itu jauh atau dekat dari Tuhannya adalah kerja Tuhan semata-mata. Hanya DIA yang Maha MengetahuiNya. — aspanaliasnet.blogspot.com
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.
No comments:
Post a Comment