Tenang dan mengasyikkan. Demikianlah ungkapan bagi menggambarkan suasana kelas pembelajaran pelajar-pelajar lelaki di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Imamah (MATQI), di Kampung Bukit Kerayong, Meru, Klang, Selangor.
Sepanjang berada di sini, hampir sepanjang masa penulis diperdengarkan bacaan al-Quran oleh adik-adik yang gigih berusaha untuk menghafaz sekurang-kurangnya satu juzuk al-Quran dalam satu masa.
Jujur penulis katakan, ketika berada di dewan itu, penulis mampu melupakan seketika segala gundah-gulana dan pelbagai masalah yang bersarang dalam kepala.
Ia mengesahkan lagi kebenaran ayat Allah sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al-Ra’d: 28).
Pengasas merangkap pengetua MATQI, Ustaz Azrul Hakim Suradi, 36, berkata, menjadi rutin harian bagi pelajar di sini untuk mengaji dan menghafaz al-Quran.
Katanya, seawal jam 6.30 hingga 9 pagi setiap hari kecuali hari Ahad, pelajar-pelajar akan berada di dewan untuk menghafaz al-Quran. Tepat 9.45 pagi, mereka akan bersama-sama menunaikan solat Dhuha dan kembali semula ke dewan untuk meneruskan pembelajaran menghafaz al-Quran yang dikendalikan seorang guru bagi setiap kumpulan.
Menurutnya, pada sebelah petang bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang dan 7.30 hingga 10 malam, mereka akan mengikuti pengajian Islam dalam bahasa Arab seperti belajar fikah, tauhid, akhlak, sirah dan sebagainya.
MATQI yang kini mempunyai 85 pelajar (berusia dalam lingkungan 13 hingga 20 tahun) sebenarnya memiliki satu impian dan harapan yang sama, iaitu mahu mencapai kejayaan menghafaz 30 juzuk al-Quran dengan hasil bimbingan dan khidmat nasihat beberapa tenaga pengajar.
“Memiliki kemampuan menghafaz 30 juzuk al-Quran bukanlah perkara sukar jika pelajar itu berusaha bersungguh-sungguh dan mengikut segala tunjuk ajar yang diberikan oleh ustaz-ustaz di sini.
“Malah, semua perkara termasuk mendalami kitab suci menjadi lebih mudah jika kita serius menghayatinya,” ujar Ustaz Azrul sambil memberitahu adalah penting bagi semua umat Islam mempelajari dan mendalami al-Quran kerana ia adalah kitab yang menjadi petunjuk kepada semua.
Kriteria pelajar dan guru
Setiap sekolah semestinya mempunyai syarat-syarat tertentu berkaitan kemasukan pelajar ke sekolah mereka. Tambahan pula sekolah cemerlang, sudah tentu pelbagai syarat dikenakan ke atas pelajar terbabit sebelum mereka memohon untuk melanjutkan pelajaran di situ.
Ustaz Azrul berkata, hal sedemikian adalah perkara biasa bagi semua sekolah dalam usaha mereka menjaga imej dan prestasi sekolah masing-masing.
Dalam konteks sekolah agama, pelajar yang mampu membaca al-Quran dengan lancar, maka mereka dapat menyambung pengajian di sekolah berkenaan. Bagi yang tidak mampu membaca al-Quran dengan baik, pihak sekolah akan menolak permohonan pelajar terbabit.
“Di MATQI, istilah ‘menolak permohonan pelajar’ sebenarnya tidak pernah wujud dan tidak akan wujud sampai bila-bila. Ini kerana, kita hanya mengenakan syarat ‘asal nak belajar’. Jika syarat itu ada pada pelajar tersebut, kita terima.
“Pelajar datang nak belajar, mengapa kita tolak? Bukankah manusia itu boleh berubah. Peribahasa Melayu sendiri ada menyebut “Belakang parang kalau diasah lagikan tajam” yang membawa maksud seseorang yang tidak pandai tetapi jika belajar, lama-kelamaan akan pandai juga.
“Secara mudahnya, saya katakan begini, dulu, di MATQI, kita pernah mempunyai beberapa pelajar yang tidak tahu membaca al-Quran. Langkah pertama, mereka belajar Iqra. Beberapa bulan kemudian, pelajar ini mampu membaca al-Quran dengan lancar dan menghafaz beberapa juzuk. Itulah yang kita mahukan,” katanya.
Mengulas tentang pemilihan tenaga pengajar, Ustaz Azrul berkata, kebanyakan guru (ustaz) yang mengajar sekarang adalah kalangan mereka yang telah hafaz al-Quran 30 juzuk.
“Mereka juga perlu memiliki kebolehan mengajar dalam bahasa Arab. Ini kerana, kita mahu menerapkan anak-anak di sini agar mampu bertutur dalam bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran dan bahasa ahli syurga,” katanya.
Idea penubuhan MATQI
Tercetusnya idea menubuhkan Maahad Tahfiz, ujar Ustaz Azrul disebabkan kekurangan sekolah agama di negeri ini.
Apa yang ada, katanya, hanyalah untuk menampung pelajar-pelajar agama yang cemerlang dalam peperiksaan. Selebihnya, mereka tiada tempat untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama. Akibatnya, mereka terpaksa memilih sekolah kebangsaan.
“Justeru, saya merasakan perlunya seorang individu tampil ke hadapan menyelesaikan masalah ini dan saya bersyukur dipilih oleh-Nya membina MATQI dalam membantu pelajar-pelajar cemerlang ini meneruskan impian mereka ke peringkat lebih tinggi dalam bidang agama,” katanya sambil berharap penubuhan MATQI mampu melahirkan individu yang soleh dan solehah.
Beliau berkata, MATQI beroperasi hampir tiga tahun. Sehingga kini, seramai 16 pelajar telah dihantar ke Yaman, Arab untuk mengikuti pengajian di Universiti Al-Iman.
“Waktu pembelajaran amat berbeza. Sebelah pagi, mereka akan belajar di universiti terbabit. Selepas waktu zuhur, mereka akan kembali belajar di asrama kerana kita juga memiliki sebuah cawangan di sana. Tempoh belajar selama tiga tahun,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ustaz Azrul berkata, kebelakangan ini, nampak perubahan yang cukup luar biasa daripada semua pihak dalam usaha memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini.
Katanya, kerajaan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan institusi al-Quran terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat Islam. Ini termasuklah memberi bantuan-bantuan yang diperlukan bagi menjalankan program-program yang berkaitan tahfiz al-Quran.
Ujarnya, kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz semakin menjadi trend masyarakat hari ini dan situasi sebegini menunjukkan masyarakat kita telah diberi pendedahan tentang prospek cerah pendidikan al-Quran, di samping kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan pendidikan al- Quran.
MATQI berwajah baru
Jika dulu, MATQI hanyalah sebuah sekolah tahfiz yang dibina di satu lokasi kecil di Seksyen 23, Shah Alam. Tetapi, berkat doa yang tidak putus-putus daripada semua pihak, akhirnya MATQI berjaya mendapatkan sebuah tanah di Kampung Bukit Kerayong, Meru, Klang, Selangor.
Di sini, pihak sekolah gigih membina bangunan sekolah, asrama, surau dan beberapa prasarana seperti dewan, kantin, padang bola, chalet, asrama, taman, tandas, rumah pengelola, rumah guru-guru dan macam-macam lagi untuk kemudahan pelajar dan guru di sini.
“Memandangkan ini bangunan baru, maka kami memerlukan sumbangan daripada semua pihak untuk menyiapkan bangunan berkenaan dalam kadar segera. Hampir RM2.5 juta diperlukan dan segala sumbangan boleh disalurkan di atas nama MATQI, 562272901703 (Maybank),” katanya dengan berharap pelajar-pelajar di sini akan menjadi generasi yang huffaz, qurra’ dan du’at yang berwibawa ke arah pembangunan negara dan ummah
(Dipetik daripada Sinar Harian 27/2/2011)
No comments:
Post a Comment