oleh NURUL IZZAH
2/15/2011 10:38:27 AM
Kemeriahan Maulud Nabi disambut penuh makna oleh masyarakat Islam di sini, menerusi perarakan keluarga, sahabat handai dan jiran terdekat, mahupun ceramah agama.2/15/2011 10:38:27 AM
Namun, yang perlu kita utamakan, dalam memperingati hari keputeraan Rasulullah SAW; bagaimanakah kita, umat zaman ini, benar-benar menjiwai dan menterjemahkan risalah kebenaran dan keadilan yang dibawa Baginda?
Firman Allah SWT bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang paling baik....”
Perkembangan luar biasa terkini dunia Islam, terutama di Timur Tengah, meyakinkan saya jikalau diberi peluang berdemokrasi, umat Islam tentunya menzahirkan ajaran dan amalan Rasulullah SAW yang berpaksikan prinsip-prinsip kepimpinan terbaik yang memanfaatkan seluruh masyarakat.
Dalam erti kata lain, kepimpinan Baginda SAW menjadi model ukuran dan piawaian wajib diguna pakai dalam menilai kepimpinan dunia Islam sekarang.
Apakah yang akan dilakukan oleh Baginda SAW jika berdepan dengan kepimpinan sekarang yang bergelumang dengan rasuah dan membazirkan wang amanah milik rakyat untuk keuntungan sendiri?
Sepertimana berlaku dalam arus kebangkitan di dunia Arab, akhirnya rakyat sendiri bangkit mencari ruang dan peluang untuk hidup dalam kebenaran dan keadilan – satu contoh penghayatan piawaian kepimpinan Baginda SAW.
Jika diberi peluang, saya yakin seluruh umat Islam akan menterjemah kepimpinan, risalah kebenaran serta keadilan dalam semua bentuk yang baik untuk membina kembali kegemilangan insaniah bertakwa sebagai khalifah di muka bumi fana ini.
Jadi apakah ruang dan peluang yang wujud di negara kita sendiri?
Baru-baru ini warga Kuala Lumpur dikejutkan dengan pengumuman fasa pertama jejantas pejalan kaki yang siap untuk digunakan (dari KLCC ke Hotel Impiana dengan kelengkapan pendingin hawa).
Nilai yang diumum sekitar RM10 juta untuk pembinaan jejantas sepanjang 142 meter; agak kontroversial memandangkan ekonomi semasa yang agak menghimpit dan apabila penggunaannya dikhususkan untuk pelancong asing, bukannya rakyat terbanyak.
Menurut laporan Bernama pada 8 September 2010, “Petronas telah menyumbangkan RM100 juta kepada pembangunan kemudahan dua fasa ini yang menyokong usaha kerajaan bagi menggalak dan merangsang pertumbuhan industri pelancongan. KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCC), sebuah subsidiari milikan penuh Petronas telah ditugas mengurus peruntukan tersebut bersama DBKL sebagai penyelaras projek utama untuk laluan pejalan kaki di KL.”
Laporan ini menyatakan Kerajaan Pusat, melalui Petronas, menyediakan dana bagi projek jejantas 142 meter berserta fasa kedua sepanjang 375 meter, yang akan menghubungkan ke Jalan Raja Chulan.
Jika laporan ini benar, rakyat dapat menyimpulkan kemungkinan satu pembaziran berlaku apabila wang sebanyak itu dibelanjakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang akhirnya bertanggungjawab kepada rakyat, sedang subsidi rakyat (menerusi Petronas antara lainnya) dipotong secara konsisten dari semasa ke semasa.
Adakah DBKL berpakat sulit dengan GLC untuk membina satu lagi infrastruktur awam yang ‘maha tinggi’ kosnya atau telahkah DBKL dikecualikan dari meluluskan reka bentuk tersebut. Jikalau DBKL dikecualikan dari proses memberi kelulusan, maka pada siapakah dapat rakyat bergantung harap untuk memastikan kebajikan terjaga?
Apakah mungkin penduduk kawasan saya dan di Kuala Lumpur menikmati jejantas dan siar kaki yang serupa – berhawa dingin dan berbumbung – yang menghubungkan kawasan perumahan ke sekolah-sekolah dan tempat awam lain atau adakah projek berkelas dunia ini hanya untuk dinikmati pengunjung?
Malangnya, walau hanya dinikmati pengunjung, kos pengendalian dan penyelenggaraan projek jejantas ‘Maha Mahal’ dan berhawa dingin ini, akan dibayar oleh DBKL. Jumlah sebenar kos tersebut hanya boleh dijawab oleh YB Menteri dan Datuk Bandar – yang masih belum menjawab perinciannya setakat hari ini.
Laporan di The Star 9 Februari lalu menyatakan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif KLCC (Holdings) Sdn Bhd telah “menandatangani surat perjanjian untuk penyerahan jejantas ini dari KLCCH ke DBKL.”
Ini secara terang menunjukkan mekanisme “Bina dan Pindah milik” (Build and Transfer) telah diguna secara diam-diam, tanpa pengetahuan umum dan dengan tiada kebertanggungjawaban.
Akhirnya, wang rakyat akan diguna untuk menyelenggara kemudahan ini. Adakah penduduk KL bakal dikejutkan dengan nilai yang “maha besar”? Adakah pihak DBKL akan mengenakan “tol” kemudian untuk membayar kos yang menggunung, atau adakah ia akan diswastakan?
Sebuah hadis riwayat Abu Daud daripada Anas RA menjelaskan:
Pada suatu hari, Rasulullah SAW keluar berjalan bersama seorang sahabat (Anas), tiba-tiba Nabi SAW terpandang sebuah rumah yang di atasnya terbina sebuah kubah, lalu baginda bertanya: “Rumah siapa itu?” Sahabat memberitahu, rumah itu kepunyaan si polan daripada kaum Ansar. Nabi SAW diam tidak berkata apa-apa, tetapi memendamkan perkara itu dalam hatinya.
Selepas kejadian itu, Rasulullah SAW bersabda di hadapan para sahabat “Ingatlah! setiap binaan yang kamu dirikan itu akan menjadi bala kepada kamu, kecuali binaan rumah yang menjadi keperluan.”
Firman Allah SWT bermaksud: “Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan adalah syaitan itu kufur terhadap Tuhannya”. (Al-Isra’, ayat 27)
Inilah yang terngiang-ngiang dalam kepala saya, beberapa jam sebelum kita secara rasminya menyambut Maulud Nabi. Salam selawat buat Baginda dan keluarga. Moga kita sentiasa diberikan peluang untuk mencontohi Junjungan Besar Nabi kita dalam kehidupan seharian.Selamat menyambut Maulud Nabi.
Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai
No comments:
Post a Comment