Monday, January 7, 2013

Penjawat awam diseru tadbir nafsu lebih dahulu

Rizal Tahir, 06 Jan 2013
KOTA BHARU: Para petugas dan penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya mentadbir nafsu mereka terlebih dahulu kerana ia adalah yang paling utama sebelum mentadbir negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengingatkan demikian sewaktu menyampaikan amanatnya di Majlis Himpunan Anggota Perkhidmatan Awam Kompleks Kota Darul Naim, di sini pagi tadi.

“Tadbir nafsu sendiri dari melakukan perkara-perkara yang tidak betul amat penting sebelum mentadbir negeri.

“Apabila kita mampu mentadbir nafsu sendiri maka senanglah kita untuk mentadbir negeri ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sepanjang tahun iaitu dari bulan Muharam hingga bulan Zulhijah perlulah dianggap dan disambut sebagai tahun baru.

“Kita perlu ada semangat hijrah sepanjang tahun, iaitu tinggal barang-barang karut dan ambil barang yang berguna, “ katanya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata, tiga dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri iaitu ubudiyah, itiqan dan masuliyah (Umi), yang diterap kepada kakitangan awam negeri ini ternyata berkesan menghasilkan kualiti kerja yang baik.

Ini terbukti dengan kejayaan dan anugerah yang dicapai oleh jabatan dan kakitangan kerajaan negeri sepanjang tahun 2011 dan 2012.

“Konsep Umi yang telah diterapkan di dalam jiwa penjawat awam di negeri ini telah banyak member kesan penghasilan kerja (output),” ujarnya.

Beliau berkata, pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan, telah menerima pengitirafan empat bintang pada 2011 di dalam Perlaksanaan Penilaian Star Rating Pejabat SUK/Mampu, berbanding pada tahun 2009, iaitu tiga bintang.

“Bagi tahun 2013, pihak SUk Kelantan mensasarkan mencapai pengiKtirafan kepada lima bintang pula,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, Pejabat SUK Kelantan juga memperolehi pencapaian 100 peratus penyelesaian aduan awam bagi tahun 2010 dan 2011 dan telah mendapat pengiKtirafan daripada Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam.

“Penggunaan tahun hijrah dan tulisan jawi dalam diari rasmi kerajaan negeri telah mendapat pujian secara lisan oleh beberapa orang pegawai kanan di Putrajaya,” ujarnya lagi.

Dalam majlis berkenaan, jabatan-jabatan kerajaan negeri yang mencapai kejayaan dan mengharumkan kerajaan negeri diberi sijil perhargaan di atas kecemerlangan mereka.

No comments:

Post a Comment