Tuesday, January 1, 2013


Amanah berat pendidik

Tazkirah Remaja
Bersama Mohd.Zawawi Yusoh

PASAR RAYA, kedai pakaian dan buku mula menjadi tumpuan ibu bapa. Bukan sebab hendak sambut raya, tetapi kerana penggal persekolahan akan bermula tidak lama lagi.Ada yang mengambil cuti demi untuk membuat persiapan sekolah anak seperti pakaian, kasut dan stokin. Bukan sedikit wang dan belanja yang dikeluarkan untuk semua keperluan itu. Apatah lagi kepada mereka yang mempunyai keluarga besar dengan anak ramai. Yang penting, ibu bapa puas kerana tertunai tanggungjawab mereka.
 

Mengapa ibu bapa sanggup berbuat apa saja demi persiapan belajar anak?


Sebab utamanya ialah sekolah adalah tempat kepercayaan ibu bapa kepada golongan pendidik.


Mereka menghantar anak kerana kepercayaan terhadap sistem pendidikan sesebuah sekolah. Masalah bayaran bukan menjadi perkara besar kerana yang penting anak yang dihantar menjadi anak soleh serta mewarisi perjuangan ibu bapa dan agama pada masa hadapan.
 
Kepada pendidik, dalam melaksanakan amanah pendidikan terhadap pelajar, jangan hanya menekankan aspek hubungan akademik semata-mata, tetapi ‘buruan’ paling penting ialah hubungan dengan Allah.

Masyarakat pula kabur dengan tujuan yang dikehendaki daripada sistem pendidikan Islam itu iaitu Allah adalah matlamat. Mendapatkan keredaan Allah adalah harapan yang perlu diperkatakan selalu.  Ada ibu bapa dan guru menyebut mereka adalah pewaris kepada perjuangan nabi, tetapi yang menjadi kepentingan dalam hidup mereka adalah keduniaan yang tidak membawa kepada perjuangan yang mereka yakini.
 
Tidak mengenal mana yang lebih utama, Islam, nama, prestasi atau pangkat. Ketika pertembungan antara kedua-duanya maka yang lebih utama adalah dunia, nama dan prestasi.  Yang penting dapat banyak A, guru dan pendidik mendapat nama. Apakah puncanya? Ia terjadi kerana orientasi pendidikan yang dilalui tidak menghubungkan hatinya dengan Allah.

Kita pernah mendengar kisah seorang budak gembala kambing dengan Saidina Umar Al-Khattab. Saidina Umar minta izin daripada budak itu untuk membeli seekor kambing dan bayarannya akan diberi terus kepada budak itu tanpa dibuat dengan pemilik kambing.

Beliau sengaja menguji budak itu sama ada amanah atau tidak lantas budak itu menjawab...,
“Aku boleh tipu tuan kambing, tapi aku tidak mampu menipu Allah pencipta,” jawab budak itu.

Pendidikan akan menghidupkan hati dengan Tuhannya Yang Maha Mengetahui. Semoga kita semua menjanakan pendidikan bermula dari hati yang sihat dalam hubungan dengan Pencipta. Kesibukan membuat persiapan anak ke sekolah juga patut kita praktikkan caranya bagi menghadapi hari akhirat yang kekal abadi.

Jadi, kita juga perlu bersungguh-sungguh menyediakan bekalan terbaik dan secukupnya sebelum sampai ke sana.
Ia perlu disiapkan sekarang. Setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini akan menjadi bekalan yang bakal kita bawa. Jika baik maka baiklah bekalannya, tetapi jika sebaliknya maka buruklah bekalan kita.

Jangan sampai menyesal pada hari akhirat nanti kerana semuanya dicatat dalam buku amal. Firman Allah SWT satu golongan dalam surah al-Kahfi ayat 49 bermaksud: “Dan kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: Celakalah kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Permulaan cemerlang sangat penting untuk mencapai hasil yang cemerlang, tetapi mengakhiri sesuatu kecemerlangan lebih perlu dihayati. Ia memerlukan keyakinan mantap dan persiapan terbaik. Semoga Allah memberikan taufik dalam langkah kita seterusnya.
Harian Metro : 2012/12/27

No comments:

Post a Comment