Sunday, January 6, 2013


Drama lama di Puncak Setiawangsa
TOK PERAK
tok perak*SEMUANYA sudah macam klise. Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan. Satu memorandum akan dihantar ke Kabinet untuk tindakan selanjutnya. Semuanya gara-gara kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa menjelang penutup tahun 2012.

Jawatankuasa khas, memorandum, pasukan penyiasat, suruhanjaya penyiasat, entah apa-apa lagi, inilah yang kita dengar setiap kali ada tanah runtuh. Tahun lalu sahaja kita melihat beberapa tanah runtuh di seluruh negara. Banyak nyawa melayang, harta benda berjuta RM ranap.

Menjadi kebiasaan juga pada kes-kes sebelum ini, masing-masing saling menuding jari. Jabatan terlibat kata pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak peka. PBT kata jabatan tidak pantau. Pemilik kata pemaju tidak bertanggungjawab. Pemaju pula kata pemilik tidak mematuhi arahan pemaju.

Rakyat yang sudah bosan dengan klise dan tuding-menuding birokrasi, hanya membuat satu andaian: Ini semua gara-gara rasuah. Andaian itu tidak semestinya betul, tetapi tidak semestinya juga tidak betul.

Sejak dulu entah berapa banyak memorandum, jawatankuasa khas, pasukan penyiasat, suruhanjaya dan lain-lain ditubuhkan setiap kali tanah atau bangunan runtuh. Sibuk tubuh itu dan ini, hasilnya entah apa-apa.

Kalau kes Highland Tower yang mengorbankan beratus nyawa itu dijadikan contoh, kita sebenarnya tidak tahu belajar, tidak pernah mengambil iktibar.

Sampai sekarang ini, setelah lebih dua dekad tragedi di Hulu Klang itu, banyak lagi yang belum dapat dibereskan. Tidak tahu pihak mana betul-betul bersalah, masih banyak rahsia belum terbongkar.

Highland Tower telah dengan jelas memberitahu kita bahawa kawasan bukit dan lereng bukit tidak sesuai untuk projek pembangunan. Pakar-pakar bersetuju lokasi seperti itu berisiko tinggi. Kerajaan pun akur dengan pandangan pakar.

Tetapi, dulu, kini dan selamanya, kita degil, tamak dan rakus. Pantang ada bukit kita hendak tarah untuk pembangunan. Pemaju berebut membina rumah di kawasan tinggi, sebab semakin tinggi semakin mahal harganya.

Orang berduit – tidak kira menteri atau rakyat biasa – memilih kediaman di tempat tinggi sebab itu dikira eksklusif. Saya tidak menyalahkan pembeli. Mereka ada duit, mereka berhak untuk memiliki yang terbaik.

Hendak salahkan pemaju pun tidak boleh. Mereka orang bisnes, keuntungan menjadi perkiraan utama. Kalau boleh dirikan rumah di kayangan dan ada orang sanggup membelinya, pemaju tidak akan teragak-agak mendirikan kediaman super eksklusif di kayangan.

Saya lebih menyalahkan pihak berkuasa yang meluluskan projek pembangunan di kawasank-awasan berisiko itu. Di satu pihak kita selalu mendengar pengumuman tegas pihak berkuasa – termasuk Kerajaan Negeri – untuk tidak meluluskan projek di kawasan bukit. Tetapi cakap tidak serupa bikin, banyak lagi kawasan bukit dan cerun diluluskan untuk pembangunan.

Dalam kes Puncak Setiawangsa ternyata ada yang tidak kena dengan projek tersebut. Seperti dijelaskan oleh Prof Dr Zuhaimy Ismail, seorang pensyarah Matematik Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, keruntuhan itu berpunca daripada pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi. Katanya kawasan itu sewajarnya dibina berkonsepkan empangan dan bukannya benteng atau selimut simen tanpa jaringan konkrit.

Malah pihak berkuasa sendiri mengakui pembinaan projek perumahan di lereng bukit yang dibuat pada 1992 itu tidak mengikut piawaian sepatutnya. Ketika diluluskan dahulu, Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi 2010 masih belum dikuatkuasakan.

Jika mengikut garis panduan itu, setiap projek di tanah tinggi perlu diselenggara setiap lima tahun sekali, termasuk memeriksa kestabilan cerun, juga diwajibkan memasang alat pengesan pergerakan tanah.

Akhir kalam, kita boleh sahaja menubuhkan jawatankuasa khas, suruhanjaya penyiasat, memorandum atau apa sahaja. Tetapi semuanya tidak akan memberi apa-apa erti sekiranya cadangan dan peraturan tidak dipatuhi.

Kita tidak pernah belajar dari pengalaman, sebab kita rakus.

No comments:

Post a Comment