Friday, January 7, 2011

ARTIKEL BERKAITAN DENGAN PERUBATAN ALTERNATIF

Mulai esok 8 Januari 2011 rumah saya akan mula dikunjungi oleh pesakit yang akan menjalani rawatan dengan Perubatan Islam Al Hidayah yang diasaskan oleh  Tuan Haji Lokman bin Abdul Hamid. Pagi ini hampir 50 orang pesakit telah menempah nombor giliran untuk bertemu beliau. Walaupun sudah hampir 200 orang pesakit yang telah ada temujanji, tetapi dengan suasana cuaca yang lembab dengan hujan yang lebat, saya jangka mungkin, ramai yang ada temu janji mungkin tidak hadir, kerana masalah hujan. Ada pesakit dari Kuantan dan Kota Bharu yang telah menelfon saya memaklumkan tidak dapat hadir kerana bimbang tersekat di perjalanan.

 Insya Allah Tuan Haji Lokman dengan Asraf Muslim akan nula berubat pada beok pagi mulai jam 11.00 pagi hingga waktu 12 malam. Pada hari ahad iaitu 9 Januari klinik akan dibuka sehingga jam 1.00 petang sahaja. Pesan saya, para pesakit diminta bersabar sewaktu menunggu, kerana biasalah pesakit yang dijangka hadir ramai, dan memerlukan tahap kesbaran tinggi untuk menanti giliran. Allah kasih kepada mereka yang sabar. Dan proses menunggu itu sebenarnya sebahagian daripada proses terapi. Allah menguji tahap kesabaran kita. Jika nak semboh kenalah bersabar.

Sempena dengan kehadiran Tuan Haji Lokman dan Asyraf Muslim saya muatkan artikel berkaitan dengan kaedah perubatan berasaskan ayat al Quran untuk tatapan dan renungan kita bersama. Artikel ini pernah keluar dalam Berita Harian pada tahun 2009 sempena dengan satu seminar perubatan Islam yang diadakan di UUM, Sintoj, Kedah.

---------------------------------------------------------------------uuuuuu-----------------------------------------------------------------------

 

200 peserta kupas isu makhluk halus

SINTOK 26 Jun 2009 - Lebih 200 peserta menghadiri Bengkel Perubatan Islam yang mengupas tentang gangguan makhluk halus dan cara mengatasinya di Dewan Seminar Fakulti Teknologi Maklumat (FTM) Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Bengkel itu bertujuan memberi pengetahuan kepada warga universiti ini mengenai kaedah dan cara mengatasi perkara-perkara ghaib termasuklah jin, iblis atau lebih dikenali sebagai makhluk halus.Memang tidak dinafikan sejak kebelakangan ini banyak perkara mengenai unsur kehilangan, sesat jalan dan perkara ghaib sering diperbincangkan di media massa.

Program setengah sehari itu dikendalikan oleh seorang pengamal perubatan Islam, Sharhan Shafei dan tiga orang pembantunya. Sharhan berkata, semua pihak harus akur kewujudan makhluk halus di alam ini sejak kejadian Adam a.s. bagi menyesatkan manusia dengan perangai dan niat jahatnya seperti yang tersebut di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Walaupun kebolehan makhluk ini mengatasi manusia namun manusia lebih hebat kerana manusia dijadikan dari tanah yang diberikan akal fikiran sementara iblis dan syaitan dijadikan dari api, kata Sharhan.``Apabila kedua makhluk ciptaan tuhan ini bermusuh berbagai cara digunakan untuk mengatasi pihak lawan sama ada cara halus atau kasar,'' katanya, di sini.

Bagaimanapun, kata beliau, sebagai ciptaan Allah, manusia diberikan kelebihan untuk menangkis serangan makhluk halus atau ghaib dengan amalan-amalan yang diajar al-Quran.Kata beliau, al-Quran merupakan petunjuk dan mengandungi seluruh aspek kehidupan serta tidak ketinggalan dalam bidang perubatan spiritual dan fizikal yang merangkumi ubat bagi roh dan jasad sekali gus.

Bomoh kena beriman


MENURUT Islam, hukum menggunakan khidmat bomoh atau seumpamanya dalam perubatan tradisional terbahagi kepada dua iaitu harus dan haram.

Keharusan menggunakan khidmat bomoh dalam perubatan tradisional tidak bersifat mutlak. Ia dibatasi dengan syarat tertentu seperti perubatan bomoh itu menyebutkan nama Allah atau salah satu namanya; menggunakan ayat al-Quran dan doa yang diamalkan oleh nabi dan rasul; dan menyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan ketentuan Allah. (Al-Qardawiy, 1994:1:319).

Perubatan bomoh menjadi haram jika cara rawatannya itu bertentangan dengan syarak. Misalnya, menggunakan khidmat jin, pemujaan, jampi, mantera dan sebagainya yang tidak mengikut cara rawatan yang diharuskan oleh Islam. Ia juga menjadi haram apabila orang yang berubat benar-benar beriktikad bahawa bomoh itulah menyembuhkan penyakitnya tanpa bergantung kepada Allah.

Kesan daripada amalan mempercayai bomoh ini sangat besar. Ia telah menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Jika ia terus diamalkan, akan mendatangkan imej buruk kepada Islam dari pandangan agama lain.Akidah adalah penentu kaitan seseorang dengan Islam, manakala syariah pula sebagai pengukur keteguhan dan kekuatan akidah. Akidah Islam adalah akidah yang bebas daripada sebarang unsur syirik dan khurafat. Syirik adalah pencemaran terhadap akidah, sementara khurafat adalah pencemaran terhadap kewarasan berfikir.

Menggunakan khidmat bomoh yang mengubati dengan cara yang salah seperti menggunakan khidmat jin, jampi mantera dan pemujaan bukanlah jalan penyelesaian yang hakiki bagi semua penyakit dan masalah yang dihadapi. Usaha menyelesaikan sesuatu masalah digalakkan oleh Islam. Tetapi, biar bertepatan dengan fitrah kemanusiaan dan selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah.

Setiap bomoh hendaklah merasakan bahawa setiap sesuatu yang dilakukannya itu kerana takut kepada Allah. Pada masa sama, orang yang menerima rawatan daripada bomoh pula harus memastikan rawatannya tidak bercanggah dengan Islam. Ingatlah peringatan Rasulullah bermaksud: "Sesiapa yang mati dalam keadaan menyekutukan Allah dengan sesuatu, nescaya akan memasuki neraka." (Hadis riwayat Muslim dalam Kitab Iman, Hadis No. 134)

FAKTA - Mengenai Bomoh

- Islam, akil baligh serta mengetahui apa yang diucapkannya.
- Tidak melakukan perkara yang membawa syirik, sama ada melalui iktikad, perkaraaan atau perbuatan.
- Tidak meninggalkan ibadat wajib dalam Islam.
- Tidak melakukan maksiat, jenayah dan yang bertentangan dengan undang-undang.
- Tidak memecahbelahkan masyarakat/keluarga.
- Tidak mentafsir Islam mengikut hawa nafsu.
- Tidak memasukkan atau menggunakan unsur bercanggah dengan Islam seperti sihir, ilmu hitam dan menurun.
- Tidak bersahabat dengan makhluk ghaib dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah syarak walaupun dikatakan dengan`jin Islam'.
- Tidak meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik.
- Tidak meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan.
- Tidak meminta dan menggunakan khidmat jin untuk sihir/nujum atau`menurun'.
- Tidak melakukan ramalan buruk atau baik pada masa akan datang dan tidak menyatakan ramalan yang lalu dengan cara tebakan, tenung dan sebagainya.
- Mengikhlaskan hati dan amalan semata-mata Allah.
- Sentiasa bertakwa kerana Dia saja yang memberi kebaikan/pertolongan.
- Sumpah tidak dibolehkan ketika perbomohan, sebaliknya hanya ikrar mengikut kesesuaian.
- Pengamal perbomohan tidak boleh taat secara membuta tuli kepada bomoh.
- Bacaan, amalan dan ikrar yang ada dalam pengakuan hendaklah selaras dengan akidah dan syariat.
- Dalam ikrar (fizikal atau mental) hendaklah tidak mempunyai unsur mensyirikkan Allah dan menjatuhkan maruah seseorang

.

Adab Semasa Perbomohan
- Tidak mendakwa perkara yang ghaib.
- Bomoh tidak boleh takbur dan tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
- Bomoh hendaklah melarang pesakitnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.
- Bomoh hendaklah mengikut adab sopan dan tata tertib Islam ketika menolong seseorang sama ada bersendirian atau bersama pesakit.
- Hendaklah menjaga kesopanan susila adab sebagai orang Islam.

Berubat hanya kerana Allah

ISLAM menitikberatkan soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal al-Quran, hadis, ijmak dan qias adalah ditolak.

Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara perlu diingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit dan sembuh adalah hak-Nya.  Manusia hanya disuruh berusaha dan berikhtiar.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad SAW) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).” (Surah Yunus, ayat 106)

Islam juga tidak membenarkan umatnya menggunakan sihir kerana Rasulullah bersabda bermaksud: “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Sahabat bertanya: “Apakah tujuh perkara itu?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari, Kitabul Hudud, Bab 44 ms 33)


Bagaimanapun, umat Islam tidak dilarang untuk menggunakan jampi. Rasulullah bersabda bermaksud: “Berkata Abu Zubair, aku dengar Jabir bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah. Maka, berkata seorang lelaki wahai Rasulullah! Bolehkah aku jampi? Baginda bersabda “Barang siapa yang mampu antara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan.” (Hadis riwayat Imam Muslim – Bab Istihbab al-Ruqyah min Al-Ain wa An Namlah wal Hummah wal An Naqrah, Jld 9, ms 5905)

Jampi boleh guna ayat al-Quran, bahasa difahami

PERBOMOHAN tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-Nya atau maksud di sebalik kalimah atau nama Allah atau sifat-Nya. Contohnya, mengatakan ilmu bomoh itu diterima terus daripada Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya.

Pengamalan bomoh tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah SAW, malaikat, nabi dan orang salih seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri dan sebagainya.

Mengikut Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang, contohnya, seperti wali syeikh, rijalul ghaib, roh datuk nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning atau putih.Dalam perbomohan juga, tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah atau tulisan yang tidak difahami seperti objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat al-Quran. Jangan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.

Penggunaan jampi dibolehkan dan digunakan dengan syarat:
- Menggunakan ayat al-Quran.
- menggunakan bahasa yang difahami.
- Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.

Mengikut garis panduan itu, tidak boleh mengamalkan bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya. Ia dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.

Selain itu, tidak boleh membaca mana-mana ayat al-Quran secara songsang, seperti Qul Huwallah.

Dalam perbomohan Islam, tidak boleh menggunakan al-Quran secara tidak wajar menurut syarat.
Contohnya, menggantung al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alasan tertentu. Jika berpusing begini dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semuanya ini termasuk menghina al-Quran (Istihza’)

Perkara lain yang dilarang adalah meninggalkan ibadat wajib yang dituntut Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa Ramadan ketika melakukan amalan perbomohan.

Tidak boleh mengguna perbuatan ‘menurun’, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian mengikut garis panduan itu adalah mengenai bayaran perkhidmatan atau pengeras. Sebarang pengeras tidak boleh digunakan dalam perbomohan jika ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik.Bayaran perkhidmatan hanya dibolehkan mengikut kesesuaian perubatan dengan tidak terlampau tinggi hingga boleh memberatkan atau menindas dan tidak membawa maksud tolong-menolong.

Perbomohan mengikut Islam juga melarang upacara yang mengandungi unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa atau tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan dan menyembelih ayam.

FAKTA - Syarat perbomohan

- Tidak menggunakan sihir, ilmu hitam, tilik, tenung, nujum, ramalan tapak tangan dan silap mata.
- Tidak mengaitkan pengeras dengan suatu akibat.
- Tidak percaya kepada sial dan mudarat menimpa seseorang.
- Tidak melakukan syirik seperti semah pantai, sembelihan binatang, buang ancak.
- Tidak menyembelih binatang untuk sesuatu tujuan yang bukan syarie.
- Tidak mnggunakan amalan/bacaan tertentu menggunakan unsur meminta izin/bantuan daripada makhluk ghaib.
- Tidak menyajikan makanan untuk menjamu penunggu.
- Tidak mentaati bomoh atau seseorang pada perkara yang jelas bercanah dengan akidah dan syariat Islam.
- Menolak syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
- Tidak boleh dikaitkan dengan pantang larang sesuatu unsur pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk ghaib seperti hantu, jin, penunggu atau orang halus dan sebagainya.
- Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang bomoh sehingga melakukan perkara yang ditegah Islam. Ia seperti meninggalkan tangung jawab sebagai suami atau isteri, membuka aurat, bersunyian antara pesakit yang lain jantina dengan bomoh saja.
- Perkara yang harus dan halal dalam syariat Islam tidak boleh dihukumkan haram atau sebaliknya.
- Tidak menurut apa-apa pendapat bomoh yang bertentangan dengan apa juga perkara berhubung akidah, syariah dan akhlak Islam.

Minta bantuan roh wali, jin dalam perbomohan khurafat

Oleh Mohd Shukri Hanapi

BANYAK amalan khurafat dan syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam masih diamalkan dalam masyarakat Islam hari ini. Antaranya menggunakan khidmat bomoh, dukun, pawang atau seumpamanya dalam perubatan tradisional.

Kuatnya kepercayaan segelintir masyarakat Islam kepada bomoh jelas dilihat apabila mereka sering menemui bomoh ketika ditimpa sesuatu masalah, sakit atau untuk menghidupkan adat istiadat dan perkara khurafat. Mereka mempercayai bomoh dapat mengubati penyakit atau menyelesaikan masalah.

Masyarakat yang memang percayakan kepada kebolehan bomoh atau pawang ini berpendapat ‘perkara misteri dan mistik seperti gangguan hantu perlu diselesaikan dengan cara yang mistik dan misteri juga’.

Begitu pun, khidmat bomoh yang berakar umbi dalam masyarakat Melayu tidak boleh disalahkan secara menyeluruh. Sebaliknya, kegiatan mereka perlu ditinjau agar tidak bercanggah dengan Islam.

Tidak dinafikan, sesetengah amalan perubatan tradisional bomoh ini mempunyai unsur kesalahan dan kesesatan. Kesesatan yang dimaksudkan adalah pada perbuatan bomoh dan kelakuan orang yang berubat itu sendiri.

Biasanya, kesesatan yang sering berlaku dalam perlakuan atau perbuatan bomoh adalah mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan daripada jin sebagai 'khadam'.
Sewaktu melakukan perubatan, kononnya jin akan menjelma masuk ke dalam badan mereka. Penjelmaan ini dipanggil 'Tanasakhul Arwah'. 'Menurun' yang dilakukan untuk mengubati pesakit itu bergantung kepada pertolongan dan kuasa jin bagi membantu merawat pesakit.

Berkaitan amalan ini, tidak ada nas daripada al-Quran, hadis dan pendapat lain yang muktabar yang boleh dipakai bagi menyokong bahawa jin dan arwah wali boleh menjelma masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.

Memohon sesuatu perkhidmatan daripada jin memang berlaku dan ia akan memberikan khidmatnya. Tetapi, khidmatnya itu ada imbalannya seperti melakukan apa juga amalan yang menyebabkan syirik kepada Allah atau berbuat sesuatu yang membawa penuturnya terkeluar daripada Islam.

Selain itu, perubatan bomoh kebanyakannya tidak menggunakan kaedah agama seperti menggunakan ayat al-Quran. Meskipun, kadang kala sesuatu perubatan itu dimulakan dengan lafaz 'basmalah' dan diakhiri dengan selawat. Namun, antara 'basmalah' dan selawat itu dimasukkan jampi mantera yang berbentuk seruan kepada jin bagi meminta pertolongan dalam mengubati pesakit. Ada juga bomoh yang menggunakan ayat al-Quran dan pada bacaan awalnya betul, tetapi pada akhir bacaannya ada sedikit perubahan dan penambahan.

Dalam mengubati pesakit, sesetengah bomoh menyebut nama 'benda' sebagai memuja sambil membaca-baca mantera dengan menggunakan istilah dalam bahasa yang tidak difahami.

Jelasnya, kepercayaan kepada sesuatu selain Allah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam.

Allah berfirman bermaksud: "Janganlah kamu adakan tuhan yang lain di samping Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah). Dan Tuhanmu (Allah) telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya." (Surah al-Israk, ayat 22-23).

Firman-Nya lagi bermaksud: “Orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk." (Sural al-An'am, ayat 82).

Selain itu, ada hadis yang memberi amaran kepada umat Islam terhadap perkara ini dan menegah mereka bergantung harap kepada jampi dan tangkal semata-mata untuk sembuh daripada penyakit. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Baihaqi dan al-Hakim).

Jampi mantera dengan kata-kata yang tidak difahami (rukaiyah) adalah ditegah. Berlainan pula mengenai sesuatu yang diajarkan oleh Rasulullah seperti: "Wahai Tuhan kami, Tuhan sekalian manusia, hilangkanlah kesusahan, sembuhkanlah dan Engkaulah yang menyembuhkan, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan apa-apa kesan kesakitan." (Hadis riwayat al-Bukhari - dipetik daripada al-Qardawiy, 1994:1:318).

No comments:

Post a Comment