Tuesday, January 25, 2011

Bagaimana orang politik mencari pengaruh

oleh ONG TEE KIAT
Sinar Harian 1/25/2011 7:12:41 AM
Orang politik memang biasa mencari pengaruh, biar apa cara sekali pun. Ada percaya kepada cara jujur, iaitu melalui kerja bersungguh-sungguh tetapi lebih ramai juga cenderung kepada jalan pintas yang kurang membebankan, sama ada dari segi kewangan mahupun guna tenaga.
Publisiti sememangnya mustahak bagi kerjaya seseorang ahli politik kerana ia faktor penentu yang akan mencorakkan persepsi rakyat terhadap tokoh berkenaan. Namun kebergantungan melampaui batas terhadap publisiti tanpa kerja yang ikhlas dan jujur hanya akan memperdayakan sesetengah rakyat buat jangka pendek sahaja.

Ini bererti sebarang jalan pintas bagi orang politik mencari pengaruh tidaklah akan berkekalan. Bagi mereka yang bijak mencari jalan pintas bagi mempopularkan diri, satu amalan lumrah yang tidak dapat diasingkan daripada mereka ialah amalan politik bermusim.

Mungkin sesetengah pihak menyamakan keadaan ini dengan sikap hangat-hangat tahi ayam seseorang. Namun pada hakikatnya, sifat yang dimaksudkan lebih merupakan sifat kurang tabah sehingga sesuatu minat atau tugasan tidak berkekalan. Walhal politik bermusim lazimnya diamalkan secara bermotif dan terancang. Umpamanya, menjelang pilihan raya umum atau kecil sering kelihatan wujudnya khidmat rakyat yang mendadak.

Ada kalanya pemberian peruntukan mengejutkan pun turut diumumkan. Permasalahan lapuk yang lama terbiar juga tiba-tiba mendapat keprihatinan pelbagai pihak. Sebenarnya segala-gala berita baik berupa ‘durian runtuh’ ini boleh menjadi kenyataan semata-mata kerana perhitungan politik untuk meraih sokongan rakyat. Ketika orang ramai rasa terharu atas keprihatinan orang politik yang dicurahkan terhadap mereka, perlulah tertanya-tanya pada fikiran mereka mengapa tidak permasalahan dan rintihan rakyat, khasnya yang lapuk, ditangani dari semasa ke semasa? Mana letaknya kejujuran mereka dalam usaha menyelesaikan masalah? Dalam hubungan ini, terdapat juga pemimpin politik yang gusar atas adanya pelbagai tuntutan rakyat setiap kali menjelangnya pilihan raya.

Memang tidak disangkal wujudnya seribu gelagat manusia, termasuk mereka yang suka mengambil kesempatan, tetapi kalaulah orang politik tidak mengamalkan politik bermusim dengan begitu terserlah, maka tidaklah perlu rakyat tunggu sekian lama untuk membangkitkan rintihan dan tuntutan mereka. Demikian juga, sekiranya keperluan rakyat dapat dilayani sepanjang masa dengan penuh kepekaan, maka tiadalah ruang bagi mana-mana pihak mengeksploitasi rintihan dan permasalahan. Ini adalah logik yang cukup mudah difahami tetapi malangnya orang politik yang kurang peka itu tidak semestinya memahami logik berkenaan. Biarpun janji-janji mendadak itu dapat dikotakan, namun hasilnya kurang dihargai rakyat kerana keikhlasan orang politik yang terlibat, sering dicurigai.

Dari segi keberkesanan kos pula, sebarang projek dilaksanakan secara mendadak semata-mata untuk menepati matlamat politik tertentu biasanya juga mengakibatkan perbelanjaan luar jangkaan kurang keberkesanan kosnya. Memandangkan wujud pelbagai kesan negatif akibat amalan politik bermusim itu, rakyat cukup terkeliru lagi terkilan atas berleluasanya amalan politik sebegini. Setiap kali kita kedengaran hebatnya cemuhan parti pembangkang terhadap parti pemerintah atas pengumuman peruntukan khasnya dalam kempen pilihan raya umum dan kecil. Namun, mereka tidak berani menuding jari kepada diri sendiri biarpun mereka sedar sesetengah tindak-tanduk mereka sebenarnya tidak lain daripada dua kali lima.

Berikutan tsunami politik dalam PRU 12 pada 2008, ramai pengundi rasa terkilan apabila satu demi satu janji Pakatan Rakyat ditaburkan dalam kempen pilihan raya tinggal impian semata-mata, kononnya kerana kekangan tertentu yang timbul akibat dasar Kerajaan Negeri (kerajaan BN) sebelumnya. Pada hemat saya, alasan ini mengelirukan. Realitinya, di negeri-negeri dikuasai PR sekarang, biarpun adanya kekangan dimaksudkan, kerajaan PR tetap boleh membatalkan sebarang keputusan atau dasar sedia ada untuk memudahkan pelaksanaan dasarnya.

Bagi pengundi yang bijak, janji-janji pelbagai tidak lagi diterima secara menyeluruh serta membuta-tuli. Rakyat berhak hendak tahu bagaimana dan bila janji-janji itu dapat dilaksanakan. Tidaklah wajar sekiranya pihak PR terus berdolak-dalik bahawa kegagalan mengotakan janji mereka adalah disebabkan kekangan dasar pemerintahan sebelumnya, ataupun kerana mereka masih belum lagi menerajui tampuk pemerintahan di Putrajaya. Natijahnya, rakyat tetap mengharapkan agar kedua-dua pihak BN dan PR terus peka terhadap rintihan dan tuntutan rakyat berbilang kaum setiap masa serta bersungguh-sungguh bertindak mengatasinya selaras dengan semangat 1Malaysia: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” *

Penulis :Datuk Seri Ong Tee Keat merupakan mantan Menteri Pengangkutan. Beliau juga ialah Ahli Parlimen Pandan.

No comments:

Post a Comment