Oleh Shuhairimi Abdullah
BH 2011/01/04
Pembangunan keusahawanan tanpa asas agama suburkan semangat materialistik, individualistikFAKTOR keagamaan perlu dijadikan nilai teras dalam merangka model keusahawanan. Keperluan kepada nilai rohaniah mampu mengawal manusia daripada melakukan sebarang pencerobohan yang boleh menggugat kepentingan agama dan kemaslahatan manusia.
Al-Buraey dalam karyanya Administrative Development: An Islamic Perspective menjelaskan komitmen mengaplikasikan nilai agama dalam amalan keusahawanan masih kurang dipraktikkan. Kelemahan ini kerana pengusaha terpengaruh orientasi nilai ekonomi kapitalis yang bermotifkan elemen material.
Sistem ekonomi abad 21 yang berorientasikan sistem ekonomi kapitalis menyaksikan organisasi korporat berperanan dominan dalam bidang ekonomi.
Pemusatan kuasa ekonomi global Barat pada syarikat multinasional mengancam penjajahan semula sesebuah negara yang turut memberi kesan kepada nilai hidup dan budaya setempat.
Jika budaya negatif ini tidak disaring dengan elemen agama, ia boleh memberi impak tidak baik dan mempengaruhi amalan keusahawanan. Dalam konteks itu terbuka kemungkinan peniruan budaya korporat yang membawa bersama gaya hidup materialistik yang tamak, mementingkan diri, rakus dan boros.
Usahawan Melayu memerlukan model budaya korporat berteraskan agama supaya dapat memiliki kekuatan ekonomi yang tumbuh daripada penghayatan agamanya. Meskipun ini bukanlah suatu yang mudah namun pendekatan keagamaan akan dapat mendisiplinkan perilaku manusia.
Dalam era persaingan ekonomi seperti sekarang, pembinaan budaya dan kelompok usahawan memang tidak dapat dielak tetapi usaha ini hanya akan bermanfaat andainya budaya keusahawanan dapat memberikan landasan peribadi unggul kepada individu usahawan.
Kajian Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada 2006 mendapati 65 peratus nisbah kegagalan usahawan Bumiputera berpunca masalah disiplin dan integriti yang lemah, manakala 35 peratus disebabkan masalah perniagaan yang diceburi.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Mohd Nasir Ahmad, berkata kajian dilaksanakan terhadap projek usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan (PROSPER) mendapati sebahagian besar usahawan Bumiputera gagal membentuk disiplin dan integriti hingga menyebabkan perniagaan dijalankan gulung tikar.
Kehidupan masyarakat hari ini bersifat kompleks berbanding masyarakat silam. Tambahan dalam era globalisasi, golongan usahawan lebih terdedah kepada pelbagai risiko dan saingan bersifat terbuka.
Oleh itu, timbul kecenderungan segelintir usahawan meminggirkan ajaran agama demi mengejar cita-citanya untuk berjaya dalam lapangan yang diceburinya. Banyak kajian mendapati sebahagian besar usahawan Melayu menceburi bidang perniagaan menghadapi pelbagai masalah.
Antaranya, terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan yang giat berlaku pada era 70-an dan 80-an, berterusan sehingga kini.
Bagi sesetengah usahawan yang menghadapi masalah kekurangan modal terpaksa mendapatkan bantuan pinjaman institusi kewangan mengenakan kadar bunga pinjaman termasuk meminjam daripada ‘ceti’ yang mengenakan kadar faedah tinggi hingga membebankan mereka.
Realiti yang berlaku ini bercanggah dengan keusahawanan Islam dan jelas wujudnya halangan yang terpaksa ditempuh usahawan sehingga ada kala terpaksa meminggirkan pendekatan agama dalam amalan keusahawanan mereka.
Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera selalunya ‘mudah lupa’ apabila berada di puncak kejayaan. Mereka beranggapan perkara remeh-temeh tidak boleh menggugat prestasi syarikat perniagaan.
Kajian yang dilakukan Biro Pembangunan IKS, Dewan Usahawan Muda Bumiputera Malaysia (BEPI-DUMBM) mendapati antara perkara asas sering diabai pengusaha IKS Bumiputera ialah:
Usahawan yang berjaya perlu sentiasa mempunyai sikap positif untuk merangsang aspirasi kejayaan mereka. Pastinya, kejayaan berkenaan perlu dirangsang dengan asas agama. Oleh itu, usahawan berjaya apabila kaya nilai kerohanian bukan sekadar kaya material.
Islam mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini kerana segala tingkah laku manusia dicorakkan melalui pedoman wahyu yang hakiki.
Pembangunan keusahawanan yang tidak diimbangi asas agama akan menyuburkan semangat materialistik dan individualistik dikalangan usahawan.
Akibatnya, usahawan hilang arah tujuan yang merugikan mereka bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat kelak
Kadang-kadang projek yang diberi kepada kontraktor tanpa berasaskan kepada keperluan sekolah ataupun tanpa merujuk kepada (GB) selaku tuan rumah. Pernah berlaku suatu masa dulu beberapa orang kontraktor datang menemui saya selaku GB memaklumkan bahawa dia dapat projek contohnya, tukar atap bangunan, tukar nako, tukar pintu, tukar dinding daripada kayu kepada batu. Walhal ada atap masih baru, ada tile baru diganti.
Selaku GB (tuan rumah) kita lebih tahu apa sebenarnya keperluan sekolah waktu itu, tetapi pegawai yang di atas tanpa turun melihat atau bertanyakan keperluan sekolah memberikan projek kepada kontraktor.
Apa yang boleh kita rumuskan, projek ini lebih bermotif untuk memberi pekerjaan kepada kontraktor Bumiputera yang menyokong satu-satu fahaman politik. Yang menjadi mangsanya pihak sekolah, kerana kebanyakan kontraktor yang tidak diselia oleh JKR atau JPN atau PPD bermasalah.
Kerja disiapkan melepasi masa yang ditetapkan, hasil kerja tidak memuaskan, malahan kadang-kadang menimbulkan masalah baru kepada sekolah.Inilah antara pengalaman yang sering saya hadapi dahulu tetapi kes seumpama ini seolah-olah diterima pakai sebagai budaya perniagaan kaum Bumiputera.
Pernah satu ketika saya terbaca artikel, penulis memberi pandangan sinis, satu kenyataan, "Peniaga Bumiputera tidak boleh berjaya kalau tidak ada kabel(kroni)!" Sukar untuk menerima kenyataan ini tetapi dari satu aspek seolah-olah ada kebenaran berdasarkan kenyataan yang dihadapi.
Begitu juga satu-satu projek seperti jalur lebar untuk kemudahan internet di sekolah, sehingga hari ini saya difahamkan oleh guru-guru di SKSS 1, kemudahan internet masih bermasalah dan tidak berfungsi. Pelbagai pegawai dari Kementerian atau Jabatan hadir untuk melihat, tetapi tiada apa yang boleh dilakukan. Projek gajah putih.
Walhasil saya amat bersetuju dengan kenyataan penulis artikel tersebut,nilai agama sangat penting. Tak kira, kontraktor ke, peniaga ke, pengurus ke, atau siapa sahaja yang diberi amanah untuk melaksanakan tanggungjawab tidak menghayati nilai-nilai agama, biar besar mana serban atau kopiah yang dipakai, tidak memberi faedah.
Pernah satu ketika sewaktu projek membina makmal komputer di SKSB, Juruteknik JKR yang menyelia projek berkopiah, tetapi apa yang terjadi, kerana maknga dan tidak teliti serta tidak porfessional, projek itu terbengkalai dengan meninggalkan runtuhan laluan serta kemusnahan taman herba di sekolah itu, rupa-rupanya projek tersebut masih belum diluluskan. Akibatnya sekolah terpaksa menguruskan untuk membersihkan runtuhan serta kemusnahan tersebut, kerana kontraktor yang memulakan kerja, meninggalkan projek tersebut. Beberapa tahun kemudian barulah projek itu diuruskan oleh kontraktor yang lain.
Akhir sekali saya ingin berkongsi dengan pembaca, saya pernah menasihatkan kontraktor sewaktu lawatan tapak bersama jurutera JKR satu ketika dahulu, apa pesan saya kepada mereka,
Fikirkanlah bahawa sekolah yang tuan-tuan nak buat projek ini semuanya Melayu, Islam. Mungkin ada waris warah atau sanak saudara tuan-tuan disini, elakkan daripada buat kerja yang menganyayai bangsa dan keturunan kita. Pastikan hasil keuntungan yang diperolehi yang nak dibagi kepada anak isteri akan jadi darah daging itu halal, sebab dia akan mempastikan rumah tangga, anak-anak kita Allah berkati mereka."
Wallahualam, maaflah kalau ada yang tersinggung. Inilah diantara pengalaman pahit yang pernah saya alami.
No comments:
Post a Comment