Friday, January 21, 2011

Ketakutan Insan Paling Berani



Umar Al-Khattab ialah khalifah Islam yang kedua. Beliau memeluk Islam berkat doa Rasulullah s.a.w. Cara beliau menerima Islam sungguh luar biasa. Inilah keberkatan dan mukjizatnya ayat Quran. Selepas mendengar berita bahawa adik perempuannya memeluk Islam, dengan keadaan yang berang, beliau menuju ke rumah adiknya dengan tujuan untuk membunuhnya tetapi tersentak dan tersentuh apabila mendengar adiknya membaca permulaan surah Taha. Allah membuka pintu hatinya dan memberi hidayah, lalu bertemu Rasulullah s.a.w. menyatakan keislamannya.

Pernah sewaktu selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. beliau dicalonkan untuk menjadi khalifah tetapi beliau menolak dengan cara berhujah dengan Saidina Abu Bakar. Siapa yang kalah dia akan menjadi khalifah. Umar Al Khattab menang dan beliau terlepas daripada menjawat jawatan khalifah. Pelik bin ajaib, kalau sekarang siapa yang menang bertanding tentulah menjadi ketua, tetapi tidak demikian, kerana para sahabt melihat jawatan itu adalah satu amanah yang sangat berat untuk dipikul. Tetapi takdir Allah selepas kematian Saidina Abu Bakar, beliau dilantik menjadi khalifah.

Imam al-Zahabi berkata mengenai Umar bin al-Khattab r.a.:Bahawa pada suatu malam, dia keluar mengelilingi ke pelusuk-pelusuk perkampungan di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar suara seorang perempuan sedang menangis dari sebalik pint rumahnya. Umar terdiam sebentar, pembantunya Aslam bertanya kepadanya:”Apa yang terjadi dengan tuan, wahai Amirul Mukmini?” Sementara Umar masih menangis, Umar berkata,”Wahai Aslam, mari kita pergi.”

Aslam berkata:”Kami kembali ke Baitulmal milik kaum Muslimin, lalu beliau membawa seguni lemak, seguni minyak dan seguni tepung (gandum). Dia berkata:”Tolong letakkan ini di bahuku.” Saya berkata: “Wahai Amirul Mukminin, biarkan saya sahaja yang mengangkatnya.” Umar berkata: “Apakah kamu yang akan menanggung dosa-dosaku di hari kiamat kelak?”

Aslam berkata,”Beliau sendiri yang membawanya. Demi Allah saya melihatnya berjalan sambil berlari-lari kecil di depanku. Beliau masuk ke rumah tersebut dan meminta izin duduk di sudut rumah untuk membuat hidangan makan malam bagi keluarga itu, maka perempuan itu bertanya kepadanya:”Siapakah kamu? Semoga Allah merahmatimu. Demi Allah kamu lebih baik daripada Umar.”

Seolah-olah perempuan itu mengatakan; Dengan segala sikap rendah hati, layanan dan bantuanmu dalam mempersiapkan urusan rumah tangganya, kamu lebih baik daripada Khalifah Umar al-Khattab. Padahal dia belum mengetahui bahawa yang di hadapannya ialah Umar al-Khattab r.a.

Aslam berkata;”Tatkala kami sudah selesai, aku pun pulang bersamanya, sementara azan subuh mulai berkumandang, lalu dia menunaikan sembahyang subuh bersama kami. Tatkala sampai pada bacaan firman Allah pada surah al-Shaafat, ayat 24 yang bermaksud “dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya.”

Dia pun menangis, hingga orang yang berada pada barisan paling terakhir mendengar suara tangisannya. Selepas itu dia sakit selama sebulan, kerana rasa takutnya kepada Allah s.w.t

 

No comments:

Post a Comment