Thursday, January 27, 2011

Kita semakin sensitif terhadap agama

oleh ABDUL JALIL ALI
Sinar Harian 1/27/2011 7:20:48 AM
Di Johor, sikap calon wanita Pas enggan bersalaman dengan lelaki, dijadikan isu dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. Di seberang Tambak Johor, Lee Kuan Yew menggesa umat Islam Singapura agar tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam.

Di mana-mana pun isu berkaitan agama – Islam atau bukan Islam – selalu menarik minat umum. Sekiranya tidak ditangani dengan berhemah, perkara yang dianggap paling kecil pun boleh jadi panjang meleret sehingga mencetuskan kehangatan yang luar biasa. Seminggu dua ini ada keresahan, khasnya dalam kalangan kaum India di negara kita, sehingga memaksa kerajaan mengadakan banyak perbincangan, NGO menganjurkan perdebatan, para cendekiawan berdiskusi, dan pemimpin kaum India mendabik dada sebagai wira. Malah ada beberapa penunjuk perasaan ditangkap polis. Semuanya gara-gara perkataan ‘paria’ yang disebut hanya dua kali dalam Interlok, novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang menjadi buku teks sastera sekolah menengah.

Bagi sesetengah orang, ini isu remeh. Tetapi bagi penganut agama Hindu, perkataan yang disebut dalam novel itu adalah satu penghinaan besar. Samalah juga halnya dengan kenyataan Menteri Mentor yang juga bekas Perdana Menteri pulau republik itu, dalam buku terbarunya, ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going’, yang segera mendapat reaksi hangat orang Islam kita. Perkasa menyifatkan Kuan Yew sebagai ‘mentor nyanyuk’ dan menganggap kenyataannya dalam buku tersebut adalah satu penghinaan terhadap Islam. “Kita akan mengajar Lee, dan akan bertindak dalam waktu terdekat ini,” kata Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan media. Bersalaman dengan bukan muhrim pun adalah isu agama.

Sebab itu tidak menghairankan apabila keengganan Normala Sudirman bersalaman dengan penyokongnya, dibangkitkan sebagai modal kempen oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada pilihan raya kecil di Tenang. Menurut Chua, pendirian calon Pas itu dianggap menimbulkan kebimbangan sebagai pemimpin yang tidak mesra rakyat. Mungkin ketua MCA itu tidak memahami Islam. Sebab itu kenyataannya yang dibuat untuk membantu calon UMNO, Mohd Azahar Ibrahim, mungkin menjadi senjata makan tuan. Saya menyokong Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyid­din Yassin yang menyarankan MCA supaya berhenti main isu salam calon Pas. Katanya, ada banyak lagi isu yang lebih mendesak yang boleh ditimbulkan dalam konteks pilihan raya kecil itu.

Tetapi di luar kempen DUN Tenang, ramai pihak masih tidak puas hati dengan Soi Lek. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu supaya orang nombor 1 MCA itu memohon maaf kepada umat Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam wanita Islam. Katanya, apa yang dikatakan oleh Soi Lek adalah satu penghinaan terhadap Islam. Perkasa menyokong apa yang dikatakan oleh mufti tersebut. Menurut Syed Hassan, seperti yang dilaporkan media, isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan langsung sebab sudah jelas orang Islam, baik lelaki mahu pun wanita, memang tidak boleh bersentuhan dengan pihak yang bukan muhrim.

Sehingga rencana ini ditulis tidak ada tanda-tanda Soi Lek akan meminta maaf. Harap-harap beliau, dan siapa sahaja yang sepemikiran dengan beliau kini, memahami sensitiviti orang Islam. Jangan cakap sembarangan, sebab orang Islam pun mudah sensitif, sama seperti orang Hindu dan penganut lain-lain agama. Akhir-akhir ini sensitiviti terhadap agama, termasuk Islam, mudah tercetus di tempat kita. Silap sikit sahaja bercakap mengenai agama, kita akan dianggap menghina. Baru-baru ini seorang bukan Islam @ seorang anggota MCA mengadu gema azan subuh dari sebuah masjid di Bangsar dikatakan mengganggu penduduk. Orang Islam menganggap itu sebagai satu penghinaan terhadap agama. Dia akhirnya meminta maaf setelah umat Islam di kawasan tersebut meng­adakan tunjuk perasaan.

Harap-harap selepas ini jangan ada lagi cakap-cakap yang meminta supaya azan di masjid dan surau diperlahankan. Sementara kita bersetuju dengan Harussani, Perkasa dan siapa sahaja yang menentang penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh orang bukan Islam, kita juga sepatutnya menentang penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh orang Islam sendiri. Barang kali Soi Lek boleh dimaafkan dalam isu amalan bersalam dalam Islam sebab beliau bukan orang Islam dan tidak tahu hukum-hakam agama. Sama juga halnya dengan isu melarang laungan azan di surau dan masjid yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam yang tidak tahu hukum.

Betapa pula sekiranya orang Islam sendiri secara terang-terangan melakukan amalan-amalan yang ditentang oleh agama? Tidakkah juga mereka dianggap sebagai menghina agama? Kita marah dan cepat melenting apabila seorang wakil rak­yat wanita Cina masuk ke surau dengan hanya memakai kebaya dan tidak menutup kepala. Betapa pula halnya dengan sekian ramai wanita Islam, termasuk dalam kalangan orang terkenal, yang tidak menutup kepala? Ada sesetengah kita yang seolah-olah sengaja menolak kaedah kesopanan Islam dengan menggayakan pakaian yang mendedahkan aurat. Buka atas, buka bawah. Buka lengan, buka betis, tanpa sedikit pun rasa malu dan bersalah. Ini juga satu penghinaan terhadap agama.

No comments:

Post a Comment