Pagi ini baru selesai menyerahkan salinan pelan rumah saya kepada Indah Water untuk kelulusan. Kalau tak silap saya, sudah hampir setahun empat bulan saya berulang alek ke Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Tukang Pelan Zubir di Losong, telepon tukang pelan rumah saya iaitu HWR (tukang pelan sambilan) yang bertugas di Besut, dahulu bertugas di Pejabat Daerah Kuala Terengganu.
Terasa satu macam perasaan bosan, boring dan sakit hati, bila mengenangkan betapa teruknya kerenah birokrasi MPKT, dan sikap tidak bertanggungjawabnya tukang pelan rumah saya. Sebenarnya rumah yang saya duduki sekarang sudah berumur lebih dua belas tahun, tetapi tidak mendapat kelulusan CF daripada MPKT.
Ceritanya mudah sahaja. Sewaktu hendak bina rumah ini 12 tahun lepas, saya telah mengupah tukang pelan rumah sambilan, dengan tujuan dapat jimatkan belanja kos pelan yang mungkin agak mahal sedikit jika berurusan dengan Tukang Pelan atau arkitek yang berlesen.
Memandangkan tukang pelan rumah saya ini tiada lesen, maka untuk pengesahan pelan beliau pun mendapatkan pengesahan dan tanda tangan daripada Tukang Pelan Berlesen Zubir yang berpejabat di Losong, Kuala Terengganu. Setelah siap melukis pelan rumah, HWR akan ke Tukang Pelan berlesen untuk dapatkan pengesahan dengan bayaran yang telah ditetapkan, (itupun dibayar oleh pemilik rumah).
Malangnya sewaktu pelan rumah tersebut siap dilukis dan ditanda tangani oleh ayah kepada Zubir Tukang Pelan (HAR), pembawa pelan tidak mendaftarkannya di MPKT. Perkara ini tidak disedari oleh saya. Memandangkan rumah yang kami bina tidak melibatkan pinjaman kerajaan ataupun bank. Belanja sendiri daripada wang simpanan EPF dan sumber-sumber lain, maka soal kelulusan tidak menghalang rumah itu untuk terus dibina. Sekiranya melibatkan pinjaman, sudah pasti kelulusan pelan menjadi syarat wajib untuk tuntutan perbelanjaan pembinaan.
Sehinggalah rumah kami siap pada tahun 2003, kelulusan pelan tidak kami terima. Tiada apa-apa yang berlaku, rumah yang kami bina tidak diduduki, kerana waktu itu saya sekeluarga masih sayangkan rumah mentua kami di Bukit Besar.
Timbul isu apabila pada tahun 2004, MPKT telah menghantar surat notis kepada isteri saya (nama pemilik) kerana membina rumah tanpa kelulusan pelan daripada MPKT. Seingat saya waktu itu Tuan Haji Zulkifli adalah Yang Di Pertua Majlis Bandaran Kuala Terengganu. Kebetulan anaknya bersekolah, di SK Seri Budiman, dimana saya bertugas sebagai GB. Saya pun berjumpa dengan pegawai yang berkenaan undang-undang di MPKT dan menceritakan hal sebenar yang berlaku. Kesilapan itu mungkin kejahilan saya dan sikap tidak amanah tukang pelan yang saya upah untuk menyelesaikan tugasnya yang telah pun dibayar oleh kami selaku pemilik rumah.
Surat rayuan dibuat kepada MPKT agar tindakan undang-undang tidak diambil kerana saya mempunyai surat kelulusan daripada beberapa pejabat kerajaan dan agensi yang terlibat dalam proses pembinaan rumah. Contohnya JKR, Pejabat Kesihatan, Pejabat Pembentungan dan beberapa lagi pejabat kerajaan yang terlibat. Saya tak ingat, sebab dah terlalu lama, tetapi salinan surat masih ada. Masalah yang timbul ialah diperingkat akhir setelah semua jabatan kerajaan yang terlibat meluluskan pelan rumah kami, tetapi proses terakhir ialah mendaftarnya di MPKT. Proses terakhir inilah yang mana saya difahamkan anak tukan pelan (Allahyarham) tidak menghantarnya ke MPKT.
Selepas surat rayuan dihantar, saya tidak menerima sebarang jawapan daripada MPKT sehinggalah pada akhir tahun 2010, sekali lagi saya menerima surat amaran daripada Bahagian Undang-Undang MPKT untuk menyaman kami kerana membina rumah tanpa kelulusan pelan.
Kebetulan waktu itu saya hampir bersara akhir tahun 2010. Maka selepas sahaja saya bersara, bermula satu tugasan penting untuk saya iaitu berusaha mendapatkan pelan rumah kelulusan MPKT yang mana rumah tersebut sudah terbangun hampir 12 tahun.
Awal tahun 2011 saya menghubungi tukang pelan asalnya HWR. Kebetulan anaknya bersekolah di SKSS1. Sebelum bersaras, sudah beberapa kali saya terserempak dengannya, tetapi saya dapat merasakan bahawa beliau berasa malu kerana kes rumah saya tidak selesai. Dan sudah beberapa kali saya mempersoalkan integriti dan tanggungjawab beliau selaku tukang pelan yang telah dibayar upahnya, tetapi kerjanya tidak selesai.
Setahu saya dan memang saya difahamkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab tukang pelan untuk melukis, mendapatkan kelulusan daripada agensi yang berkaitan, menyelia sewaktu pembinaan, dan akhirnya mendapatkan sijil layak menduduki (CF) bagi pelan rumah yang dilukisnya. Beliau mengakui, tetapi tidak melakukan sesuatu untuk memulihkan keadaan tersebut.
Sehinggalah saya terpaksa berjumpa dengan beliau dan menjamin bahawa saya akan bayar upah yang baru sekiranya beliau menyambung kembali tugasnya untuk melukis pelan pindaan dan menghantar kepada MPKT dan memastikan rumah tersebut mendapat CF (Sijil Layak Menduduki). Akhirnya beliau bersetuju. Malangnya beliau bertugas di Besut dan untuk menanti segala proses hantar pelan ke MPKT dan menunggu jawapan, saya fikir tentu mengambil masa yang panjang. Untuk menyelesaikan kerja dan mempercepatkan proses kelulusan, maka saya bertindak sendiri dengan mengambil pelan tersebut di pejabat Zubir Tukang Pelan, menghantar dengan tangan ke tingkat 5 MPKT.
Apa yang berlaku selepas itu, pelan saya dipendam hampir 2 bulan tanpa sebarang tindakan, kerana kakitangan yang berada di Tingkat 5 tak jumpa memncari fail asal pelan rumah saya. Mereka tidak ada sistem mengesan di mana fail itu berada. Sepatutnya bila fail itu keluar tentu ada rekod siapa dan bahagian mana yang mengambilnya.
Sekali lagi saya naik ke tingkat 7 bangunan MPKT berjumpa dengan Penolong Pegawai Undang-Undang yang pernah saya jumpa sebelum ini, tetapi tiada, mesyuarat, dan saya berjumpa dengan CC di Bahagian Undang bertanyakan fail rumah saya. Rupa-rupanya fail tersebut masih berada di tingkat 7. CC pura-pura marah menelepon Tingkat 5 dan marah-marah depan saya kenapa tak datang ambil fail tersebut. Itulah kerenah yang saya lihat di MPKT. Berbeza sugguh dengan banner yang digantung serata tempat dalam MPKT Konsep 5S. Sisih, Susun, Simpan, dan belah-belah lagi saya tak ingat.
Selepas itu banyak kalilah saya turun naik MPKT untuk mendapatkan maklumat status permohonan kelulusan pelan rumah yang telah siap lebih 12 tahun.
Sehingga hari ini saya hitung dan saya kira lebih sepuluh kali saya turun naik MPKT dan pejabat Zubir Tukang Pelan semata-mata untuk menyelesaikan permohonan pelan rumah tersebut. Seingat saya telah lebih RM 4.000.00 telah dibayar kepada Tukang Pelan (upah lukis semula pelan rumah) , Denda yang dikenakan oleh MPKT kerana bina rumah tanpa kelulusan pelan, dan untuk proses akhir ini saya difahamkan Indah Water akan mengenakan bayaran sekitar RM600.00 untuk kelulusan pembentungan.
Pagi ini saya menyerahkan pelan untuk Indah Water dan diminta menghubungi Indah Water dalam masa dua minggu. Selepas ini kena isi pula borang E ! untuk dapatkan CF. Saya berdoa agar Allah mempermudahkan proses ini sehingg akhir.
RUMUSAN
- Saya banyak kali menaiki bangunan MPKT dan berurusan dengan beberapa orang pegawai dan kakitangan MPKT. Ada yang baik, sangat membantu, tetapi tak kurang juga kerenahnya, kerana semua surat yang dihantar salah alamat rumah, mungkin kerana kerja copy, paste menyebabkan kesilapan yang sama.
- Pelanggan MPKT mestilah datang sendiri untuk mengetahui status permohonan atau apa sahaja tindak susul yang perlu dilakukan, jika kita hanya menunggu surat jawapan, besar kemungkinan kita lupa apa yang patut kita lakukan. Maknanya masanya terlalu lama dan kadang-kadang mungkin kita akan terus lupa. Akhirnya kitalah yang akan disalahkan, sebagaimana yang berlaku kepada saya.
- Hati-hatilah kepada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang ingin membina rumah sendiri, carilah tukang pelan yang amanah, cekap, bertanggungjawab dan boleh dipercayai. Jangan hanya cari yang murah tetapi tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Dan pastikan tukang pelan tersebut berdaftar dan tanya dia apa tugas dia, kalau hanya melukis sahaja, baiklah cari tukang pelan lain.
- Untuk mempercepatkan sebarang proses di MPKT, kenalan atau kroni sangat penting. Carilah rakan atas rakan atau sesiapa sahaja yang kita kenali untuk tolong mempecepatkan proses kelulusan atau apa sahaja di MPKT. Jika tidak, aniaya dibuatnya.
- Saya juga kebetulan punyai rakan yang juga ahli mesyuarat MPKT, orang kuat UMNO, tetapi dia punyai hubungan yang baik dengan saya, dan saya selalu telepon beliau untuk dapatkan pertolongan. Dan ada beberapa orang lagi yang saya kenali di MPKT tetapi kebanyakannya adalah penyokong kuat UMNO. Dalam hati saya terfikir juga, mungkin salah kot, agaknya MPKT ini kubu kuat UMNO ke ? Wallah hualam.
- Akhir sekali saya suka mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang diberi amanah, tidak kira dimana kita bertugas, bahawa apa sahaja yang kita lakukan akan disoal dan dipetnggungjawab di hadapan Allah swt. Laksanakanlah tugas kerana Allah, bukan kerana pitis atau kerana kroni. Duit /pitis mudah dapat, tetapi ingatlah bahawa pitis / duti itu akan jadi darah daging kita kelak.
- Janganlah sesuatu jabatan atau agensi berbangga dengan ISO, 5S atau apa sahaja slogan, tetapi tanyalah pelanggan kita, adakah mereka berpuashati dan mendapat layanan yang adil daripada tugas dan tanggungjawab kita. Kadang-kadang kita seronok dengan slogan, siang malam buat kerja nak siapkan ISO, 5S, hasilnya, indah rupa tetapi pelanggan tetap tak dapat merasai kecekepan dan amanah kita.
No comments:
Post a Comment