Monday, April 9, 2012

Tindakan berani selepas pencen


RIDHUAN TEE ABDULLAH
Sinar Harian 9 April 2012

Minggu lalu, bekas Menteri Besar Selangor (MB) berkata Umno yang terlalu dominan di Selangor akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan Selangor, kerana undi bukan Melayu akan lari kepada Pakatan Rakyat. Beliau juga mengatakan, tidak ada calon BN yang layak untuk menjadi MB. Saya tidak faham apa sebenarnya dimaksudkan. Pada saya, sama ada BN menang atau tidak, ada calon MB atau tidak, biar rakyat tentukan. Apa yang penting, Umno dan BN perlulah muhasabah diri, termasuk bekas MB itu. Apakah selama beliau memimpin Selangor suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan kehilangan sokongan rakyat benar-benar layak digelar MB? Jangan mengata dulang paku serpih.

Ya, Umno perlu menjadi dominan, yakni dominan dari segi akhlak pemimpin, itu sahaja cara memikat hati pengundi dan mengalihkan perhatian ultra kiasu. Bukannya sifat bermewah-mewah dan berfoya-foya. Selalulah mendekati rakyat melalui sembahyang berjemaah bersama rakyat. Paling baik boleh menjadi imam. Pada masa sama, dekatilah pengikut Pas. Buang tabiat lama, bersifat lebih terbuka. Barulah cakap serupa bikin. Umno kalah dahulu kerana Umno masih mengekalkan tabiat lama seperti dilakukan bekas MB ini.

Saya masih ingat, ketika mula dilantik menjadi MB, perwatakan beliau amat humble, low profile dan sangat down-to-earth. Mungkin disebabkan beliau anak orang susah. Namun, setelah senang, dapat memegang jawatan agak lama, keadaan mula berubah - dari segi rupa, penampilan dan komunikasi. Apabila saya datang berjumpa beliau, muka saya langsung tidak dipandang, beliau terus membaca surat dan menandatanganinya. Berjabat tangan pun sekadar main-main sahaja.

Contohilah para Nabi dan sahabat dalam berpolitik. Mereka menjadi pemimpin yang begitu memahami kehendak rakyat, hidup serba sederhana. Rakyat yang kaya. Itulah sebenarnya peranan pemimpin. Hari ini, kita kaya dahulu, rakyat dibiarkan miskin.

Justeru, saya puji Bantuan Rakyat 1Malaysia. Biarlah bantuan ini bersifat kekal, kerana yang miskin memang sewajarnya dibantu.

Dahulu ketika memegang kuasa, pandangan bekas MB tersebut tidaklah kritikal seperti hari ini. Perebutan kuasa, cantas mencantas, korupsi dan sebagainya dipandang sebelah mata. Mungkin kerana beliau tidak ada banyak masa sehingga tidak nampak kemungkaran ini. Namun, setelah tidak lagi jadi MB, beliau bertindak seolah-olah seperti pembangkang dalam parti atau menjadi duri dalam daging.

Sama juga sifat pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau kakitangan awam hari ini. Semasa dalam perkhidmatan, seperti pijak semut pun tidak mati. Semua yang dilakukan kerajaan betul. Namun, apabila pencen dan tidak berjawatan sama ada dalam parti atau kerajaan, keadaan menjadi berubah seratus peratus, mereka menjadi begitu berani. Semua dilakukan kerajaan tidak betul.

Malah, mereka sanggup membocorkan rahsia-rahsia kerajaan. Nampak sangat kita tidak jujur dan hipokrit. Di sinilah saya lihat silapnya Umno dalam mentarbiyyah ahli-ahlinya. Termasuk pemimpin Melayu ultra kiasu PKR hari ini. Dahulu semasa dalam
Umno, semuanya wangi, apabila ditendang keluar, tidak sedikit pun kebaikan Umno disebut.

Kenapa kita begitu berani apabila sudah tidak lagi memegang jawatan. Saya berpandangan, Umno gagal mendidik ahli dan pemimpin mereka, setelah sekian lama memerintah. Umno sudah sinonim dengan wang dan harta, wanita dan takhta. Sekarang ini pun ramai orang berjaya dalam Umno hidup bergaya dengan isteri ramai. Agak kurang pemimpin berkualiti yang telah dilonjakkan oleh Umno benar-benar down-to-earth atau merakyat.

Betul kata Tun Mahathir, budaya Umno selama ini adalah menaikkan orang pandir dan menenggelamkan orang pandai kerana dilihat sebagai ancaman. Orang-orang pandir, yang menjadi yes men, belum pun selesai Perdana Menteri atau pemimpin bercakap, mereka akan memberi respons semuanya betul. Akhirnya, pemikiran tidak berkembang. Ramai orang pandai yang ingin menjadi pemimpin mengadu kepada saya. Mereka ada jawatan, ada bisnes, ada Phd sehingga bergelar profesor, namun tidak pernah tertonjol dan menonjol kerana telah dipancung sejak awal-awal lagi.

Sudah sampai masanya Umno melihat perkara ini dengan serius. Proses pentarbiyyah dalam Umno mesti berlaku. Cerdik pandai dan pemimpin berakhlak mulia perlu diketengahkan dan ditonjolkan. Barulah dikatakan winnable candidate. Jika kayu mati terus diketengahkan, tunggulah kehancurannya.

Pastikan pemimpin Umno tidak hanya pandai mengembungkan poket dan membuncitkan perut. Umno mesti merakyat sebagai tag line 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Masih belum terlambat jika Umno mahu kembali ke pangkal jalan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment