Thursday, April 26, 2012


Mendisiplinkan amal buat insan
CIKGU SIDEK BABA
 
26 April 2012

Disiplin amal buat mempunyai kaitan apa yang ada dalam fikiran dan hati. Sekiranya faktor hati bercanggah dengan faktor fikir amalan menjadi pincang. Oleh itu amat penting faktor fikir dan zikir menemui titik temu serasi supaya pemikiran yang lahir, jelas dan berwibawa. Darinya memandu amal buat yang baik dan menjadi sumber contoh.

Sumber contoh adalah sesuatu yang penting bagi kehidupan manusia. Manusia memiliki kualiti manusiawi untuk dicontohi dan mencontohi orang lain. Seorang ibu dan bapa sering dijadikan contoh oleh anak-anak pada awal umur. Di sekolah guru-guru dirujuk sebagai sumber contoh. Contoh baik menyebabkan anak-anak membentuk watak yang baik apabila remaja dan dewasa nanti.

Contoh dalam bentuk amal buat adalah sesuatu yang boleh memberi kesan kepada anak-anak. Amal buat adalah cerminan watak dan tabiat seseorang. Sekiranya ada kejernihan pada fikir dan zikir serta ada kemurnian pada hati dan jiwa, selalunya ia memberikan cerminan telus pada orang lain.

Tradisi Islam, qudwah atau contoh teladan itu menjadi sesuatu yang amat utama dalam proses mendidik seseorang. Rasulullah SAW umpamanya memiliki qudwah hasanah atau pekerti terbaik dan mengalami tarbiah Rabbaniyyah atau asuhan Ilahi menerusi petunjuk dan pedoman al-Quran sehingga akhlak Nabi dihubungkan sebagai akhlak al-Quran oleh isterinya Aishah.

Baik percakapan Nabi, perbuatan, amalan, dakwah dan jihad Nabi tercermin dalam Sunnah dan Sirahnya. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran yang terkait dengan aqidah, ibadah, syariah dan akhlak umpamanya menjadi sumber rujukan dan amalan umat Islam.

Tetapi tidak semua orang bernasib baik menerima asuhan dan didikan terbaik daripada ibu bapa, guru-guru mahupun pemimpin dalam masyarakat. Apabila asuhan dan didikan yang baik tidak berlaku, terjadilah kepincangan terhadap amal buat manusia. Ramai kedapatan manusia sedar di pertengahan usia hidupnya atau di hujung jalan hidupnya atau tidak menerima langsung contoh kebaikan lalu tersesat sepanjang hidupnya.

Amat penting proses didik berlaku sejak dalam perut ibu lagi, lahir hari pertama diazan dan diqamahkan, sampai ke tahap mumaiyiz hingga ke akil baligh merupakan tahap kritikal dalam kehidupan seseorang. Jika pengisian dan pengalaman yang fitrah diberi, anak-anak bakal menjadi remaja dan dewasa berwibawa, ibarat ikan di air masin. Semasin mana sekitarnya, dagingnya tetap tawar. Anak ini bakal subur dan teguh dengan jati diri yang baik.

Ada kalangan umat, produktiviti rohaniahnya tinggi; solat, qiyam dan tahajudnya hebat, tetapi kehebatan itu tidak terpancar dalam amal buat dan disiplin bekerjanya. Agama yang dilihat secara spiritual bukannya amal buat yang baik dalam kehidupan. Akhirnya produktiviti amaliah menjadi rendah.

Seorang sarjana Islam terkenal dari Mesir - Muhammad Abduh ketika melawat Perancis suatu ketika dulu berasa amat kagum dengan etika dan budaya orang-orang Perancis yang berdisiplin, menghormati waktu, suka berbincang, menjaga kebersihan, melakukan penyelidikan dan menghasilkan karya-karya.

Sekembalinya ke Kaherah, Mesir beliau membuat kenyataan begini, aku melihat terdapatnya amal Islam di Perancis walaupun tidak terlihat orang-orang Islam di sana. Aku mendapati ramai orang Islam di sini, tetapi tidak melihat amal Islami berlaku di sini.

Menariknya kenyataan ini ialah orang-orang Perancis melaksanakan amal buat Islami dalam cara hidupnya, tetapi orang-orang Islam di Mesir yang tahu Islam tidak mengamalkannya dalam budaya hidup. Hal ini berlaku di mana-mana dalam bumi Islam kini. Umatnya berpecah dan saling bercanggah. Hanya nampak kesalahan orang lain, tetapi tidak menyedari dirinya tidak menyumbang apa-apa untuk Islam. Islam hanya dilihat secara slogan tetapi tidak mampu berfikir dan bertindak strategik untuk meleraikan masalah.

Sering nostalgik tentang kejayaan silam Islam tetapi tidak reflektif terhadap membangun agenda masa kini dan masa depan. Ini menyebabkan satu sisi mempunyai cita-cita besar untuk Islam dan dalam sisi yang lain selesa sebagai pengguna kepada kekuatan orang lain.

Oleh itu amat penting amal buat umat Islam tidak saja rohaniah sifatnya, tetapi amaliah bentuknya. Gandingan kekuatan iman dan ilmu dengan perancangan strategik yang mampu mengimbangi idealisme dan realiti, bakal memberi jawapan terhadap amal buat Islami yang mampu merubah zaman dan menghadapi cabaran lingkungan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments:

Post a Comment