Tuesday, April 10, 2012

Hiudp Ini Tidak Pasti !!!


Dalam hidup kita banyak perkara yang berlaku diluar jangkaan. Ada yang sihat, tiba-tiba jatuh sakit. Begitulah yang berlaku kepada rakan saya Cikgu Haji Othman bin Sidek yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu. Beliau telah hampir sembilan hari berada di Hospital Nur Zahirah.Kuala Terengganu. Sewaktu saya menziarahi beliau tiga hari lepas keadaannya masih tidak sedar lagi. Walaupun telah dipindahkan ke wad 7A (wad biasa) tetapi kondisinya masih belum pulih.

Inilah yang dipesan oleh Rasulullah saw, mengenai lima perkara sebelum datang lima perkara. Pertama; hidup sebelum mati, sehat sebelum sakit, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua. Kaya sebelum papa kedana.

Bila melihat beliau dalam keadaan yang tidak sedarkan diri, saya terasa insaf, betapa, segala apa yang ada pada waktu itu sebenarnya sudah tidak memberi apa-apa erti kepada kita. Rumah, kereta, pangkat, harta, isteri, anak dan semuanya tidak memberi apa-apa erti kepada kita yang sedang terlantar sakit. Ini waktu beliau, giliran kita tidak pasti bila pula akan berlaku kepada kita. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui.

Persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi situasi sedemikian rupa. Cukupkah amalan soleh kita, sudahkah terhapus segala dosa kita kepada Allah, sesama makhluk, dosa kepada orang yang kita diamanahkan. Yakinkah kita akan dimasukkan ke syurga. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Seorang Ustaz pernah memberi peringatan, jika kita menziarahi orang mati atau orang sakit, bayangkan yang mati atau yang sakit itu diri kita, barulah kita akan terasa insaf akan diri kita. Jangan kita fikir, kita tak apa-apa.

Tiga minggu lepas, salah seroang guru Al Quran saya iaitu Ustaz Mohd Fuad bin Zulkifli meninggal dunia. Dua hari sebelum beliau meninggal saya sempat menziarahinya di ICU Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Setelah seminggu tidak sedarkan diri kerana serangan stroke (angin ahmar) akhirnya Allahyarham menyahut panggilan Ilahi, dalam usia belum pun sampai 50 tahun. Masih muda berbanding dengan saya yang telah mencecah 60 tahun.

Saya teringat betapa gigihnya beliau mengajar Al Quran kepada orang dewasa, daripada yang buta huruf sehingga mampu membaca Al Quran dengan lancar. Saya juga kagum kerana beliau sanggup berulang alek setiap minggu dari Kuala Terengganu ke Johor Bharu. Hari Khamis beliau bertolak ke JB dan malam jumaat sehingga hari Ahad mengajar Al Quran. Malam Isnin balek semula ke KT untuk mengajar kelas Al Quran di Bangunan MARA.

Sukar mencari ganti beliau. Kegigihan dan kesanggupan berulang alek setiap minggu, bukan satu kerja yang mudah, tetapi demi untuk menyampaikan dan mendidik manusia agar mampu membaca kalam Allah, beliau sanggup berbuat demikian. Kegigihan beliau menampakkan hasilnya, apabila sebuah bangunan dua tingkat mampu dibina melalui derma ikhlas daripada anak murid dan orang ramai di belakang rumah beliau di Bukit Tunggal, Kuala Terengganu. Malangnya belum sempat pondok tersebut beroperasi dengan sempurna, beliau dipanggil oleh Allah ke alam baqa. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Ustaz Mohd Fuad bin Zulkifli, Al Fatihah.

Sekarang Pusat Bimbingan An Nasr  di bangunan MARA akan diambil alih oleh Ustaz Ahmad Fitri Azmi bin Alias Al Hafiz. Semuga usaha murni Allahyarham Ustaz Fuad dapat diteruskan oleh Ustaz Ahmad Fitri. Saya juga turut merasai kesedihan atas pemergian Allahyarham yang telah berjaya mengajar ramai orang dewasa yang buta Al Quran akhirnya mampu membaca Al Quran dengan lancar. Semuga amal jariah yang dilakukan  oleh Allayarham akan menjadi amal soleh, InsyaAllah.

Kita bagaimana ? Apakah kita sudah tinggalkan amal soleh untuk bekal apabila di panggil Allah. Setiap yang hidup pasti akan mati. Bila? wallah hualam. Untuk itu marilah kita renung fikir, tilik taakul, dan muhasabah diri kita, apakah kita sudah bersedia dan cukupkah bekalan kita untuk bertemu dengan Allah kelak. Jangan jadi kita orang yang mudah lupa!!!

No comments:

Post a Comment