Sesiapa yang inginkan kemenangan dunia dan akhirat, janganlah dibiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. Jadikan setiap nafasmu nafas ibadah.
Wahai saudaraku,
Setelah engkau memiliki ilmu tiadalah lagi perkara yang penting melainkan beramal dengan ilmu, berilmu tanpa amal adalah binasa. Janganlah engkau berpaling lagi ke belakang, terus sucikan dirimu untuk menghampiri Tuhanmu sehingga terbuka cahaya hatimu dengan ilmu terus dariNya tanpa perantaraan. Hatimu akan bersinar dengan cahaya makrifat dan engkau memiliki harta yang amat bernilai, harta yang tiada dijual dimaya ini, tiada dimiliki oleh para jutawan dan para raja, harta yang menyebabkan engkau sentiasa tenang dan tiada mengharapkan apa bantuan dari sekelilingmu. Engkau akan diangkat menjadi kekasihNya sehinga segala hajatmu akan dipenuhi, engkau akan dijagaNya sehingga sesesiapa yang menyakitimu akan diisytihar perang ke atasnya. Tiadalah kejayaan yang hakiki melainkan berada dalam taman keredhaan takdirNya, hati yang terang menatap rahsiaNya, hati yang asyik dengan Asma’Nya, hati yang fana dengan kewujudanNya.
Wahai saudaraku,
Apabila engkau benar-benar beramal dan bersungguh bermujahadah dengan penuh keikhlasan, engkau akan dikasihiNya sehingga akan dilimpahkan ke dalam hatimu rahsia di sebalik rahsia. Engkau akan diperlihat hakikat di sebalik syariat, engkau mengenal dirimu dengan pengenalan yang hakiki, bukan diatas hafalan ilmu semata-mata tetapi dengan dzauk dan Penglihatan. Hatimu diberiNya Nur sehingga dengan Nur tersebut akan dapat menyaksikan Rahsia DiriNya. Engkau mencapai makrifat denganNya bukan dengan Guru manusia, Dia sendiri yang akan membisikkan pada sirrmu bahawa “ANA AL-HAQ”, maka tenggelamlah engkau dalam makrifat sehingga engkau tiada melihat tiada segala sesuatu melainkan Ia. Engkau akan melihat bahawa tiada suatu gerak melainkan gerak dariNya, tiada suatu yang maujud melainkan disana ada wujudNya, engkau akan memahami firmanNya; “Di mana kamu hadap disitulah wajah Allah”, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah fakir disisi Allah”, “Di mana kamu berada disitulah Ia berada” dengan kefahaman yang tiada dimiliki oleh orang biasa.
Tafsiran syariat adalah pembukaan sedangkan pentafsiran hakikat dengan dzauk dan pandangan. Tiada akan sama seorang yang melihat permukaan laut dengan mereka yang menyelam ke dasar laut. Tiada sama mereka yang mengenal diriNya pada permukaan zahir dengan mereka yang menyelam ke dalam lautan rahsia diri. Tiada akan sama dengan seorang yang belajar mengenal Tuhan dengan Guru manusia dengan mereka yang mengenal Tuhan dengan Tuhan sendiri. Tiada akan sama mereka yang mengucap La ilaha illaLlah di alam syariat dengan mereka yang mengucapnya di alam hakikat. Tidak akan sama huruf, kalimah dan bunyinya pada alam syariat dengan alam hakikat, tiada akan sama kenikmatan atau kepedihan di alam nyata ini dengan alam hakikat, tiada akan sama orang yang mati hatinya dengan orang yang hatinya sentiasa hidup dan asyik dengan Tuhan dan inilah yang mesti difahami sebagaimana firman Allah “Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tiada ilmu,” “Tiada akan sama orang ahli syurga dengan ahli neraka”.
Wahai para Salik,
Jika engkau bersungguh-sungguh mengamalkan zikir di bawah bimbingan Guru yang telah terbuka baginya rahsia segala alam sehingga telah mencapai kesempurnaan makrifat, engkau akan merasakan perubahan pada rohanimu. Ruhmu akan melalui pendakian dari hati yang lalai kepada hati yang hidup mengingati Allah, dari hati yang hidup mendaki kepada hati yang asyik, kemudian mendaki pula kepada hati yang fana dan kemudian mendaki pula (kepada) meminum rahsia makrifat di alam yang tinggi. Nabi saw telah melakukan israk mikraj, membuka dan membelah langit bagi umatnya kepada Tuhannya.
Janganlah menjadi manusia yang bodoh dan lalai, pintu yang yang terbuka perlulah dilalui. Nabi dipimpin oleh malaikat Jibrail menujuNya dan engkau memerlukan Mursyid yang memimpin tanganmu dengan kasih sayang menuju TuhanMu. Kamu dibawa ke alam peleburan diri sehingga tiada kamu temui sesiapapun disitu melainkan DIA SAJA YANG WUJUD. Engkau akan memahami kalimah la ilaha illaLlah wahdahu laa syarikaalah dengan kefahaman yang terkunci lisanmu hendak dinyatakan. Engkau juga akan memahami beberapa ramai orang yang tidak mencapai kesempurnaan maqam ini tersilap tafsirannya sehingga ada yang mengaku dirinya Tuhan, mengaku dirinya jelmaam Tuhan, mengaku dirinya dan Tuhan bersatu sehingga ada dikalangan mereka yang meninggalkan syariat. Mereka tiada dibuka rahsia dengan sempurna atau pandangan makrifat mereka diserta dengan syaitan atau Jin. Mereka cuba bercakap ilmu para sufi namun mereka gagal dalam menyelami rahsia “ADAM” dan“ MUHAMMAD”. Mereka juga gagal memahami rahsia mufaraqah sebagaimana terpisahnya air laut dengan air sungai atau terpisahnya api dengan asap.
Wahai saudaraku,
Berjalanlah dirimu kepada Tuhan dengan berpakaian syariat, tarekah, hakikat dan makrifat. Syariat itu adalah pakaian Nabi, tarekah itu adalah perjalanan Nabi, hakikat itu adalah batin Nabi dan makrifat itu adalah rahsia Nabi. Berpakaian syariat sahaja tanpa hakikat adalah fasik, hakikat sahaja tanpa syariat adalah zindik. Seorang yang berada di alam syariat sahaja adalah masih tertipu kerana apa yang dilihat dan didengar oleh syariat tidak menjamin akan kebenaran hakikat, justeru itu seseorang perlu menyelami lautan hakikat dan tiada cara untuk menghubungkan antara ilmu syariat dan ilmu hakikat melainkan berilmu dan mengamalkan tarekah. Apabila dadamu benar-benar memiliki rahsia ilmu para auliya, engkau akan memahami kenapakah mereka itu amat kuat takut pada Allah, amat kuat berpegang pada syariat, amat wara’ dalam setiap pekerjaan, amat zuhud pada dunia, amat redha dengan takdir Allah, amat kuat ibadahnya, amat baik akhlak jiwanya, amat kuat tawakalnya, amat tinggi syukurnya dan amat tinggi cintanya pada Allah dan Rasul. Mereka memiliki penglihatan yang tidak dapat dilihat oleh mata biasa, ia adalah Nur yang dicampakkan ke dalam dada oleh Tuhannya sehingga tembus penglihatannya pada alam rahsia dan FANA dan BAQA ia dengan kekasihnya. Fahamilah ia rahsia cahaya di sebalik cahaya. Berbahagialah mereka yang mencapainya dan merekalah yang sebenarnya telah mencapai kejayaan hakiki baik dunia atau akhirat.
WaLlahu ‘alam.
Dipetik daripada "Kitab Pendakian Salik Menuju Allah" karangan Syeikh Tokku Ibrahim Mohamad
No comments:
Post a Comment