Friday, April 13, 2012

BARAKAH SEORANG IBU

Pagi kemarin saya terpaksa balik awal dari masjid. Kebiasaanya saya akan menghabiskan beberapa surah rutin yang saya baca setiap lepas subuh, barulah saya balik ke rumah. Maklum sajalah, tidak seperti dulu, lepas sahaja solat subuh terpaksa bergegas balik untuk ke sekolah. Tetapi sekarang, dah jadi YB, (Yang Bersara), banyak masa terluang, anakpun dah tak sekolah, tunggu keputusan UPU. (keputusan Unit Pusat Universiti).

Pagi kemarin saya telah berjanji untuk menghantar jiran saya Tuan Haji Bakar dan isterinya ke Aiport Sultan Mahmud, untuk ke KL. Beliau dan isterinya ke KL untuk majlis sambut menantu yang akan diadakan pada hari Ahad ini di Puchong, Selangor.  

Dalam perjalanan ke Aiprot saya sempat berbual bertanya khabar anaknya yang bekerja sebagai arkitek. Menurut cerita Haji Bakar, anaknya telah berhenti kerja sewaktu isterinya menjalani pembedahan fibroid di Hospital Perdana  Kota Bharu awal bulan Mac lalu. Waktu itu saya sedang menunaikan umrah.

Hampir dua minggu anaknya Baby (nama timangan) menjaga isterinya Kak Yah di Hospital. Dan yang paling mengejutkan saya anaknya Baby sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga ibunya. Maklumlah bekerja dengan syraikat swasta bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapat cuti. Tambahan pula melibatkan orang sakit yang tidak pasti berapa hari diperlukan untuk sembuh. Sepanjang tempoh isterinya dirawat di hospital, anaknya Babylah yang sentiasa menunggu ibunya, melayani isterinya dengan penuh taat dan kasih sayang dari seorang anak kepada ibunya. Kak Yah sangat tersentuh menceritakan pengorbanan anaknya Baby, sewaktu beliau di rawat di hospital Perdana.

Yang menariknya mengikut cerita Haji Bakar, anaknya tergamak berhenti kerja walaupun gajinya sudah menjangkau lebih RM3000.00 sebulan. Tetapi demi ibunya, dia nekad. Selepas dua minggu, ibunya beransur sembuh dan balik ke Kuala Terengganu. Anaknya Baby ditawarkan kerja di sebuah syarikat arkitek yang baru dengan tawaran gaji yang hampir sama sebagaimana dia berhenti dahulu.

Tidak sampai seminggu anaknya bekerja di syarikat baru, dia ditawarkan pula oleh sebuah syarikat arkitek yang lain dengan tawaran gaji RM4,000,00 sebulan. Ajaib!!! Bukan senang sebenarnya dalam suasana sekarang, keadaan ekonomi yang tidak menentu, tetapi itulah hakikatnya, BARAKAH MENJAGA IBU SEDANG SAKIT, Allah murahkan rezekinya.

Bila mendengar kisah yang diceritakan oleh Haji Bakar, saya teringatkan sebuah buku yang pernah saya baca iaitu ”Dahsyatnya Doa Ibu” karya Syamsuddin Noor keluaran PTS. Saya petik dua potong hadis berkaitan akhlak kepada ibu untuk kita renung dan jadikan iktibar dalam menjalani hidup yang tidak kekal ini.

“Sesiapa yang ingin panjang umur dan mendapat rezeki yang melimpah ruah hendaklah dia berbakti kepada  kedua orang tuanya dan menyambung tali silaturahim” (hadis Riwayat Ahmad)

“Berbuat baiklah kepada kedua ibubapamu nescaya anak-anak kamu juga akan berbuat baik kepadamu. Peliharlah kehormatan isteri orang lain nescaya isterimu terpelihara  daripada celaan orang lain” (hadis riwayat Thabrani).

Semuga kisah benar ini membuka hati dan fikiran kita agar sentiasa mengasihi, mengasihani dan berbakti kepada kedua ibubapa kita. Jangan bimbang selagi kita berbakti kepada kedua ibubapa kita, Allah akan menjamin rezeki kita.

1 comment:

  1. assalamualaikum .. anak dapat berapa spm ..

    ReplyDelete