Apabila bincang soal pendidikan, jarang kita mahu melihat dalam konteks semangat sayangkan agama dan cintakan negara, seperti terangkum dalam makna patriotisme dan nasionalisme. Dalam kepala kita, hanya ada nilai ekonomi, ekonomi, ekonomi. Seolah-olah ekonomilah tanda aras yang menentukan hala tuju sesebuah negara.
Kita terlalu mengejar pembangunan, kemewahan dan keduniaan, bertunjangkan kekuatan ekonomi. Kita lupa, tanpa semangat keagamaan, patriotisme dan nasionalisme, pencapaian ekonomi tidak ada maknanya. Inilah perkara yang selalu dikaburi oleh ultra kiasu dan musuh Islam, agar kita lupa jihad sebenar.
Jika di negara lain, kesedaran patriotisme begitu dititikberatkan, kerana itulah asas kehidupan bernegara. Namun, saya berasa amat pelik, kenapa dan mengapa kita memandang remeh isu ini? Asyik-asyik kekuatan ekonomi dan unity in diversity. Berlakukah realiti itu?
Ya, saya tidak nafikan, semua itu juga adalah satu kekuatan. Tetapi apalah erti kekuatan tersebut, jika jiwa rakyatnya kosong dan hanya memikirkan bangsa sendiri sahaja. Sebab itulah, Perdana Menteri Britain, David Camerons mengatakan multiculturalism is dead. Buatlah kajian kenapa pemimpin sebuah negara maju dan hebat ekonominya boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian.
Semua percaya dan amat yakin, negara China akan keluar sebagai kuasa besar ekonomi. Itulah hakikatnya. Namun, kita jarang buat kajian, kenapa dan mengapa China boleh bangkit sebagai salah kuasa besar dan kuasa ekonomi?
China sudah terkenal dengan bangsa yang amat bongkak dengan tamadun dan kebudayaannya. Tidak timbul soal dua China, termasuk melepaskan Taiwan dan Hong Kong. Begitu juga kepulauan Spratly. China berdiri teguh dengan semangat 1China. Semangat 1China ini begitu kuat mengikat, sebab tidak akan wujud 2China sampai bila-bila.
Inilah faktor utama kejayaan mereka. Ekonomi memang penting, tetapi mesti didahului dengan semangat patriotisme dengan mengutamakan agenda nasional. Bila saya bercakap sebegini, ramai yang menuduh saya membuat serangan atau menanam kebencian terhadap orang Cina. Terus-terang, tidak ada niat langsung kerana saya sendiri dan keturunan saya adalah Cina. Saya cuma menyeru agar kita menyahut sama agenda kebangsaan.
Misalnya, bagaimana kita boleh mengatasi masalah buta bahasa kebangsaan yang menjadi agenda utama pembinaan negara? Mengikut kajian, hasil produk SJKC, satu daripada empat pelajarnya akan tercicir kerana tidak dapat menguasai Bahasa Melayu. Setakat ini terdapat 1,293 SJKC, 78 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). Ini tidak termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina. Kebanyakan orang Cina memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pengajian seterusnya kerana sudah tidak ada pilihan. Jika SMJKC sama banyak bilangan seperti SJKC, sudah tentu aliran SMK bukanlah lagi pilihan.
Terbaru, timbul pula cadangan supaya kelas peralihan (remove class) di SMK dirombak dan diberi penambahbaikan kecinaan.
Apabila ada cadangan supaya diwujudkan kelas peralihan di SJKC bagi mereka yang gagal Bahasa Melayu tahun enam, mereka cukup menentang atas alasan tidak cukup guru dan prasarana. Pada saya, yang perlu dikaji semula bukan kelas sistem peralihan sekolah menengah, tetapi proses P&P di SJKC. Pastikan semua gurunya mesti pandai menguasai Bahasa Melayu ketika mengajar apa jua subjek dalam bahasa Cina.
Katakan jika kerajaan terpaksa lagi tunduk dengan tuntutan ultra kiasu untuk mencinakan kelas peralihan, apakah jaminan selepas ini pelajar lepasan SJKC tidak akan tercicir lagi? Pada saya, hantarlah sebanyak mana pun guru yang boleh berbahasa Mandarin untuk mengajar apa jua subjek yang memerlukan terjemahan, sama ada di SJKC atau di SMK, selagi sikap tidak berubah dan semangat patriotisme tidak ada, selagi itulah kita akan dibelenggu dengan masalah sama.
Pelajar Melayu pun ramai yang tercicir di sekolah menengah, kenapa perkara ini tidak diperjuangkan oleh kita semua? Inilah fenomena biasa akan berlaku selagi patriotisme tidak menjadi teras. Isteri saya mengajar di kelas peralihan, masalahnya tidak ada seorang pun boleh menguasai Bahasa Melayu mudah. Mengajar mereka seperti mengajar bayi yang baru membesar. Pelajar ini tidak boleh disalahkan, sistem yang menjadikan mereka sedemikian.
Biarlah kita bersama ketika senang dan susah. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Hidup mati bersama mempertahankan negara. Saya amat bimbang jika ada pemikiran dalam bahasa Hokkien seperti yang pernah dibisikkan oleh ultra kiasu yang berbunyi huan na ceng ko, teng lang cau lo, bermaksud pastikan Melayu terus mundur, orang Cina mesti ke hadapan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment