Friday, April 6, 2012

Kuchingku Sayang


Alhamdulillah setelah berpusing-pusing mencari jalan ke Petra Jaya, akhirnya kami menemui jalan ke Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, di Jalan Diplomatik off Jalan Bako, Petra Jaya, Kuching. Berpeluh juga dibuatnya, kerana pertama kali memandu kereta tanpa panduan daripada orang tempatan Kuching,semua yang ada dalam kereta pertama kali sampai di Kuching, kecuali saya.  Jalan penuh sesak, kerana waktu bersekolah dan waktu untuk ke pejabat. Setelah menempuh tiga bulantan akhirnya kami sampailah di JKNS. Bangunannya masih baru digunakan. Sebelum ini JKS terletak di hadapan Hospital Umum Kuching.

Beginilah keadaannya apabila kita hidup tanpa pandu arah, petunjuk atau bimbingan daripada Yang Maha Mengetahui sudah pasti kehidupan kita akan sesat. Sesat bermakna tidak sampai ke tempat yang dituju ataupun tersalah tuju. Itulah sebabnya Allah swt turunkan Al Quran, para rasul, para nabi dan seterusnya para ulama sebagai pewaris nabi. Tujuannya untuk memberi bimbingan dan petunjuk kepada manusia supaya tidak sesat, tahu matlamat dan tahu hala tuju dalam hidup ini.

Lebih kurang jam 9.00 pagi kami sampai di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. Dari jauh kelihatan ramai wanita berpakaian putih seragam. Ini pastilah jururawat yang datang untuk melapor diri. Hati masing-masing berdebar-debar untuk mengetahui ke mana agaknya mereka semua akan ditugaskan. Maklum sajalah negeri Sarawak ini keluasannya hampir sama dengan Semenanjung Tanah Melayu.


Bersama anak saya Syed Muhd Naquib, tiga orang lagi rakan sekolejnya turut dihantar ke Sarawak. Semuanya juru xray U29. Setelah masuk ke bahagian perkhidmatan, air muka Naquib dan rakan-rakanya nampak berseri kerana mereka seramai 9 orang (4 orang daripada MAHSA Kolej)  ditempatkan di Pusat Jantung, Hospital Umum Kuching di Jalan Kota Samarahan, Sarawak. Selepas itu mereka mengisi macam-macam borang maklumat diri dan peribadi.

Sambil menunggu mereka, sempat juga saya melihat sekitar kawasan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang masih baru dan agak canggih reka bentuknya.

Setelah jam 9.45 pagi semua juru xray tersebut telah menyerahkan borang maklumat diri dan mereka diminta pula melaporkan diri ke Hospital Umum Sarawak di Kuching, untuk mendengar arahan seterusnya.

Kemudian kami berlima menuju ke Bandaraya Kuching, waktu ini jalan tidak sesibuk sewaktu kami menuju ke Petra Jaya pagi tadi. Jalannya luas, tiga jalur bagi satu laluan. Hati saya dan juga budak-budak 4 orang ini nampak kegembiraan, terselamatlah mereka daripada dibuang jauh ke pendalaman!

Mencari Hospital Umum Kuching tidaklah sepayah mencari Jabatan Kesihatan. Bangunannya setinggi 6 atau 7 tingkat, tak pasti tetapi tidak jauh daripada pusat Bandar Kuching. Kebetulan tiga daripada rakan anak saya telah dibawa oleh rakan mereka semalam untuk meninjau lebih dahulu.

Hospital Umum Kuching memang besar dan sibuk. Nak parking keretapun tak boleh dalam kawasan hospital. Terpaksalah saya parking berbayar di luar kawasan hospital. Naquib dan rakan-rakannya terus menuju Bahagian Pentadbiran tingkat dua. Manakala saya merayau-rayau dalam bangunan hospital yang kelihatan sibuk dengan pekerja dan pesakit. Hati saya terasa lapang, kerana selepas ini mereka akan ke Pusat Jantung di Jalan Kota Samarahan iaitu menghala ke UNIMAS. Disana rumah banyak untuk disewa dan lebih murah berbanding di Bandar Kuching ini. Fikir saya.

Lebih kurang jam 1.00 petang Naquib menelepon saya utuk keluar rehat. Maklumat terkini yang mereka terima daripada Ketua Jabatan xray ialah kesemua mereka ditempatkan di Hospital Umum Kuching, tak perlu ke Pusat Jantung. Yahoo! Kegembiranaan, tetapi satu lagi masalah utama yang perlu difikirkan ialah mencari rumah yang hampir dengan hospital. Ini satu lagi masalah besar, sebab kawasan sekitar hosipital ialah kawasan perumahan orang China dan harganya agak mahal.

Balik berehat di Homestay River View Kampung No. 2, Bandarshah, Kuching. Selepas makan tengah hari dan solat zohor saya menghantar semula mereka ke Hospital. Kemudian saya terus memandu tanpa tujuan tetapi sentiasa memerhati kawasan perumahan, mana tahu mungkin ada rumah untuk disewa. Puas berpusing tetapi tak jumpapun rumah untuk disewa. Akhirnya saya balik ke homestay untuk berehat.

Malam kedua saya solat maghrib di Surau Bandarshah, Kg. No.2. Malam itu ada kuliah agama disampaikan oleh Ustaz yang baru balik daripada membawa jemaah daripada Sarawak menunaikan umrah. Seronok juga mendengar kuliah daripada Ustaz yang berasal dari Melaka ini. Berkisar kisah jemaah mereka yang terpaksa balik lewat lebih daripada 5 hari kerana ketinggalan kapalterbang, tetapi dapat tinggal di Mekah lebih 5 hari daripada yang dijadualkan. Beliau mengulas apa yang tersirat daripada yang tersurat. Seorang jemaahnya meninggal dunia di Mekah dan dikebumikan di perkuburan Ma’la, Tanah kubur yang bukan semua jenazah boleh dikebumikan, tetapi rezeki jemaahnya yang sangat suka bersedekah dan baik hati. Jenazahnya seperti orang tidur dan disembahyangkan di Masjidil Haram kemudian dikebumikan di Ma’la. Itu hanya mukaddimahnya ceramahnya.

Apa yang diulasnya malam itu ialah berkaitan rumah tangga yang diberkati. Penekanan soal mengadakan majlis yang tidak bercanggah dengan syariat sebagai syarat menjamin kerukunan rumahtangga. Mengikut Ustaz itu di Sarawak daripada 200 perkahwinan hampir 50 pasangan bercerai pada tahun 2011. Bermakna 25% perkahwinan berakhir dengan perceraiaan.

Pada hari ketiga berada di Kuching, setelah menghantar Naquib dan rakannya saya terus ke apartment ChongLin Plaza, Green Road, Kuching, untuk membayar cengkeram sewa sebanyak RM2000.00. Sewa satu unit apartment RM750.00 sebulan. Apratment tersebut punyai 3 bilik di tingkat 4. Tiada perabot, kosong, tetapi bersih dan ramai kakitangan Hospital Kuching menginap disitu. Alhamdulillah kerana akhirnya dapat juga 9 orang juruxray dari Semenanjung boleh duduk dalam satu rumah. Jadi bayaran sewa tentulah tak mahal. Mungkin sekitar RM100.00 seorang untuk satu bulan.

Apartment ini ditunjukkan oleh menantu Tuan punya Homestay Riverview yang bertugas di Hospital Kuching. Beliau berasal dari Melaka. Pada petang hari pertama saya sampai, setelah balik dari kerja, beliau membawa saya dan Naquib untuk mencari rumah sewa, kemudian akhirnya ke Aprtment Chonglin Paza sebagai pilihan terakhir.

Saya rasa bersyukur kepada Allah, sepanjang berada di Kuching, saya diketemukan dengan manusia-manusia yang baik hati. Puan Hasiah dan suaminya pemilik Riverview Homestay sangat prihatin dan banyak membantu saya untuk mendapatkan rumah sewa di Kuching. Suaminya bekas kakitangan Jabatan Hutan dan telah lebih 10 tahun bersara. Beliau pengerusi Surau Bandarsah yang sangat hampir dengan homestay tempat saya menginap. Homestay Riverview ini sangat selesa dan tepi Sungai Sarawak, waktu pagi dan malam saya duduk di luar rumah memerhatikan pesisiran Sungai  Sarawak dengan pandangan Masjid Kg. Masjid serta hotel di tepi Sungai Sarawak.

Malam pertama berada di Kuching, Dr Wan Ali iatu sahabat Tuan Haji Lokman Hamid, dari Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, mengambil kami dan membawa kami ke Petra Jaya untuk melihat rumah adiknya yang lengkap dengan perabot serta dilengkapi dengan aircondition. Rumah semi d dua tingkat. Jika sembilan orang mampu duduk, tetapi sewa RM1.200.00. Kemudian kami dibawa melihat Istana TYT Sarawak, bangunan dewan undangan yang baru, seterusnya ke rumah beliau yang lama yang dijadikan tempat rawatan pesakit apabila Haji Lokman datang ke Kuching setiap bulan.

Akhirnya kami dibawa makan malam nasi ayam pecet di tepi sungai seberang Riverside Hotel iaitu berhampiran penambang tempat orang Semenanjung datang melawat dan melihat secara dekat perusahaan membuat kek lapis. Makan nasi ayam pecet dan ikan goreng yang menyelerakan. Kemudian kami dihantar pulang.

Dr Wan Ali, sebenarnya dari keturunan ahlibait, anak cucu Rasulullah saw, dari keturunan Al Idrus. Saya dari keturunan Al Attas. Seronok berbual dengan beliau yang begitu mesra, walaupun untuk pertama kali bertemu. Isteri beliau, Puan Juita waktu itu berada di Kuala Lumpur menghadiri kursus pengendalian tadika anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dr Wan Ali mempunyai klinik sendiri yang tidak jauh dari tempat saya menginap. Beliau sedang mengikuti kursus di Hospital Kuching bagi melayakkan dirinya untuk membuka klinik mencuci buah pinggang.

Saya rasa bersyukur kepada Allah, walaupun pertama kali datang sendiri ke Kuching, banyak kemudahan yang diberikan oleh Allah kepada saya. Berjumpa dengan orang-orang yang baik hati, dapat solat berjemaah di Surau Bandarsah, dipermudahkan mendapat rumah sewa dan dapat membelikan sebuah motorsikal kepada Naquib secara ansuran, untuk kemudahannya ke tempat kerja serta lain-lain urusan.

Kesimpulan

Banyak perkara yang berlaku diluar perancangan kita. Saya tidak terfikir Naquib akan ditempatkan di Sarawak, kerana sebelum dia posting saya telah meminta pertolongan seorang hamba Allah tetapi berlaku salah faham, dia hanya menanti nama anak saya sampai ke Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Walhal sepatutnya dia berhubung dengan ibu pejabat Kesihatan di Putrajaya. Akhirnya anak saya diposting ke Sarawak. 

Apa boleh buat, skrip hidup kita dan jalan cerita hidup kita ini, ada Pengarah yang lebih besar iaitu Allah swt. Yang menetapkan segala-galanya, Saya redha dan bersykur dengan ketetapan dari Allah swt. Kita meracang tetapi Rancangan Allah lagi hebat.

Apa yang saya fikirkan ialah, ketetapan ini ada hikmah yang tersembunyi yang perlu saya terokai untuk melihat kebaikannya.

Pertama, bumi Allah ini luas, walau dimana kita berada, kita perlu sentiasa ingat dan patuh kepada perintah Allah, tuan punyai dunia ini.

Kedua, jangan bergantung harap kepada manusia, tetapi bergantunglah kepada Allah Yang Maha Kaya, Dialah pemilik hakiki segala-galanya.

Ketiga, Lihatlah apa yang berlaku kepada kita dengan kacamata yang jernih / putih, bukan dengan kacamata yang hitam atau gelap. Think positive. Bila kita berfikir secara positif, segala tindak tanduk, perkataan dan perbuatan kita akan jadi positif. Tetapi jika berfikir secara negatif, apa yang berlaku akan dilihat seolah-oleh tidak patut berlaku. Lantas pemikiran, pertuturan, tindakan akan jadi negatif. Akhirnya kita jadi stress dan mudah diserang pelbagai penyakit. Terutamanya Darah Tinggi.

Keempat, bila ditempatkan di tempat baru, maka kita akan berjumpa dengan orang yang tak pernah kita ketemu sebelum ini. Maka gunakanlah kemahiran berkomunikasi dengan betul dan beradab, merendah diri, InsyaAllah, mereka akan mudah membantu. Senyum selalu dan mudah menegur. Jangan sombong diri, seperti kera sumbang. Belajarnya menghormati orang lain, sebelum orang lain mahu menghormati kita. Tidak hilang bisa ular yang menyusur akar.

Kelima, sentiasa memanjatkan doa agar Allah permudahkan segala urusan kita. Hampirkan diri dengan rumah Allah walau dimana kita berada.Di situ kita akan ketemu ramai manusia yang mungkin terbuka pintu hatinya untuk membantu. Yang penting, tegur sapalah mereka, hormati mereka dan bertanya kahbarlah dengan mereka, InsyaAllah mereka mudah membantu.

Dan banyaklah iktibar yang boleh kita garap daripada satu-satu peristiwa yang berlaku kepada kita. Yang pentingnya lihatlah dari kacamata kebesaran dan keagungan Allah. Sentiasa bersyukur diatas apa sahaja yang menimpa kita, samaada yang kita suka atau kita tak suka.

Hidup ini banyak perkara yang tidak dijangka akan berlaku. Contohnya, MB Terengganu sekarang, kalau ditanya, pernahkah dia terfikir akan jadi MB Trg, tentu dia kata tak pernah terfikirpun.

Siapa sangka Anwar Ibrahim akan terlepas dari dakwaan kes liwatnya yang kedua. Siapa sangka Selangor negeri yang kaya jatuh ke tangan pembangkang PKR. Siapa sangka  Nizar hanya jadi MB Perak tak sampai setahun.

Dan banyak lagi perkara dalam hidup kita yang tidak kita sangka. Tetapi yang pentingnya kita harus sedar, bahawa kita ibarat pelakon yang punyai Pengarah yang akan menentukan jalan cerita dan skrip untuk kita lakonkan. Jangan jadi pelakon yang sombong dan bongkak, lain yang diarahkan lain pula yang dilakonkan. Kalau begitu keadaannya, tak lamalah hayat kita. Wallah hu alam.

4 comments:

  1. Salam..sya bkal mgmbil pos basik dkuching prtgahan bulan 7 ni.. N akn mnjlani praktikal d hosp.umum sarawak.. Sya dah booking apartment kat chonglin tu.. Tak jauh juga ke kalo bjlan kaki ke hosptal.. N tak bhaya ke? Tq

    ReplyDelete
  2. Salam,.cikgu syed, saya alya hamzah dari kuala lumpur.
    Harap cikgu sihat, selamat berpuasa saya ucapkan.
    Saya kebetulan singgahdi blog cikgu sewaktu sedang mencari iklanrumah sewa di kuching.
    Alhamdulillah, syukur dapat banyak manfaat membaca tulisan cikgu.

    Tujuan saya menulis adalah untuk bertanya sekiranya cikgu syed boleh beri saya nombor kontek bagi dr wan ali.
    Saya dan suami insya allah akan ditugaskan ke hospital umum bermula jan 2013.Saya berminat untuk mengetahui sekiranya rumah adik kepada dr wan ali dapat kami sewa.

    Harap cikgu dapat menghulurkan pertolongan kepada kami.

    Terima kasih sekali lagi di atas penulisan cikgu yg penuh dgn tazkirah dan nasihat.
    Insya allah blog ini akan saya kunjungi lagi.

    ReplyDelete
  3. boleh saya tahu tak di manakan masjid atau surau terdekat dengan chonglin plaza ini???

    ReplyDelete
  4. hotel terdekat dengan jkns please...

    ReplyDelete