Thursday, January 07, 2010
بسم الله الرحمن الرحيم
Sebelum mendirikan solat kita diperintah membersih badan, pakaian, makan minum dan tempat solat. Falsafahnya supaya kita sentiasa berada di dalam kebersihan, zahir dan batin. Bagaimana kita menghadap Allah nanti sedang perut kita penuh dengan makanan yang haram. Sabda Rasulullah s.a.w "Kebersihan itu sebahagian daripada iman"
Ketika mendirikan solat samada bersendirian atau berjema'ah dimestikan menghadap kiblat. Falsafahnya mesti sekata dalam menuju cita-cita berpandukan al-Quran dan al-Hadith. Firman Allah SWT, "Islam itulah agama yang ku redhai untuk kamu semua" (QS al-Maidah 5:3)
Ketika tegak menghadap kiblat kita diperintah membulatkan keyakinan kita kepada Allah SWT. Pada ketika itu kita dikehendaki membersih jiwa dan ingatan kita tidak kepada yang lain selain daripada Allah. Begitu juga ketika dalam solat hanya Allah sahaja yang mesti diingatkan dengan khusuk. Falsafahnya ialah kita hendaklah membulat tekad dan keyakinan dalam menghadapi satu-satu urusan dengan segala kesungguhan.
Kita hendaklah bersedia, awas dan waspada dengan waktu solat. Bila masuk waktunya tunaikan segera tuntutan solat. Falsafahnya ialah kita mesti sentiasa berdisiplin kepada waktu dalam tiap-tiap urusan. Nabi Muhammad saw memperingatkan kita supaya memenuhi lima masa sebelum tiba lima waktu yang lain: Masa hidup sebelum tiba waktu mati. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa senang sebelum tiba masa papa.
Orang Islam dituntut mendirikan solat jemaah kerana ia merupakan syiar Islam. Dan pahalanya melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh derajat. Di sebalik sekian banyak fadhilatnya ia mengandungi beberapa falsafah iaitu bertaaruf, bermahabbah, bertakaful (saling bantu membantu).
Yang dimaksudkan dengan solat jamaah dari segi hukum syarak ialah ujudnya ikatan dan pertalian di antara imam dan makmum. Oleh yang demikian solat jamaah terhasil dengan adanya seorang imam dan seorang makmum. Imam sebagai ketua, memegang pimpinan solat berjemaah. Manakala makmum yang dibelakang imam (menerima pimpinan imam). Falsafahnya ialah supaya orang Islam sentiasa berjamaah.
Imam sebagai ketua dan pemimpin dalam solat jemaah. Para makmum wajib patuh kepada pimpinan imam. Sabda Rasulullah s.a.w, "Sesungguhnya dijadikan imam itu sebagai ikutan, maka oleh sebab itu janganlah kamu menyalahi perbuatannya, maka bila dia bertakbir, maka takbirlah engkau, dan bila dia rukuk, maka rukuklah engkau dan bila dia mengatakan, "Sami'Allahu limanhamidah, maka katalah oleh mu, "Rabbana lakalhamdu" dan bila dia sujud, maka sujudlah kamu" (H.R.Bukhari dan Muslim). Falsafahnya ialah perlu dilantik seorang amir/seorang pemimpin di kalangan orang Islam.
Imam diperingatkan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya, "Apabila salah seorang di antara kamu menjadi imam, maka hendaklah diringkaskan solatnya kerana manusia itu ada yang tua, yang kecil, yang lemah dan ada yang mempunyai keperluan lain. Dan apabila kamu solat bersendirian, maka bolehlah dia memanjangkan solatnya sekehendaknya." (H.R.Bukhari dan Muslim) Falsafahnya ialah sebagai seorang pemimpin hendaklah mengambil tahu keadaan nasib rakyat. Rakyat tidak semuanya senang bahkan ada yang susah dan terlantar hidupnya. Makanya hendaklah pemimpin menjaga dan mengurus, memberi kemakmuran dalam negara dan kesenangan kepada rakyat.
Jika makmum mendapati imam melakukan kesalahan dia tidak boleh ditegur dengan bahasa manusia. Sebaliknya hendaklah ditegur dengan tasbih atau dengan menepuk tangan. Sabda Rasulullah s.a.w, "Subhanallah itu untuk lelaki, sedang bertepuk tangan untuk perempuan" (H.R. Jama'ah). Falsafahnya ialah memberi peringatan kepada masyarakat, apabila terdapat kesalahan pemimpin, rakyat berkewajipan menegur demi kebaikan bersama tetapi hendaklah dengan berhikmah.
Kita di tuntut melakukan thumakninah dalam solat. Thumakninah ialah berhenti sebentar ketika rukuk, iktidal, dan ketika sujud. Ia salah satu rukun solat. (Mafhum daripada hadis riwayat Bukhari). Falsafahnya ialah supaya kita sentiasa bertenang dan bersabar dalam menghadapi sesuatu pekerjaan atau perjuangan, tidak boleh terburu-buru kerana terburu-buru itu datangnya dari syaitan.
Solat ubat yang mujarrab bagi mengatasi tekanan hidup dan mencapai kejayaan. Firman Allah SWT, "Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusuk." (S: al-Baqarah:2:45)
Sujud salah satu rukun fi'li dalam solat. Wajib sujud dengan tujuh anggota iaitu dahi, dua tangan, kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua hujung kaki. Falsafahnya dari segi saikologi, merendah diri di hadapan Allah, mengikis sifat sombong. Dari segi perubatan, melegakan sistem pernafasan dan menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika sujud dan bangun daripada sujud.
Imam hendaklah memberitahu makmum supaya menegap dan meluruskan saf kerana membetulkan saf adalah sebahagian daripada peraturan solat, menyatukan hati, Allah mengangkat satu darjat orang yang mencelah saf yang kosong, mengurniakan pahala dan mengampunkan dosanya. Falsafahnya supaya umat Islam bersatu padu dalam satu barisan
Setiap waktu solat telah ditetapkan. Firman Allah " Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman" (S:an-Nisak:4:103) Falsafahnya untuk mempastikan bahawa tidak ada pelanggaran hukum dilakukan di antara dua waktu, menghindarkan dari sifat jemu dan memberatkan.
Adanya pembahagian waktu solat falsafahnya ialah supaya kita terus menerus mendapat bekalan baru dari Allah swt. Dan mudah pula melakukannya supaya kita tidak putus bekalan pada setiap waktu dan suasana, di kala dalam aman damai, ketika dalam perjalanan, di waktu sihat maupun di waktu sakit.
Duduk tasyahhud, lalu mengucap salam kepada Rasulullah saw dan kepada diri kita sendiri, kemudian salam kepada seluruh para salihin dan diikuti pula dengan ucapan dua kalimah syahadah memperlihatkan betapa agongnya dan kudusnya suasana ketika dalam solat di mana pada ketika itu kita duduk bersimpuh di hadapan Allah dan Rasulnya dengan dikelilingi pula oleh para salihin. Falsafahnya supaya suasana ketenangan dan ketertiban solat dihayati dalam menempuh kehidupan harian kita.
Penjadualan waktu solat bermula dengan waktu subuh di awal pagi, zuhur di tengah hari, asar di petang hari, maghrib di kala senja dan isya di malam hari. Falsafahnya waktu solat boleh dianggap sebagai fasa kehidupan di mana manusia melalui lima peringat umur sebagai bayi, (subuh) kanak-kanak, (zohor) remaja, (asar) dewasa (maghrib) dan orang tua (isya). Kelahiran dimulakan dengan subuh dan berakhir dengan isyak yang diikuti dengan tidur yang melambangkan saat kematian sebelum dibangunkan semula.
Tertib merupakan rukun solat yang ke-13 atau yang terakhir. Tertib ialah dahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian. Walaupun tertib merupakan rukun terakhir, peraturan tertib berkuatkuasa dari awal sehingga akhir solat. Falsafahnya kerja dan kegiatan mesti disusun mengikut urutannya dengan mendahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian.
Imam hendaklah memberitahu makmum supaya menegapkan dan meluruskan saf kerana ianya sebahagian daripada peraturan solat, menyatukan hati, mengangkat satu darjat orang yang memenuhi saf yang kosong serta mendapat pahala yang besar. Saf yang kosong dicelahi oleh syaitan. Falsafahnya supaya orang Islam bersatu padu dalam satu barisan
Hikmat berbezanya bilangan raka'at dalam solat berfungsi menyeimbangkan ion-ion dalam tubuh kita dan menyebabkan seorang Prof. Fizik di Amerika masuk Islam.
Setiap kali bangun dari tidur badan kita berasa segar setelah berehat beberapa jam kerana badan kita ketika itu mengandungi ion-ion postitif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh kerana itu memerlukan sedikit lagi proses pertukaran ion agar kesimbangan penuh dapat dicapai. Oleh sebab itu solat subuh didirikan 2 raka'at.
Setelah bekerja kuat ion kembali tidak stabil kerana tubuh kehilangan ion lebih banyak. Oleh itu kita memerlukan lebih banyak pertukaran ion, maka untuk memulihkan keseimbangan ion-ion tersebut maka solat zuhur dikerjakan 4 raka'at
Situasi yang sama turut berlaku di waktu petang. Kerana banyak tenaga telah dikeluarkan maka sekali lagi kita kehilangan ion yang banyak sebagaimana solat zuhur maka 4 raka'at solat asar akan memberikan ruang kepada proses pertukaran ion dengan lebih lama.
Selepas waktu 'asar dan pulang dari kerja tidak banyak kerja-kerja yang memerlukan tenaga dan waktu juga tidak banyak diperlukan maka solat maghrib hanya dikerjakan 3 raka'at adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.
Mengapa Allah mensyariatkan solat Isya' 4 raka'at padahal tenaga waktu itu tidak banyak diperlukan. Tetapi kita harus ingat kita digalakkan mendirikan qiyamul lailill sepertiga malam maka untuk menstabilkan ion badan maka solat isya' dikerjakan 4 raka'at akan menstabilkan ion dalam badan.
Bernafas ketika sujud boleh: Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya, membetulkan pundi peranakan yang jatuh, melegakan sakit burut, mengurangkan sakit senggugut ketika haid, melegakan paru-paru daripada ketegangan, mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks.
Sujud salah satu rukun fi'li solat. Wajib sujud dengan tujuh anggota iaitu dahi, dua lutut, dua tapak tangan dan dua hujong jari. Falsafahnya dari segi saikologi, merendah diri di hadapan Allah dan mengikiskan sifat sombong.
Dari segi perubatan; menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika sujud dan bangun daripada sujud menjadikannya lebih kuat, melancarkan perjalanan darah, mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh, organ otak menerima banyak bekalan darah dan oksigen dan lain-lain lagi.
Sekian, moga ada manfaat.
Mencari ilmu lebih utama daripada menunaikan ibadah solat sunnah - Imam As-syafiee
Takda kenyataan falsafah awmasa sujud...apa ye?
ReplyDeleteMaaf...takda kenyataan falsafah semasa ruku'...apa falsafahnya?
ReplyDeleteapa hubungan falsafah solat dengan jati diri muslim
ReplyDelete