Semalam waktu Maghrib, Ustaz Rashid membaca beberapa potong hadist berkaitan dengan Hari Kiamat. Panjang huraiannya, Cuma yang saya sangat teringatkan ialah satu kisah yang menarik yang disampaikan oleh Ustaz Rashid untuk dikongsikan bersama pagi ini ialah kisah seorang pemuda yang bertaubat daripada kerja mencuri.
Suatu hari dalam masjid Madinah, Baginda Rasulullah saw memberi tazkirah berkaitan dengan menghindarkan diri daripada benda yang haram, maka Allah akan permudahkan untuk mendapat yang halal.
Dalam masjid tersebut terdapat seorang pemuda yang sudah menyesal dan mahu bertaubat daripada kerjayanya yang suka mencuri. Lantas pada malam itu beliau bersolat taubat, berzikir dan memohon keampunan daripada Allah. Apabila waktu sudah lewat tengah malam, dia terasa lapar yang amat sangat. Akhirnya dia keluar dari masjid dengan tujuan untuk mencuri makanan. Kebetulan dia berjumpa sebuah rumah lalu menceroboh masuk ke dapur rumah tersebut. Apabila dia menyelongkar dapur tersebut didapatinya ada makanan, tetapi apabila dia ingin memakannya, tiba-tiba dia teringat pesanan Rasulullah saw supaya menghindarkan benda yang haram, lalu dia meninggalkan makanan tersebut dan terus masuk ke ruang tamu, didapati ada barang kemas, mula-mula hatinya ingin mengambilnya tetapi dia teringat pesanan Rasulullah saw. Niatnya dibatalkan.
Kemudian dilihatnya pintu bilik terbuka dan terdapat seorang wanita yang cantik sedang tidur keseorangan. Terdetik dihatinya untuk melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap wanita tersebut, tetapi apabila teringatkan pesanan Nabi saw supaya menghindakan yang haram, lalu dia meninggalkan rumah sihamba Allah tersebut tanpa mengambil sesuatu pun.
Keesokan harinya wanita tuan punya rumah tersebut perasan bahawa rumahnya dimasuki orang, tetapi tiada apa-apa yang hilang. Dengan perasaan risau dan bimbang lantas wanita tersebut menuju ke masjid untuk bertemu Rasulullah saw. Dalam pertemuan tersebut wanita itu meluahkan kebimbangannya kepada Rasulullah saw dan meminta dicarikan seorang suami untuk menjaga keselamatannya.
Kebetulan waktu itu pemuda tersebut ada sedang duduk dalam masjid tersebut. Baginda memanggil beliau dan bertanyakan dia berasal dari mana dan apa pekerjaannya. Pemuda tersebut memberitahu bahawa dia baru datang ke Madinah, isterinya telah meninggal dunia dan dia tiada tempat tinggal serta tiada pekerjaan.
Rasulullah saw bertanya pemuda tersebut samaada ingin bernikah dengan wanita tersebut, dia bersetuju dan wanita tersebut juga bersetuju. Diringkaskan cerita, beberapa ketika kemudiaan pemuda tersebut datang menemui Rasulullah saw dalam keadaan menangis teresak-esak. Pemuda tersebut kesal dan insaf setelah sampai di rumah wanita yang baru dikahwininya, dia terkejut kerana itulah rumah yang dia ceroboh malam tadi.
Lantas Rasulullah saw mengingatkan lagi pesannya ”SEKIRANYA KITA MENGHINDARKAN DIRI KITA DARIPADA YANG HARAM, ALLAH AKAN PERMUDAHKAN KITA UNTUK MENDAPAT BENDA YANG HALAL”
Kisah ini patut dijadikan iktibar kepada kita semua, agar menghindarkan diri kita daripada mengambil sesuatu yang bukan hak kita. Kalau kita makan gaji pastikan gaji yang kita terima benar-benar bersih, waktu bekerja yang cukup, tidak ponteng, tidak buang masa bersembang di kedai-kedai kopi, ataupun buat kerja sampingan lebih diutamakan daripada kerja wajib. Dibimbangi hasil pendapatan tersebut akan menjadi darah daging anak-anak dan isteri kita. Bila keadaan ini terjadi, kemungkinan besar pelbagai masalah bakal dihadapi. Anak-anak akan menjadi degil, susah mendengar kata, rumah tangga sentiasa tidak tenteram, macam-macam masalah baka dihadapi.
Kita terlalu sensitif dengan makanan yang Haram, tetapi tidak peka terhadap hasil pendapatan yang diperolehi yang tidak setimpal dengan kerja buat kita. Hati-hatilah, kerana setiap daging yang terjadi daripada sumber yang haram, layaklah dia untuk bakaran api neraka. Akhir sekali marilah kita renungi 3 soalan utama di Padang Mahsyar;
Tentang UMUR bagaimana kita menghabiskannya???
sepanjang mana umur kita maka sepanjang tempoh itulah kita akan ditanya
samada kita telah memanfaatkan umur kita atau kita banyak membazirkannya
dengan perkara2 kurang manfaatnya. Berapa banyak amal kebajikan kita, ibadat kita atau maksiat kita lakukan.
Tentang HARTA ke mana kita sumbangkannya???
sebanyak mana harta yang kita kumpulkan maka sebanyak itulah nanti yang
akan diperiksa dan dianalisis untuk mengetahui samada kita telah benar2
memanfaatkan harta kita pada jalanNYA atau kita hanya bazirkannya pada
perkara2 kurang berfaedah. Banyak mana sumbangan harta kita kepada perjuangan Islam atau hanya pembaziran semata-mata.
Tentang ILMUmu sejauh mana kita amalkan dan sebarkannya???
Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah, jika kita hanya menyimpan ilmu tanpa ingin untuk luaskannya maka tunggulah balasan dariNYA kerana orang yang berilmu mempunyai pilihan samada nanti dia akan dimasukkan ke Neraka atau ke Syurga disebabkan oleh ilmunya.
Wallah hualam.
No comments:
Post a Comment