Published by Hj. Lokman under Perubatan,Perubatan di Kuala Terengganu
Sesungguhnya iman itu terdiri atas dua bahagian: sebahagian yang pertama itu ialah sabar dan sebahagian yang kedua itu ialah syukur. Keduanya ini merupakan dua sifat dari sifat-sifat Allah Ta’ala dan dua nama dari al-asmaa-ul-husnaa, dimana Dia menamakan Diri-Nya dengan nama ash-Shabuur dan asy-Syakuur.Allah berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu, akan disempurnakan pahalanya dengan tiada terhitung “ – Surah Az-Zumaar, ayat 10
“Hendaklah kamu bersabar, sesungguhnya Allah itu bersama orang-orang yang sabar” – Surah Al-Anfaal, ayat 46
“Apa yang di sisi kamu itu akan hilang dan apa yang di sisi Allah itu yang kekal. Dan akan Kami berikan kepada orang-orang yang sabar itu pembalasan, menurut yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya” – Surah An-Nahl, Ayat 96
Hadith Nabi saw bersabda - “Sabar itu separuh iman”
Ali r.a berkata pula – “Sabar itu dari iman, adalah seperti kedudukan kepala dari tubuh. Tidak ada tubuh bagi orang yang tidak mempunyai kapala. Dan tidak ada iman, bagi orang yang tiada mempunyai kesabaran”
Dalam menjalani perubatan selama lebih 10 tahun, banyak pengalaman yang saya hadapi dan kebanyakan pengalaman ini kadang-kadang menguji kesabaran saya. Lebih banyak saya mengubat pesakit, lebih banyak kerenah manusia saya ketemui dan makin meningkat kesabaran saya, insyaallah.
Seorang perawat atau pengamal Perubatan Islam mesti mempunyai sifat kesabaran dan sifat toleransi yang tinggi. Terutama sekali apabila merawat pesakit yang dirasuk jin atau iblis. Pernah saya dipukul, diludah, diberi kata-kata yang menghina saya, difitnah, dimaki-hamun dan banyak lagi perbuatan-perbuatan dari pesakit-pesakit yang boleh menyakitkan hati. Kalau tidak ada sifat kesabaran yang tinggi, sudah lama saya meninggalkan amalan perubatan ini.
Bayangkan selepas satu hari suntuk berkerja di pejabat dari jam 8.30 pagi hingga lewat 6 petang, pulang ke rumah untuk seketika, jam 9 malam saya sudah mula mengubat di klinik saya sehingga jam 3 atau 4 pagi. Setiap malam dari hari Isnin malam hingga Khamis malam di Klinik Gombak saya, tidak kurang dari 50 pesakit mengunjungi klinik saya. Kadang-kadang bila badan sudah terlalu penat dan letih, ini memang menduga tahap kesabaran untuk meneruskan perubatan hingga ke jam 3 atau 4 pagi. Satu malam saya tidur hanya 3 atau 4 jam sahaja
Selalunya pada hari Jumaat malam saya dan adik angkat saya Ashraf Muslim akan pergi ke klinik kami di luar kawasan Kuala Lumpur menaiki kapal terbang atau menaiki kereta. Kami akan pergi mengubat di tempat-tempat seperti Kuala Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Dugaan kami selalunya adalah flight delay dan kesesakan lalu lintas menuju ke Lapangan Terbang. Kalau tidak ada kesabaran, memang kami patah balik kerumah dan berada bersama keluarga.
Mengapa saya menulis perihal ini adalah supaya pesakit-pesakit yang datang untuk berubat dapat memahami keadaan kami yang sebenarnya. Kami terima banyak aduan dari pesakit-pesakit tentang waktu menunggu yang sungguh lama dan ada yang tidak sabar menunggu hingga balik tanpa mendapat rawatan. Selalunya bila kami mengubat, kerana kesuntukan masa, jarang sekali kami dapat bertanya khabar dengan pesakit. Soalan yang sugguh “standard” yang kami akan tanya kepada setiap pesakit ialah “Nama siapa?” dan “Sakit apa?”. Kami faham kalau kami memberi banyak masa yang lama pada seorang pesakit, ia akan memberi “snowball effect” dimana pesakit kemudian akan menunggu lebih lama lagi untuk menanti giliran mereka.
Sebab itu saya merayu kepada semua pesakit agar bersabar menunggu giliran masing-masing. Moga-moga dengan kesabaran itu datangnya rahmat dari Allah swt dan dengan keberkatan dari kesabaran itu maka Allah swt menyembuhkan sakit yang dialaminya.
Di bawah ini saya lampirkan gambar-gambar yang dirakamkan semasa kami mengubat di kediaman sahabat saya Cikgu Syed Othman dan isterinya Cikgu Sharifah di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada hari Sabtu, 20 November 2010. Seramai 210 orang pesakit telah dapat kami rawat pada hari itu. Rawatan bermula pada jam 8.30 pagi Sabtu hingga kami tutup klinik pada jam 2.30 pagi Ahad.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan rumah Cikgu Syed dan Cikgu Sharifah yang menyediakan penginapan dan makanan untuk kami berdua. Fasal bab makan dan minum, syukur kepada Allah saw dimana-mana kami pergi mengubat, rezeki tuhan beri melimpah-limpah dan kami tidak pernah merasa lapar atau dahaga. Mereka juga membantu kami menguruskan pendaftaran, iaitu satu tugas yang sangat mencabar dan menguji kesabaran apabila cuba untuk mententeramkan 200 lebih pesakit yang datang dari pagi hingga malam. Kepada jiran depan rumah, Encik Bakar dan isteri, terima kasih kerana membantu dan juga anak-anak Cikgu Syed yang sangat bersabar dan menolong kami menguruskan rawatan di Kuala Ibai setiap bulan.
Komen Cgsyed:
Baru-baru ini seorang pesakit marah-marah kerana terlalu lama menunggu dan isteri saya tersilap panggil pesakit yang baru sampai dan potong que, apa boleh buat, bila terlalu ramai, kita pun kelam kabut. Semuga Allah memaafkan kami. Insya'Allah kami cuba perbaiki sistem akan datang.
No comments:
Post a Comment