Maghrib kelmarin sewaktu hendak solat Maghrib di Masjid Terapung, saya bersalam dengan Ustaz Aziz Muda, Pendakwah Bebas dan bekas Pengetua, beliau bertanya saya bila nak bersara, saya jawab sudah tiga hari bersara, beliau dalam keadaan terkejut, lantas secara berseloroh menyuruh saya menyertai RTM, saya terpinga-pinga, apa itu RTM, beliau menjawab, Rancangan Tunggu Mati. Saya tersenyum, beliau tergelak.
Katanya, RTM mesti banyak kena buat kerja. Selesai solat Maghrib Ustaz Aziz meneruskan kuliah Maghribnya seperti biasa. Tafsir Surah An Nur berkaitan adab dalam majlis ilmu dihuraikan dengan panjang lebar.
Teringatkan kata-kata Ustaz Aziz, mengenai RTM, saya rasa ada betulnya. Rasulullah saw pernah megingatkan kita, secerdik-cerdik manusia ialah orang yang sering mengingati mati!. Bukan bererti bila ingatkan mati, kita tak perlu buat apa-apa kerja, Cuma mengadap tikar sembahyang dan sentiasa berzikir. Bukan itu maksudnya.
Orang yang sering ingatkan mati, sentiasa sensitif soal dosa, pahala dalam kerja buat mereka. Halal, haram menjadi neraca pertimbangan dalam hidup mereka. Mereka sentiasa menjaga Allah, lantas Allah memelihara mereka.
Bila bekerja, mereka bekerja bersungguh-sungguh, sebab hasil kerja buat yang jujur, amanah, cekap, menepati piawai yang ditetapkan pasti diambil kira sebagai amal soleh. Jika tidak dapat imbuhan dunia setimpal dengan kerja buat mereka, sudah pasti dinilai oleh Allah dengan ganjaran pahala. InsyaAllah. Yang pentingnya, kerja buat itu bukan kerana nama, pangkat, kedudukan atau pengaruh atau kerana manusia, tetapi ikhlas kerana Allah. Kita bakal jadi jutawan akhirat.
Bila teringatkan tempoh masa hidup, terasa, waktu yang berbaki terlalu singkat, sedangkan amalan jauh daripada mencukupi. Saya teringatkan pesan Ustaz Fitri mengenai cerita seorang ahli ibadah yang sudah puluhan tahun beribadah, tetapi apabila ditimbang ibadah yang dilakukannya dengan sebiji mata yang Allah kurnia, maka berat timbangan sebiji mata itu lebih berat daripada amalannya.
Masya’Allah. Mana mungkin dalam kesibukan kita mencari harta kekayaan, mengurus kehidupan anak isteri, sibuk dengan kerja buat dalam kerjaya kita, mana mungkin jika ditimbang dengan sehelai bulu kening pun, mungkin lebih berat daripada amalan soleh yang kita laksanakan, Wallah hualam.
Saya tertarik dengan tulisan dalam majlah Solusi Isu 24 banyak membincangkan soal umur. Marilah kita renung petikan sedikit dari majlah tersebut berkaitan dengan umur, untuk renungan pagi jumaat ini ...
Orang Bijak Panjang Umur ?
Usia umpama harta .... bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitulah usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpahkan kebaktian.
Panjang pendeknya umur manusia tidak sama. Kita datang ke dunia ibarat menaiki bas dengan destinasi yang berbeza. Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun dahulu. Begitulah juga sebaliknya. Tidak semestinya yang naik kemudian akan turun kemudian. Ada masanya yang naik dahulu akan turun kemudian dan ada pula yang naik kemudian tetapi turun terlebih dahulu. Panjang atau pendek umur tidak penting. Apa yang lebih penting bagaimana menggunakan nikmat usia yang Allah anugerahkan selaras dengan tujuan Allah menghidupkan kita.
(Dipetik daripada majalah Solusi Isu 24 ms. 4)
Drp : Cikgu pencen - Cgsyed.
No comments:
Post a Comment