Pagi ini saya menitiskan air mata sewaktu menziarahi jenazah jiran saya sewaktu tinggal di Kg Bukit Besar. Allahyarham Haji Ismail suami kepada Kak Hasnah. Saya kenal beliau sejak mula bertukar ke Kuala Terengganu dari Kota Tinggi, Johor mulai tahun 1980. Seorang yang sangat baik kepada keluarga mertua saya. Saya kenal beliau sewaktu menyewa rumah disebelah rumah mertua saya.
Baru petang semalam jiran saya di Kuala Ibai, meninggal dunia dan akan dikebumikan pada hari ini. Selepas solat jenazah di Kuala Ibai, saya bergegas ke Bukit Besar untuk hadir solat jenazah Allahyarham Haji Ismail.
Allayahrham Haji Ismail seorang yang ringan tulang, baik hati, pernah bertugas sebagai pemandu, tetapi setelah bersara Allah kurniakan rezeki hasil daripada permuafakatan suami isteri dan anak-anak beliau melalui perniagaan nasi minyaknya yang sangat popular di sekitar daerah Kuala Terengganu. Beliau banyak menerima tempahan untuk majlis khenduri dan sebagainya. Inilah yang dikatakan rezeki berkat, bersama isterinya bekas tukang masak hospital.
Allahyarham baru dua minggu balik menunaikan haji untuk kesekian kalinya. Yang cantiknya, beliau meninggal dunia selepas selesai mengimamkan solat subuh di surau dan berasa sesak nafas lalu menghembuskan nafasnya terakhir di rumahnya.
Sewaktu membacakan surah Yasin, saya sebak dengan linangan air mata. Teringatkan kesolehannya. Seorang yang tak banyak cakap, mampu menjadi imam dan guru Quran walaupun kerjanya dahulu sebagai pemandu lori. Itulah dia Allah mampu meninggikan darjat seseorang tanpa mengira apa kerjayanya.
Semua anaknya berjaya. Ada yang jadi engineer,dan usahawan. Inilah yang saya boleh rumuskan keberkatan dalam hidup. Selepas bersara beliau menjadi imam di surau Hj Abdullah, berhampiran dengan rumah saya.
Menghantar jenazahnya ke kubur mengingatkan saya kepada Allahyarham Bapa Mertua dan Ibu Mertua saya serta abang ipar saya, semuanya di kebumikan di Kubur Kecil Panji Alam. Kesemua anak lelaki dan anak perempuannya hadir di kubur.
Melihat suasana pengkebumian tersebut, saya cuba bayangkan sekiranya yang dikebumikan itu diri kita, bagaimana agaknya. Semua ditinggalkan. Anak, isteri, rumah, kereta dan harta semua tinggal, yang dibawa ialah amal soleh, doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah. Saya kira Allahyarham punyai semua itu.
Hujan renyai-renyai turun sejurus selepas, solat jenazah selesai, sewaktu sampai di tanah perkuburan, cuaca kembali cerah, dan urusan pengkebumian berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, semuga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham, dan sampai masa kami semua akan turut bersama.
Untuk renungan kita bersama saya petik artikel berkenaan kematian untuk renungan kita bersama, semuga baki usia yang Allah kurniakan kepada kita, mampu dijadikan modal untuk terus beramal.
Sentiasa ingat kematian dorong tingkat amal ibadah
Oleh Mohd Adid Ab Rahman | BH 24 Apr 07BAGI Muslim yang ingin hidup diredai Allah, Rasulullah SAW menyarankan supaya selalu ingat kepada mati kerana orang yang selalu ingat mati pasti menjemputnya, Rasulullah SAW menganggap orang itu orang yang terkaya.
Ibn Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapakah Mukmin utama? Jawab Nabi SAW: Yang terbaik budi akhlaknya. Dan Mukmin yang manakah yang terkaya? Jawab baginda: Yang banyak ingat mati, dan baik pula persediaannya.”
Sesungguhnya insan yang sering kali dalam hidupnya ingat terhadap mati, sudah tentu kalbunya dipenuhi bunga keinsafan yang akan mendorongnya untuk :
- tidak bersikap sombong
- selalu bertawaduk
- segala gerak dijadikan ibadat
- lidahnya tetap basah dengan zikrullah baik malam atau siang
Abu Hamid Allafaf pernah berkata: “Siapa yang sering ingat mati, maka dimuliakan dengan tiga macam iaitu: segera bertaubat, terima terhadap rezeki (tidak tamak) atau qanaah dan tangkas beribadat.” (Kitab Tanbihul Ghafilin)
Ingat kepada mati, menjadikan seseorang itu akan segera bertaubat kerana mati itu rahsia Allah. Tidak ada seorang yang tahu bila dan di mana dia akan mati.
Ia dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan dilakukan esok hari, sebagaimana tiada seorang pun yang mengetahui di manakah ia akan mati.” (Surah Luqman, ayat 34)
Jika tidak segera bertaubat (bertangguh tunggu esok, lusa, bulan depan atau nanti sudah tua) maka dikhuatiri matinya sebelum sempat bertaubat. Segera bertaubat sebenarnya wajib dan dituntut agama.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Orang yang ingat mati, juga sedar hidup di dunia persinggahan sebentar dan akhirat tempat yang abadi. Rasulullah bersabda: “Hendaklah engkau berada di dalam dunia seolah-olahnya engkau seorang yang berdagang atau pengembara yang sedang dalam perjalanan.” (Hadis riwaat Ibn Umar)
Lantaran itu, dia tidak memerlukan rezeki melebihi keperluan hidupnya. Jika bekerja mencari rezeki, tidak sampai bersikap tamak haloba dan langsung lupa kepada Allah.
Ingat mati mendorong kita sentiasa mempertingkat amal ibadat, sama ada yang fardu mahupun sunat. Perhambaan diri kepada Allah dengan penuh ikhlas dan cinta yang suci serta istiqamah.
Di samping itu, seseorang yang menyedari bahawa mati adalah suatu yang pasti, akan sentiasa berusaha sedaya upaya menjauhkan diri daripada melakukan dosa atau perkara dilarang Allah SWT. Dia takut kepada azab yang Allah sediakan di akhirat nanti untuk orang berdosa.
Kita sewajarnya ingat benar-benar akan pesan Rasulullah SAW: “Banyak-banyaklah kamu mengingati kejadian yang akan menghancurkan segala kelazatan iaitu maut (mati).” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Apabila tidak lupa kepada mati, maka kesannya sungguh baik. Akhlaknya terpuji, ibadatnya bermutu dan istimewanya menjadi hamba sangat disayangi dan diredai Allah
No comments:
Post a Comment