Thursday, December 2, 2010

PENGHAYATAN ASMAUL HUSNA DALAM KEHIDUPAN

"Dialah Allah, Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Dia mempunyai Asma ul-Husna (nama-nama yang baik)" (Surah Taha :8)
Asma'ul Husna bukan sekadar sebuah nasyid walaupun ia boleh dilagukan. Ia adalah teras rumusan tentang akidah yang benar, dibina di atas Arasy nama-nama Allah. Ia sehimpun nama-nama Tuhan yang memperkenalkan sifat diri-Nya dalam 99 nama-nama Mulia. Di sana ada erti yang mendalam bagi setiap satu dari nama-nama-Nya.
Seorang Muslim yang berbakat untuk dididik adalah muslim yang gemar memerhati dan mendalami setiap satu dari bait Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang terakam dari asma-asma Nya itu. Keadaan tidak seharusnya terhenti  di situ. Seterusnya Muslim itu perlu sedaya mungkin menggabungkan dirinya dengan Islam, justeru faham akan sifat Allah yang menjadi al Khaliq.(Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat).
Akhirnya, semua nilai dan prinsip berpunca bagi si mukmin dari al-Asma’ al-Husna yang merupakan kemuncak segala keindahan, kehebatan dan kesempurnaan.  Manusia dituntut mewujudkan nilai-nilai yang berpunca dari al-asma itu dalam dirinya setakat yang termampu olehnya sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya.
Bila nama Allah adalah al-Haq, Kebenaran, maka ia mesti menjadikan kebenaran matlamat hidupnya dan peribadinya.  Bila Allah al-‘Alim, Maha Mengetahui, ia mesti berusaha supaya ia menjadi mu’min yang bersifat dengan sifat ilmu dan bukan jahil. Bila Allah adalah al-‘Adlu, ia mesti menjadi seorang mukmin yang adil yang meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan ilmu dan adab. Bila Allah ar-Rahim, Maha Mengasihani, ia mesti bersifat kasihan belas kepada makhluk Allah. 
Bila Allah al-Latif, Maha Lemah Lembut dan mengetahui yang halus-halus dan rumit-rumit, si mukmin mesti membina peribadi yang bersifat dengan sifat lemah lembut dan berilmu tentang apa-apa yang halus-halus dan rumit dalam ilmu setakat yang terdaya olehnya dengan Izin Allah.  Bila Allah al-Qawiyy, Maha Perkasa, Berkuasa, ia mesti membina peribadinya supaya berperibadi kuat dan teguh dari segi imannya, yakinnya, akhlaknya, inteleknya, iradat dan azamnya, dan jangan tunduk kepada Iblis dan kejahilan. Demikian seterusnya.  Demikian pula dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat.  Hidup si mukmin mesti berpaksikan Allah. He must be God-centred. (Dr. Muhammad Uthman Al Muhamadi)

No comments:

Post a Comment