Saturday, December 4, 2010

Harga RON95, LPG, gula pasir diselaras hari ini

BH 2010/12/04

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penyelarasan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) sebanyak lima sen manakala gula diselaras pada harga 20 sen berkuat kuasa hari ini sebagai langkah kedua Program Rasionalisasi Subsidi.

Berikutan itu, harga RON95 yang diselaraskan menjadi RM1.90 seliter, diesel kepada RM1.80 seliter dan LPG RM1.90 sekilogram manakala gula RM2.10 sekilogram.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata penyelarasan semula harga barangan itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya mencecah RM1.18 bilion di samping mengimbangi defisit kewangan negara.

Kali pertama penyelarasan harga bahan berkenaan dilakukan pada 16 Julai lalu dengan petrol dan diesel diselaraskan lima sen seliter bagi semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), sekali gus membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta dalam Program Rasionalisasi Subsidi kali pertama.

Idris berkata, walaupun harga bahan itu diselaraskan, ia masih rendah berbanding beberapa negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
--------------------------------------------------------------------------
Tahniah kepada kerajaan kerana menaikan harga petrol, 5 sen saja, gula 20 sen saja. Dok banyak mana. Tetapi kesan sampingannya mungkin banyak. Terasa juga bagi orang yang dah bersara, kerana pendapatan makin berkurangan, walau bagaimanapun pengambilan gula memang wajar dikurangkan.

Yang sedihnya, rakan-rakan yang bekerja sendiri,  orang kampung, nelayan, petani dan pekerja buruh, hidup umpama ayam, kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang. Pendapatan seumpama kain singkat, tarik ke atas, bawah terlopong. Serba tak cukup.

Baguslah kalau penyelarasan tersebut, mampu menjana ekonomi negara. Cuma yang saya berasa hairan dan ajaib, dalam keadaan ekonomi yang agak meruncing ini kenapa masih ada lagi projek yang pada fikiran orang kampung tidak relevan dengan slogan ”Rakyat Di Dahulukan” seperti Monsun Cup. Belanjanya mungkin puluhan juta ringgit (tak pasti), peruntukan untuk membaiki rumah Perdana Menteri RM65 juta, Projek Pusara Negara peruntukan RM70 juta,  nak bina 500 lubang kubur untuk wira-wira negara dan tokoh-tokoh negara, harga satu lubang mencecah RM140,000 (rujuk http://beritasemasa.com/). Kalau bina rumah kos murah untuk rakyat mungkin boleh bina 4 unit  rumah kos murah untuk rakyat PPRT bagi satu lubang kubur pembesar negara.

Mungkin kiraan saya tak tepat kot, tetapi begitulah sebenarnya yang difikirkan oleh rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga barangan yang melambung. Kita boleh reka apa-apa sahaja slogan, tetapi slogan itu kadang-kadang hanya merupakan gimik politik sahaja.

No comments:

Post a Comment