Tuesday, December 21, 2010

Manusia berwajah `khinzir' kerana makan rasuah

Oleh IBNU IDRIS (Mingguan Malaysia 19/2/06)

CERITA orang menerima rasuah tidak menjadi rahsia lagi. Menerima rasuah pula ada pelbagai cara - terang-terangan, cara gelap, sembunyi-sembunyi dan pelbagai lagi.

Rasuah kini semakin menjadi-jadi dan berlaku di sana sini serta di mana sahaja, dalam rumah, dalam kedai, dalam hotel atas jalan raya, atas jambatan, di padang, coffe house dan tempat-tempat lain. Mereka yang ``makan rasuah'' ini tidak tahu ``akibatnya''. Bukan sahaja makan harta secara haram, bahkan hidup mereka hilang barakahnya
.
Balasan Allah subhanahu wa taala kepada mereka yang makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi.Ada rumahnya terbakar. Ada yang menerima musibah kepada keluarga dan diri sendiri, kehilangan harta benda dan macam-macam hal yang lain.Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga hari akhirat kelak.

Balasan di dunia dan akhirat tentang mereka yang makan benda-benda haram seperti rasuah ini telah diberitahu oleh Allah melalui lisan nabi-Nya Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka ini tidak tahu apa-apa mengenai kesalahan ini dari segi hukum, maka mereka terima rasuah dengan memberi makan kepada anak, isteri, ibu bapa, bapa mentua, ibu mentua dan sesiapa yang di dalam tanggungannya.

Seolah-olah rasuah itu tidak ada apa-apa bagi mereka. Daripada hasil rasuah mereka beli rumah baru, kereta baru , tanah baru, isteri baru dan barang-barang rumah baru daripada wang rasuah yang dirampas daripada hak orang. Oleh kerana mereka ``jahil'' dalam ilmu agama, tidak pernah mengkaji agama, mendengar ceramah, tidak pernah menghadiri kuliah agama dan tidak pernah membaca buku agama, maka mereka terima rasuah itu ``macam makan cendul''.

Ada kes rasuah dibawa ke mahkamah. Apabila mereka diheret dan dibicarakan ke mahkamah atas tuduhan rasuah, maka mereka akan pakai ``ketayap putih''.Seolah-olah ketayap putih itu mencerminkan pemakaiannya sebagai ``orang baik-baik'' belaka, kerana orang yang memakai ketayap putih lambang ``lebai'' orang yang sudah naik haji. Dalam perbicaraan, mereka mendapatkan seorang peguam yang bijak dan pintar. Atas kebijaksanaan peguam itu, dia dibebaskan kerana tidak cukup bukti.

Hukuman

Tetapi di hadapan Allah mereka tidak akan terlepas. Mereka cuma terlepas di dunia sahaja, di akhirat mereka tetap akan menerima hukuman daripada Allah. Ada sebuah hadis Nabi, yang diriwayatkan oleh seorang sahabat Nabi yang paling rapat, iaitu Mua'z bin Jabal tentang bagaimana Rasulullah memberitahu, manusia yang akan dibangkitkan dari kubur di akhirat nanti, dengan pelbagai bentuk dan rupa yang memalukan.

Rupa dan bentuk ini bergantung kepada dosa yang dibuat oleh manusia di atas dunia, di antaranya termasuk makan benda-benda haram iaitu rasuah.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan ada yang dibangkitkan kelak berwajah `khinzir', kerana memakan benda yang haram dan merampas hak orang. Yang jelas kepada kita ialah apa yang dimaksudkan oleh Nabi itu ialah mereka yang menerima rasuah, kerana rasuah itu memakan yang haram dan mengambil hak orang lain secara haram. Sebagaimana yang kita maklum bahawa ``rasuah'' ialah memakan harta yang tidak halal, mengambil hak orang lain, merampas harta orang secara paksa, memakan titik peluh orang secara haram.

Pengamal-pengamal rasuah ini sudah tidak takut lagi kepada undang-undang dan peraturan, apalagi undang-undang Allah tidak langsung dihiraukan. Memakan rasuah bukan sahaja melibatkan orang itu sendiri, bahkan melibatkan isteri, anak-anak, ibu bapa di mana mereka diberi makan daripada rezeki yang diperoleh daripada sumber ataupun perbuatan-perbuatan haram.

Darah yang mengalir dalam tubuhnya, dalam tubuh isterinya, anak-anak mereka, ibu bapa mereka merupakan darah yang diambil daripada rezeki yang haram. Inilah satu perbuatan yang paling buruk, paling kotor dan paling keji dalam masyarakat kita. Rasuah dalam bentuk yang pelbagai itu telah menjadi amalan keji paling tua oleh manusia. Kecenderungan ini iaitu rasuah berasal dari naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata.

Barah bagi gejala rasuah ini ialah begitu dalam menusuk ke dalam masyarakat moden di seluruh dunia. Amalan ini terlalu dalam sehingga sukar untuk dihapuskan.Pengamal-pengamal rasuah ini sebenarnya tidak tahu, buta kayu dalam ``ilmu agama''. Kalaulah mereka tahu bahawa rasuah itu amalan yang paling keji dan hukumnya ``haram'' yang terlarang oleh agama, tentulah mereka tidak melakukannya. Sekarang ini di mana-mana pun kita berurusan maka amalan rasuah sudah menjadi lumrah. Kalau tidak ada sogokan rasuah, semua kerja dan semua urusan akan berjalan lambat, lembap, malah akan memakan masa paling lama sekali.

No comments:

Post a Comment