Friday, December 31, 2010

Gaya hidup tak aktif punca obes

Oleh Habsah Dininecah@bharian.com.my 2010/12/31

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama peserta pada Pelancaran 10,000 Langkah Sehari untuk menggalakkan gaya hidup sihat.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin  bersama peserta pada Pelancaran 10,000 Langkah Sehari untuk menggalakkan gaya hidup sihat.

Pemakanan sihat cegah berlebihan berat badan, penyakit tidak berjangkit

PEMAKANAN yang tidak sihat adalah apabila makanan atau minuman yang diambil mengandungi lemak, gula dan garam yang tinggi ditambah pula dengan gaya hidup tidak cergas kini menjadi penyumbang utama penyakit tidak berjangkit (NCD). 

 
Pada masa sama, ia menjadi penyebab kepada penyakit kardiovaskular, diabetes Jenis 2 dan beberapa kanser.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati sejumlah 2.7 juta kematian di seluruh dunia adalah akibat kurang pengambilan buah-buahan dan sayuran.

Kira-kira 19 peratus daripada jumlah itu mati akibat kanser gastrik usus, manakala kira-kira 31 peratus lagi akibat penyakit koronari jantung, sementara 11 peratus lagi akibat strok.

Sejumlah 1.9 juta kematian pula disebabkan fizikal yang tidak aktif. Sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk dunia tidak melakukan aktiviti fizikal aktif harian pada kadar minimum 30 minit sehari seperti disarankan.

Gaya hidup yang tidak aktif dan pemakanan tidak sihat ini menjadi penyumbang utama masalah berlebihan berat badan dan obesiti.
Obesiti akan meningkatkan risiko penyakit jantung yang serius seperti penyakit kardiovaskular (terutama penyakit jantung dan strok), diabetes, kanser payu dara, kolon dan endometrial.

Pada 2005 saja, sejumlah 1.6 bilion orang dewasa yang berusia 15 tahun dan ke atas didapati mempunyai berlebihan berat badan, manakala 400 juta lagi orang dewasa mempunyai masalah obesiti di seluruh dunia.

Oleh itu, menjelang 2015, sejumlah 2.3 bilion orang dewasa bakal memiliki berlebihan berat badan dan lebih 700 juta lagi menjadi obes dan angka ini sungguh membimbangkan kerana mereka bakal berdepan risiko yang boleh membawa maut.

Masalah berat berlebihan dan obes juga turut melanda kanak-kanak. Pada 2005 saja, sekurang-kurangnya 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami masalah ini.

Kanak-kanak obesiti sering kali dikaitkan dengan mati awal dan hilang keupayaan diri apabila mereka dewasa kelak.

Berlebihan berat badan dan obesiti juga didapati semakin meningkat di kalangan penduduk negara berpendapatan rendah dan sederhana, terutama yang menetap di bandar besar.

Melihat kepada keseriusan kedua-dua masalah ini, Strategi Global Diet, Aktiviti Fizikal dan Kesihatan, WHO menggariskan beberapa perkara perlu diberi penekanan dan keutamaan penduduk seluruh dunia.

Orang ramai disaran mengamalkan diet sihat dan meningkatkan aktiviti fizikal serta mengelakkan pengambilan atau penggunaan tembakau. Jika ketiga perkara ini berjaya dilaksanakan oleh setiap individu mereka berupaya menghalang 80 peratus penyakit jantung pramatang, 80 peratus kes diabetes jenis kedua dan 40 peratus kanser.

Meningkatkan pemakanan cara sihat dan aktiviti fizikal secara tetap juga menjadi tugas sesuatu komuniti penduduk, pelbagai sektor dan juga memerlukan banyak pendekatan budaya kaum atau negara tertentu.

Strategi Global Diet, Aktiviti Fizikal dan Kesihatan WHO ini diperkenalkan WHO pada Mei 2004 selepas mengambil kira beban dan masalah kedua-dua aspek ini kepada penduduk dunia.

Sementara itu, untuk mengurangkan risiko penyakit, Strategi Global Diet, Aktiviti Fizikal dan Kesihatan WHO mewujudkan polisi nasionalnya bertujuan mengurangkan penggunaan garam, mengharamkan pengeluaran asid lemak trans, mengurangkan penggunaan lemak tepu, mengehadkan pengambilan gula, meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran, mencapai berat badan sihat dan mengamalkan tahap aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan usia.

Semua pengawalan ini adalah murah dan menjimatkan. Semua orang mampu melakukannya sama ada kepada individu, sekolah, tempat kerja dan masyarakat setempat

No comments:

Post a Comment