Wednesday, December 1, 2010

PROF Dr Muhaya Muhammad


PROF Dr Muhaya Muhammad, 50, adalah nama yang tidak asing dalam dunia perubatan di negara ini. Beliau adalah pakar oftalmologi dan seorang daripada dua profesor dalam bidang itu yang bertugas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Kepakaran dan kebolehannya menyaksikan beliau menjelajah dari satu benua ke satu benua. Kelebihannya itu juga menyebabkan UKM 'tidak rela' melepaskannya, sebaliknya hanya membenarkan dipinjamkan kepada Pusat Perubatan Prince Court (PPPC) Kuala Lumpur.

Walaupun banyak menghabiskan masa di PPPC untuk bertemu pesakit termasuk beberapa orang kenamaan, Dr Muhaya tetap meluangkan masa memberi kuliah kepada pelajar perubatan UKM.

Padanya, seorang pelajar perubatan mewakili 20,000 warga Malaysia. Jika seorang pelajar gagal dalam pengajian, 20,000 warga Malaysia akan mengalami kerugian.

"Ada pelajar yang tidak tahan tekanan, ada yang berkahwin dalam pengajian dan tidak cukup duit. Saya tidak mahu mereka terkandas kerana masalah itu. Saya cuba beri motivasi untuk mereka berjaya. Kalau yang tidak ada duit nak beli susu anak pun saya cuba beri kerana duit boleh dicari tapi kehilangan satu doktor, kasihan pada pelajar terbabit dan orang ramai," katanya.

Dr Muhaya yang juga Presiden Persatuan Oftalmologi Malaysia, berkata beliau memahami kesukaran dan kepayahan hidup pelajar perubatan yang berkahwin ketika dalam pengajian.


Kahwin Awal Tidak Jejas Prestasi


Ini, katanya kerana beliau pernah mengalami cabaran itu apabila bertemu jodoh dengan suaminya, Dr Azmi Jamion, 52, ketika masih belajar di tahun dua Ijazah Pertama Perubatan UKM.

Katanya, hidup jauh daripada keluarga, kerap bertemu dan mahu fokus dalam pengajian menyebabkan mereka mengambil keputusan bernikah.

Bagaimanapun, katanya, majlis persandingan hanya dibuat selepas tamat pengajian sekitar 1983.

Sejak itu, Dr Muhaya tidak menoleh ke belakang. Walaupun sudah bergelar isteri, Dr Muhaya terus mengejar cita-citanya menuntut ilmu dan muncul sebagai penerima pertama Anugerah Tun Seri Rahah ketika di kampus dan pernah muncul sebagai pelajar terbaik oftalmologi ketika dalam pengajian.

Pada peringkat antarabangsa, Dr Muhaya menjadi wanita Islam pertama mendapat pengiktirafan sebagai ahli Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) Edinburgh, manakala pada 2005, Akademi Oftalmologi Asia Pasifik menganugerahkannya Hadiah Perkhidmatan Unggul Istimewa (Special Distinguished Service Award).


Kepakaran

Antara kepakaran Dr Muhaya termasuk menangani masalah 'uveitis' radang mata yang selalunya menyerang mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun. Ia terjadi pada uvea (lapisan mata yang terdiri daripada tiga bahagia, iris, 'choroid' (tisu lapisan tengah yang membentuk bola mata dan 'ciliary body' (penghubung iris dan choroid).

Uveitis boleh terjadi pada sebelah atau kedua-dua belah mata. Ia jarang terjadi tetapi jika berlaku pesakit boleh menjadi buta. Sebelum dipelopori Dr Muhaya, tiada kepakaran untuk menangani uveitis yang menyebabkan pesakit tiada pilihan melainkan hilang penglihatan.

Bagaimanapun, sebaik pulang selepas melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah di London, beliau berjaya menangani masalah itu.

Kepakarannya itu memerlukan beliau menghadiri persidangan, melakukan pembentangan kertas kerja dan pelbagai kerja penyelidikan di lebih 57 negara. Yang pasti, ke mana saja beliau pergi, suaminya tetap berada di sisi.

"Pada saya sejauh mana pun wanita Islam itu pergi, setinggi manapun pendidikannya, suami dan keluarga tetap menjadi keutamaan. Jadi, wanita mesti bijak menseimbangkan antara keluarga dan kerjaya," katanya.

Justeru, tidak hairan, ketika di tingkatan dua waktu gurunya bertanya cita-citanya, Dr Muhaya menjawab dengan penuh yakin, iaitu mahu berkahwin awal dan menjadi seorang doktor. Walaupun jawapan itu disambut gelak ketawa daripada rakan sedarjah, Dr Muhaya sedikit pun tidak terkilan.


Utamakan Keluarga Walau Berkerjaya

Sebagai wanita dan isteri katanya, walau sesibuk mana beliau akan mencuri masa untuk menyediakan hidangan istimewa untuk suami dan anak-anak.

Oleh itu, tidak hairanlah selain meluangkan masa membaca buku perubatan, Dr Muhaya turut memiliki koleksi buku masakan. Antara buku masakan yang menjadi koleksi peribadinya termasuk tulisan Jamie Oliver dan Isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Azizah Maimunah.

"Selain memasak, saya juga mempunyai kegemaran lain. Saya suka bercakap. Mungkin kerana itu saya mudah menyampaikan kuliah kepada pelajar dan pada masa ini saya kerap diundang memberi motivasi kepada pelajar perubatan UKM," katanya.

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, Dr Muhaya yang berasal dari Kuala Terengganu, berkata rumahnya di tepi laut dan menghadap hospital, tetapi ketika Dr Muhaya dilahirkan, bukan tilam yang menjadi pengalas, sebaliknya tikar mengkuang kerana ibunya takut bersalin di hospital.

"Ketika ibu mengandungkan saya, ibu selalu melihat ramai doktor keluar masuk ke hospital itu. Pada ibu, kerjaya doktor ini sangat mulia dan ingin sangat anaknya menjadi doktor.

"Alhamdulillah, Allah mendengar permintaan hamba-Nya," katanya yang juga anak seorang pegawai tentera yang mementingkan disiplin.

Langkah Dr Muhaya dalam dunia perubatan juga diiring doa seluruh keluarga apatah lagi bapa saudaranya yang ketika itu bertugas sebagai pembantu perubatan.

"Kata pak cik saya, jadilah doktor kerana kerjaya itu mulia di dunia dan akhirat. Saya percaya jika kita tolong orang, kita sampaikan hajat orang, Allah juga akan tolong kita. Sentiasa berfikiran positif. Paling mudah, kita sebagai ibu, selalu berdoa dan berharap yang terbaik untuk anak. Jangan terlalu fikir yang buruk kerana kalau kerap fikir buruk, mungkin itu nanti yang akan terjadi," katanya.


Info: Prof Dr Muhaya Muhamad
·  Dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu
·  Anak sulung daripada dua beradik
·  Berkahwin, suami Dr Azmi Jamion dan dikurniakan dua anak
·  Pakar Perunding Kanan Bedah Mata Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
·  Kelulusan Ijazah Pertama Perubatan (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Perubatan Optomologi (UKM), Sarjana Perubatan (Singapura), Fellowship Royal College of Surgeon FRCS (Edinburgh), Fellowship in Uveitis (Hospital Mata Moorfields UK) dan PhD Okular Immunologi (London).


sumber:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dimensi/20080127130446/Article/index_html

No comments:

Post a Comment