Friday, December 3, 2010

Pelajar Bukan Produk


10 November 2010
Pendidikan berorientasikan peperiksaan bukanlah isu baru dalam dunia pendidikan di Tanah Melayu. Isu ini semakin hebat didebatkan apabila timbul cadangan bagi memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR di sekolah.

UPSR tidak bersalah. PMR juga tidak bersalah. Salahnya adalah apabila kita meletakkan pelajar tidak lebih daripada sebuah buku atau mungkin beberapa buah buku mengikut jumlah mata pelajaran yang diambil dalam sesebuah peperiksaan.

Sukar menjelaskan apa yang sebenarnya bermain dalam fikiran pihak lain yang berada di luar dunia pendidikan kita. Namun, catatan berikut mungkin boleh membuka sedikit minda kita terhadap isu ‘pelajar dan peperiksaan’ yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.
___________________________________
Baru-baru ini, saya meluangkan sedikit masa di rumah presiden sebuah syarikat yang sedang meningkat maju. Secara kebetulan, satu rancangan kuiz sedang ke udara di kaca tv. Seorang daripada peserta kuiz itu sudah berminggu-minggu kekal sebagai juara. Dia dapat menjawab pelbagai bentuk soalan yang kebanyakannya tidak begitu penting.

Selepas peserta kuiz itu berjaya menjawab satu soalan pelik mengenai sebuah gunung di Argentina, tuan rumah bertanya kepada saya, “Cuba kamu teka berapakah saya akan bayar bagi menggaji orang seperti ini?”
“Berapa?” saya menyoal balas.
“USD300 sahaja, bukan USD300 seminggu atau sebulan, tetapi USD300 bagi seumur hidupnya. Saya sudah menilainya. Dia tidak boleh berfikir. Dia hanya boleh menghafal. Jadi, dia hanya ensiklopedia bergerak. Dengan USD300, saya dapat membeli satu set ensiklopedia yang bermutu. Malah, mungkin itu keterlaluan. Sebanyak 90% daripada jawapan yang keluar daripada mulut lelaki itu dapat saya rujuk dengan harga USD2.
Saya tidak memerlukan pekerja seperti ini. Saya memerlukan orang yang boleh menyelesaikan masalah, menyumbangkan idea serta boleh merealisasikan impian. Duit diperoleh daripada idea yang baik dan bukannya daripada fakta.”
(Petikan ini disesuaikan daripada buku The Magic of Thinking Big, David J. Schwartz, PhD., halaman 37-38).
___________________________________
Nah, di mana letaknya pendidikan berorientasikan peperiksaan di negara kita? Pelajar datang ke sekolah, membaca buku dan menerima maklumat daripada guru (yang juga datangnya daripada buku). Kemudian berusaha mengingati segala fakta dan maklumat yang diberi agar boleh menjawab segala soalan yang keluar dalam peperiksaan nanti.

Apakah bezanya pelajar kita dengan peserta kuiz di televisyen seperti yang diceritakan oleh Dr. Schwartz itu tadi? Apakah pelajar kita dan ilmu serta kemahiran mereka hanya bernilai USD300 seumur hidup? Apakah pelajar kita hanya setanding dengan apa yang kita katakan sebagai ‘produk’?
Mungkin tidak ada salahnya dengan peperiksaan. Penilaian adalah sesuatu yang wajib ada bagi mengukur kejayaan pelajar kita. Namun kita juga tentu tidak mahu pelajar kita hanya bernilai USD300 seumur hidup mereka.

Kita tunggu dan kita lihat, bagaimana agaknya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah yang menggantikan PMR boleh menaikkan nilai pelajar kita dalam pasaran kerjaya satu ketika nanti. Semoga peperiksaan SPM dan STPM juga boleh ditransformasikan ke arah yang serupa.


No comments:

Post a Comment