Pagi semalam sewaktu membawa anak dan isteri saya ke Jalan Banggol untuk membeli kelengkapan sekolah, saya tinggalkan isteri dan anak saya di kedai Bata, dan seperti biasa saya lebih seronok berada di Kedai Buku Banggol, sambil membelek-belek buku baru.
Alhamdulillah ada buku baru berjudul “Menjadi Pemimpin Super Membentuk Pemimpin Dunia Akhirat dengan Prinsip Kubik Leadership” keluaran PTS Professional. Penulisnya terdiri daripada tiga orang penulis iaitu Farid Poniman, Indrawan Nugroho dan Jamil Azzaini.(Indonesia).
Buku ini telah lama dijual di Indonesia. diperkenalkan oleh Tim Kubik Training & Consultancy Harganya RM27.00.
Apa yang menarik untuk membelinya ialah kandungannya relevan dengan apa sahaja kerjaya kita, tak kira masih berkerja ataupun penganggur. Jadi walaupun saya telah menganggur kerana bersara, isinya sangat relevan dan kena dengan diri kita selaku ”pemimpin” (khalifah) tetapi status masih hamba Allah.
ENERGY POSITIF VS ENERGY NEGATIF
Kisah 1
Pada suatu hari seorang budak miskin, Howard Kelly menjual barangan dari rumah ke rumah bagi membiayai perbelanjaan persekolahannya. Dia terasa lapar dan dahaga, tetapi wangnya sedikit, tidak cukup membeli makanan dan minuman. Dia membuat keputusan meminta makanan dari rumah orang yang tidak dikenalinya.
Apabila seorang gadis kecil membuka pintu, Howard tergamam dan hanya meminta segelas air kosong. Si gadis itu, sebaliknya membawa segelas besar susu kerana dia merasakan pasti budak lelaki itu lapar. Sambil menghirup susu itu dengan perlahan, Kelly bertanya ”Berapa Harganya” Si gadis menjawab ”Awak tidak perlu membayar apa-apa. Ibu saya selalu berpesan, kita perlu membuat kebaikan dengan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan.”
Selepas beberapa tahun, sigadis kecil menjadi wanita dewasa. Tiba-tiba dia jatuh sakit dan keadaannya menjadi begitu teruk sehinggakan doktor yang merawatnya tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Wanita itu dibawa ke kota bagi mendapatkan rawatan daripada doktor pakar. Hatinya berbisik ”Rawatan doktor pakar pasti mahal dan saya tidak mampu membayarnya.” Namun dia tetap menjalani pembedahana dan rawatan di Kota kerana yakin Tuhan pasti membantunya.
Akhirnya tempoh rawatannya di kota tamat. Hatinya semakin runsing kerana dia perlu membayar semua kos rawatan dan pembedahannya. Akhirnya tiba masa staf pengurusan membawa bil rawatannya. Wanita itu mengenggam bil itu seketika dan sebelum membukannnya perlahan-lahan. Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Pada kertas itu tertulis;
’SUDAH DIBAYAR PENUH DENGAN SEGELAS SUSU” Dr. Howard Kelly. (ms 63)
Petikan diatas saya ambil daripada buku “Menjadi Pemimpin Super Membentuk Pemimpin Dunia Akhirat dengan Prinsip Kubik Leadership” keluaran PTS Professional. Penulisnya terdiri daripada tiga orang penulis iaitu Farid Poniman, Indrawan Nugroho dan Jamil Azzaini.(Indonesia).
Kisah 2
Pagi ini saya hanya sempat membaca sehingga muka surat 63 masih berbaki 278 ms. lagi. Tetapi memang menarik sehingga sukar untuk saya berhenti membacanya.
Selesai membaca bab 3, saya menelefon sahabat saya GB Cemerlang Che Ku Alam mencadangkan kepadanya supaya membaca buku tersebut, dan boleh diakses melalui internet.
Kandungannya membincangkan mengenai sikap dan nilai hidup manusia. Ada tiga istilah yang diutarakan oleh penulis mengenai motivasi. Manusia bermotivasi didorong oleh Tiga perkara; TO HAVE, TO BE DAN VALENSI.
To Have, adalah keinginan memiliki apa yang dihajati. Ia dikaitkan dengan proses memiliki bahan materialistic atau hasil usaha keras bagi kesenangan duniawi. Contoh To Be adalah impian mendapat gaji yang besar, rumah yang selesa, kenderaan mewah, populariti, status dan penghormatan, serta sanjungan masyarakat sekeiling. Inginkan pulangan dalam bentuk gaji, kekayaan, kedudukan, pangkat, darjat, kemasyhuran, kuasa dan apa sahaja yang berunsur material / keduniaan.
To Be keinginan mencapai prestasi yang terbaik, dengan memanfaatkan kelebihan yang dimiliki. Contohnya to be adalah impian menjadi usahawan yang bertaraf antarabangsa ataupun impian menjadi pengurus terbaik dalam organisasi. Lebih berfikir untuk memberi perkhidmatan dan sumbangan yang terbaik untuk kepentingan orang lain.
Valensi adalah tahap kualiti diri dalam menguruskan kehidupan dan berkaitan dengan kapasiti mencapai kejayaan hidup. Contoh motivasi yang berkaitan dengan valensi adalah keinginan menambah ilmu pengetahuan ,menambah pengalaman hidup, bekerja itu sebahagian daripada ibadah ataupun bekerja bagi meningkatkan harga diri sendiri. Valensi juga ialah Takaran (ukuran) kapasiti diri kita. Setiap individu memiliki valensi yang berbeza. Nilai valensi kita menentukan hasil kualiti kerja dan mempengaruhi tahap kejayaan kita.
Setelah membaca bab 1 hingga 3 saya cuba kaitkan teori Kubik Leadership dengan segelintir manusia yang pernah saya temui sewaktu mengurus sekolah, samaada di kalangan pegawai, guru, kaki tangan sokongan ataupun kontraktor yang pernah saya temui dan berurusan dengan mereka.
Kalau kita lihat ada beberapa buah masjid di sekitar daerah Kuala Terengganu yang terbengkalai, tak siap ikut tarikh yang ditetapkan. Istilah ”Projek Sakit” seperti Masjid Bukit Besar, Masjid Chendering, dan sekarang Masjid Jalan Pusara juga terhenti kerja-kerja pembinaannya.
Saya cuba hubungkaitkan dengan Teori Kubic Leadership ini, maka kita boleh kategorikan kontraktor yang berjaya mendapat projek tersebut bolehlah dikategorikan jenis manusia yang lebih mengutamakan TO HAVE. Sebabnya, mungkin mereka dapat projek tersebut bukan kerana mereka kontraktor berwibawa, amanah, cekap dan profesional, tetapi mungkin kerana ”cablenya” besar dan kroni kepada orang-orang yang berkepentingan. Lantas mereka dapat projek bina masjid tersebut. Tetapi akhirnya tak siap. Mungkin alasan mereka harga barang naik mendadak dan seribu satu macam alasan boleh direka. Tetapi mereka tahu bahawa projek tersebut akan ”retender” semula, jika nasib baik mereka dapat pula dengan harga yang lebih tinggi daripada asalnya. Apa yang difikirkan oleh kontraktor ini ialah dapat keuntungan yang berlipat ganda, cepat jadi jutawan.
Tetapi kalau kontraktor yang jenis TO BE, mereka akan berfikir bagaimana untuk menyiapkan juga rumah Allah, kerana jika untung sedikitpun tak apa, sebab menyiapkan rumah Allah dengan amanah, jujur, tidak menipu, ganjaran yang Allah janjikan di akhirat kelak tak dapat nak digambarkan betapa banyak pahala yang Allah akan bagi kepada mereka. Jika siap pada masa yang ditetapkan, nama mereka akan dihormati, dan insyaAllah jika ada projek lain tentulah kontraktor jenis ini akan diutamakan.
Pengalaman pahit saya sewaktu mengurus SKSS1 selama dua tahun empat bulan, saya telah menemui kontraktor jenis TO HAVE ini sewaktu naik taraf surau sekolah SKSS1. pada tahun 2009. Projek ini diuruskan oleh Konsultan dan peruntukan terus daripada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Terengganu tidak tahu menahu pun.
Projek ini diselia oleh Konsultan. Apa yang terjadi, peruntukan lebih daripada RM70k tetapi kerja-kerja yang dibuat tidak setimpal dengan peruntukan. PIBG terpaksa menanggung banyak perbelajaan untuk menyiapkan kerja-kerja naik taraf surau tersebut. Perkara ini saya telah panjangkan sehingga ke KPM tetapi tiada sebarang tindakan. Dahlah kerjanya teruk, segala kos perbelanjaan tanggungan PIBG juga dituntut daripada KPM.
Kontraktor yang bermasalah ini pula saya dapat tahu, diberi pula projek naik taraf disebuah sekolah menengah yang hampir dengan SKSS1. MasyaAllah, apa nak jadi dengan pegawai yang diberi amanah menjaga hal-hal kontrak ini.
Coretan ini untuk permulaan, saya cuba fahami dan aplikasikan dengan kehidupan kita berdasarkan buku yang saya sedang hadam. Saya akan terus menulis berdasarkan kandungan buku ini untuk tatapan kita bersama. Teruskan membaca pada minggu depan, saya cuba kaitkan dengan tingkah laku guru-guru yang pernah bertugas bersama saya selama menjadi GB. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment